Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, kali ini mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Kali Ke-5 pada malam tahun baharu iaitu 31 Disember 2021.

Meskipun cuaca hujan, mesyuarat yang diadakan bermula pada jam 8 malam itu, tidak mematahkan semangat penduduk taman itu menghadirinya mengikut norma baharu dan SOP ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras bagi sesi 2021/2022, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) yang memberi komitmen dalam berkhidmat secara sukarela kepada persatuan dan memberikan kerjasama penuh kepada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Saya juga berterima kasih kepada sebahagian penduduk yang sudi hadir pada mesyuarat agung kali ke-5 ini yang pertama kali diadakan pada waktu malam meskipun terpaksa menempuh cuaca hujan.

“Apa yang penting ialah, kami sebagai AJK hanya mahu menjalankan amanah yang diberikan penduduk yang melantik kami dan amanah ini kami pikul dengan melaksanakan apa yang dirancang bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan penduduk taman ini terjaga,” katanya dalam ucapan aluan sempena mesyuarat agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras, di sini.

Terdahulu, kira-kira lebih 35 penduduk hadir dengan mematuhi SOP termasuk melakukan imbasan suhu, mengimbas kod MySejahtera di kaunter pendaftaran dan duduk dalam keadaan penjarakkan sosial.

Mesyuarat kemudian diteruskan dengan pembentangan laporan aktiviti oleh setiausaha persatuan dan disusuli dengan pembentangan laporan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Majlis diakhiri dengan sesi cabutan bertuah dan jamuan makan malam yang diberikan secara pek bungkusan serta minuman.

“Kami merancang pelbagai aktiviti pada tahun ini tetapi malangnya akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal Mac 2020, menyebabkan semua aktiviti berkenaan ditangguhkan.

“Meskipun kita terpaksa mengadakan aktiviti kutipan bayaran sekuriti bulanan RM50 mengikut norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan, saya berharap semua penduduk akan meneruskan sokongan dengan memastikan bayaran bulanan dibuat mengikut waktu kerana tanpa wang itu, kawalan keselamatan tidak dapat diberikan sepenuhnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan berita gembira kepada semua penduduk apabila pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bersetuju mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tujuan pembinaan pondok pengawal selepas dua tahun permohonan tersebut dibuat.

Nik Mohd Shukri berkata, kelulusan oleh MPKJ pada 9 Disember 2021 itu membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh persatuan ini mendapat kebenaran yang sah dan boleh beroperasi tanpa keraguan.

Menurutnya, sebelum ini segelintir penduduk mempertikaikan pembinaan pondok pengawal itu tanpa kebenaran yang sah meskipun usaha ini dilakukan untuk kebaikan dan manfaat penduduk dalam taman ini.

“Kita mahu semua penduduk berasa selamat untuk melakukan aktiviti dalam taman ini tidak kira sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak kerana dengan adanya kawalan keselamatan, masalah jenayah seperti samun atau pecah rumah dapat dielakkan,” katanya.

Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan yang ditubuhkan secara rasmi 23 Ogos 2016, sebelum ini sudah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan penduduk setempat.

Ketika ini, Jalan Pahlawan mempunyai 295 unit rumah dengan jumlah peratusan penduduk yang membayar yuran keselamatan ialah kira-kira lebih 80 peratus.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Seksyen 3, Cheras Selangor kali ke-5 dibawah ini.