AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan sukacita mengumumkan permulaan kerja-kerja pembinaan pusat pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) di Kulim Hi-Technology Park, Kedah.
Upacara pecah tanah dirasmikan oleh Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Semasa ucapan beliau, Mohamed Azmin Ali berkata, “Meskipun pandemik, syarikat-syarikat seperti AT&S masih berterusan untuk menjalankan projek pembesaran. Saya
amat gembira AT&S telah memilih Malaysia sebagai lokasi untuk menubuhkan kilang
pembuatannya yang pertama di Asia Tenggara.

“Ini merupakan pelaburan terbesar dalam sejarah AT&S iaitu sebanyak €1.7 bilion Euros dan dijangka bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melebihi 6,000 kepada rakyat Malaysia.
“Pelaburan ini tepat pada masanya memandangkan sentimen pasaran yang lebih positif disebabkan permintaan global yang dinamik.
“Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada MIDA terhadap usaha pantas sejak November 2020 untuk merealisasikan pelaburan ini. Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa projek ini hanya mengambil masa selama 12 bulan untuk membuahkan hasil daripada permulaan sehingga upacara pecah tanah,” katanya.

Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, “Kita bangga AT&S akan memanfaatkan kluster industri E&E Malaysia.
“Kedudukan strategik Malaysia dalam rantau ASEAN, kebolehan bakat tempatan dan kemantapan rantaian bekalan tempatan yang sepadu dengan rantaian nilai global adalah antara faktor tarikan yang tidak dapat dinafikan bagi pelabur antarabangsa seperti AT&S
untuk memilih Malaysia sebagai batu loncatan mereka ke rantau ini.
Sebagai agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia di bawah MITI, MIDA berharap terus bekerjasama rapat dengan AT&S untuk menyokong pertumbuhan operasi mereka di Malaysia.”
“Walaupun dalam situasi pandemik global, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tetap meneruskan kerjasama dengan AT&S sejak November 2020 untuk merealisasikan pelaburan ini.

“Pusat Sehenti bagi Pelawat Perniagaan (One Stop Centre for Business Travellers) yang dikendalikan oleh MIDA, membolehkan pelabur datang ke Malaysia dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi tujuan membuat keputusan perniagaan
sebagaimana yang dilaksanakan oleh AT&S untuk menubuhkan kilang pembuatannya di Kulim, Kedah.
Industri elektrikal dan elektronik (E&E) menyumbang sebahagian besar daripada ekonomi
Malaysia. Sektor pembuatan E&E Malaysia kini mengalami perubahan yang pesat, di mana
syarikat pembuatan sedang mengubah tumpuan mereka ke arah kegiatan teknologi tinggi,
intensif pengetahuan dan bernilai tinggi.
“Dengan adanya ekosistem E&E, MIDA meneruskan usaha untuk menarik syarikat multinasional bernilai tinggi ke Malaysia.
Projek di Malaysia ini dijangka akan mempertingkatkan lagi pembangunan ekosistem
semikonduktor Malaysia, pada masa yang sama membuka peluang kepada vendor tempatan untuk menceburi bidang elektronik termaju.
Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer berkata, “Langkah ini merupakan
pencapaian sebenar bagi AT&S. Dengan adanya kilang termaju kami bagi substrat IC, kami
mampu mewujudkan sektor teknologi yang serba baharu di Malaysia, yang bakal menjadi salah sebuah kawasan khas mikroelektronik global.

“Kami bukan sahaja mengeluarkan substrat IC atasan untuk pemproses prestasi tinggi di pusat pengeluaran baharu kami, tetapi juga menjalankan kegiatan R&D di lokasi ini yang akan mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak, iaitu AT&S serta masyarakat Malaysia memandangkan pelaburan dalam R&D adalah pelaburan untuk masa depan sebuah negara.”
“Dengan pelaburan AT&S di Malaysia, kita akan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan teknologi tinggi di rantau ini dan akan membantu dalam menetapkan rangka kerja bagi pertumbuhan di Malaysia pada masa akan datang,” kata Ketua Pegawai Operasi AT&S, Ingolf Schröeder.
“Bagi kami, ini adalah tanggungjawab asasi kami sebagai syarikat antarabangsa untuk tetap berpegang kepada komitmen sosial dan kedudukan kami sebagai majikan yang inklusif, pelbagai dan bertanggungjawab di lokasi baharu ini.”
MIDA dan AT&S menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama jangka panjang dalam penyelidikan dan pembangunan dan program peningkatan kemahiran dengan universiti serta institusi latihan dan penyelidikan di Malaysia, dengan matlamat mewujudkan peluang kerja dalam bidang berkemahiran tinggi dan bernilai tambah tinggi.
Dengan menandatangani MOU ini, MIDA mengharapkan kedua-dua belah pihak dapat
meningkatkan kecekapan bakat di Malaysia terutamanya dalam bidang PCB dan substrat IC
atasan.







































