Baru saja selesai dengan siri perlumbaan Toyota GAZOO Musim-4 dan Vios Challenge, GAZOO Racing Malaysia akan menghangatkan pula aksi dalam Perlumbaan Endurans Sepang 1000KM (S1K) dengan dua penyertaan dalam kelas MTC Production dan SP2 Production, hujung minggu ini.

Perlumbaan tahunan berprestij ini turut bakal menyaksikan penganjuran sulung Piala Vios Enduro bagi pasukan persendirian dan pengedar yang beraksi dalam kelas SP2 Production.

Bertembung untuk meraih kemenangan dalam kelas MTC Production ialah juara tiga kali Vios Challenge dalam kelas Super Sporting dan duta GAZOO Racing Malaysia, Tengku Djan Ley, begitu juga juara kelas Rookie Vios Challenge yang baru dinobatkan, Naquib Azlan yang baru berusia 20 tahun serta Ketua Pegawai Sukan Permotoran GAZOO Racing sendiri, Akio Takeyama.

Perlumbaan S1K ini akan menjadi yang pertama buat Naquib yang setakat tahun lalu hanya berlumba secara dalam talian menggunakan simulator. Dia merupakan satu daripada enam pemandu yang direkrut untuk menyertai Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing dan kemudiannya diberikan peluang untuk bersaing dalam kelas Rookie untuk pemandu muda.

Sementara itu, kelas SP2 Production bakal menyaksikan gabungan pemandu kelas Rookie dari Vios Challenge, Mika Hakimi dan Jwan Hii yang akan bergandingan dengan pemandu kelas Promotional, naib juara Musim-4, pelakon Zizan Razak.

Zizan juga sudah membuktikan kemampuannya dengan berhasil naik ke kedudukan podium dalam setiap perlumbaan tahun ini.

Sebagai pemandu paling berpengalaman dalam kelas SP2 Production, Zizan dijangka
membawakan aksi menarik ke dalam perlumbaan ini nanti. Mika dan Jwan yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dan keempat dalam Vios Challenge baru-baru ini, juga akan membuat penampilan sulung mereka dalam S1K.

Sama seperti Naquib, kedua-dua pemandu juga merupakan graduan Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing — Mika yang berusia 17 tahun datang dari latar perlumbaan simulator, manakala Jwan sebelum ini berlumba gokart.

“Dua penyertaan dalam S1K ini adalah untuk memenuhi beberapa matlamat, jika anda melihat barisan yang ada ini dengan dekat. Ya, kami mensasarkan kedudukan juara dalam kelas berkenaan, tetapi ia juga satu permulaan untuk melebarkan sayap GAZOO Racing Malaysia dalam kancah sukan permotoran Malaysia.

Penyertaan ini juga adalah untuk memberikan platform baru bagi bakat muda untuk berlumba dalam persekitaran lebih kompetitif melangkaui Vios Challenge,” ujar Takeyama.

Sementara itu, Piala Vios Enduro pula akan berlangsung serentak dengan S1K dan diwujudkan untuk membawakan jentera lumba Vios Challenge dan pemandunya keluar dari persekitaran biasa mereka.

Piala berkenaan menawarkan hadiah pertama RM10,000, dengan hadiah kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM6,000. Hadiah tunai berjumlah RM4,000 dan RM2,000 juga ditawarkan kepada pemenang tempat keempat dan kelima.

Pelumbaan 1,000 km itu dijangka mengambil masa selama sembilan jam meliputi 181 pusingan di Litar Antarabangsa Sepang.