Gaya hidup moden masa kini memerlukan semua informasi diperoleh pantas dihujung jari dan pastinya kita memerlukan sebuah peranti yang mampu bertahan lama daripada segi tempoh penggunaannya.

Hampir setiap masa kita bergantung kepada telefon pintar yang kini tidak terhad kepada panggilan dan mesej tetapi digunakan secara maksimum tidak kira sama ada untuk pekerjaan, tujuan sosial mahupun sebagai peneman ketika kesunyian.

Bagi mereka yang menggunakan telefon pintar untuk tujuan pekerjaan seperti pemandu e-hailing atau penghantar barangan dan makanan, tentunya peranti yang mempunyai ketahanan bateri menjadi pilihan.

Justeru, bagi memenuhi keperluan masa kini, Samsung memperkenalkan peranti baharu Samsung Galaxy A03s yang mempunyai keunikan tersendiri dan berkebolehan melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan.

 Saiz Skrin

Perkara pertama yang menarik perhatian Prebiu.com yang diberikan kesempatan menguji peranti ini mendapati, saiz skrinnya besar dan jelas sekali gus mampu memberikan sudut penglihatan yang jelas.

Dengan skrin bersaiz 6.5 inci TFT LCD beresolusi HD+ bersama nisbah aspek sebanyak 20:9, memberikan kepuasan untuk melakukan apa sahaja sama ada untuk bekerja atau menonton video kegemaran kerana imej yang dipaparkan benar-benar cantik.

Bagi anda yang gemar bermain video, fungsi peranti ini tidak mengecewakan kerana reka bentuk skrin infinity-V yang kemas, menjanjikan pengalaman penggunaan yang menyeronokkan tanpa gangguan.

Ciri Baharu

Samsung Galaxy A03s buat pertama kalinya menggunakan pengimbas cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa berbanding pengimbas pada skrin.

Pada pandangan penulis, ciri itu memudahkan pengguna kerana proses menyahkunci akan lebih pantas dengan hanya perlu meletakkan jari dan peranti pintar akan di nyahkunci dengan serta-merta.

Selain ciri itu, Samsung turut menyertakan fungsi kegemaran ramai iaitu bicu audio 3.5mm yang mana anda boleh bergaya dengan memberi aksesori audio seperti fon telinga atau fon kepala.

Walaupun, ramai yang beralih kepada fon telinga nirwayar, tetapi aksesori fon telinga berwayar masih tetap ada peminatnya yang tersendiri. Ini mungkin disebabkan harganya yang lebih mampu milik dan banyak pilihan rekabentuk.

Cip Berkuasa

Samsung Galaxy A03s menggunakan cip MTK6765 atau nama saintifiknya MediaTek Helio P35. Ini merupakan pemproses berteknologi 12nm yang dilengkapi cip ARM Cortex-A53 lapan teras pada kelajuan 2.3GHz.

A03s Multi Camera System

Peranti ini juga mempunyai RAM sebesar 4GB yang mencukupi mengikut keperluan khusus manakala storan dalaman pula 64GB yang mana boleh dinaiktaraf sehingga 1TB melalui sokongan microSD.

Ini bagi memastikan segala penggunaan pada peranti mampu berjalan dengan lancar sepanjang masa sekali gus urusan harian anda tidak terganggu apabila peranti beroperasi dengan cekap.

Dengan storan dalaman sebesar 64GB, anda boleh menyimpan dokumen, gambar, video dalam jumlah yang besar tanpa perlu bimbang untuk membuangnya apabila storan tidak mencukupi. Jika tak cukup beli sahaja kad microSD bersaiz sehingga 1TB.

Satu lagi ciri menari pada peranti ini dilengkapi One UI Core iaitu versi One UI yang khusus untuk peranti mampu milik Samsung. Ia membolehkan anda menyesuaikan peranti dengan cara yang disukai seperti semak maklumat daripada pelbagai aplikasi dengan pantas, mod tema gelap untuk penggunaan lebih selesa dan banyak lagi.

Bateri Samsung Galaxy A03s sebesar 5,000mAh pasti tidak mengecewakan apabila ia menjanjikan penggunaan harian lebih lama tanpa masalah. Apa yang menjadikan ia lebih menyeronokkan adalah anda boleh menggunakannya sepanjang hari untuk pelbagai jenis aktiviti seperti melayari web, memainkan permainan mudah-alih, menangkap gambar dan banyak lagi.

Ciri Tri Kamera

Peranti ini dilengkapi sensor utama 13-Megapixel yang mampu memberikan hasil gambar dengan kejelasan yang baik dan juga butiran cukup memuaskan. Sensor makro 2-Megapixel pula dapat memberikan gambar yang mengujakan untuk merakam gambar pada jarak dekat.

Ia amat berguna untuk anda yang gemar mengambil gambar dengan jarak sangat dekat untuk mendapatkan butiran lebih jelas terhadap sesuatu objek. Tidak ketinggalan, sensor kedalaman 2-Megapixel juga membolehkan anda mencipta kesan karya seni menarik dengan dengan latar belakang kabur.

Bagi mereka yang gemar berswafoto atau membuat panggilan video pula, sensor hadapan 5-Megapixel ini sememangnya tidak mengecewakan. Ini kerana ia menawarkan kualiti gambar swafoto yang sedap mata memandang juga mempu menghasilkan tona warna kulit yang semula jadi.

Namun, kualiti gambar yang dihasilkan apabila zoom 10 kali digunakan tidak begitu baik dan mungkin disebabkan ciri lensa 13 MP yang dipadankan. Sesuai dengan harganya, RM559, peranti ini digunakan untuk tujuan pembelajaran dalam talian atau dirumah atau sekadar menjadi peranti tambahan untuk kegunaan dirumah.

Tidak timbul masalah jika mahu merakam gambar dalam keadaan biasa bersama rakan-rakan kerana gambar yang dihasilkan sudah cukup memadai.

Sebagaimana zoom 10 kali ganda bagi merakam gambar, ciri itu turut disertakan apabila mod video diaktifkan, peranti ini mampu menghasilkan rakaman video yang berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, ciri tambahan lain untuk merakam gambar agak terhad dimana hanya ciri Macro, Food, Panorama, Potrait, Pro dan Hyperlapse ditawarkan. Mungkin ini adalah peranti yang mampu milik jadi ciri yang disediakan agak terhad.

Kesimpulan

Meskipun berstatus ‘mampu milik’ ciri yang ada pada peranti ini hampir sama dengan ciri pada peranti kelas pertengahan dimana Galaxy A03s ini turut dilengkapi ciri keselamatan terkini termasuk ciri biometrik pengecaman wajah dan imbasan cap jari.

Memegang peranti ini juga amat mudah dan selesa kerana rekabentuk badan belakangnya agak kasar yang juga membantu menghalang habuk terkumpul atau meninggalkan kesan cap jari.

Samsung Galaxy A03s dijual di Malaysia pada harga RM559 dan tiga pilihan warna yang disediakan seperti hitam, biru dan putih.