Rasa tidak lengkap jika tidak memakai jam tangan setiap hari khususnya jam tangan pintar dengan sensor terbina yang memantau apa jua aktiviti harian penggunanya.

Bagaimanapun, tidak semua jam pintar menyediakan ciri yang sama kerana setiap jam memiliki ciri yang berbeza mengikut varian yang ditawarkan.

Terbaharu, Samsung memperkenalkan generasi terkini jam pintar Galaxy Watch4 Classic yang mana sistem operasi Wear OSnya dibangunkan bersama dengan Google dengan pelancar baharu One UI Watch.

Jam tangan pintar ini ditawarkan dalam saiz 44mm dengan skrin 1.19″ dan 46mm dengan skrin 1.36″ kedua-duanya dari keluarga AMOLED juga.

Saiz peranti yang lebih besar ini adalah kerana pada model Classic ia dilengkapi dengan sistem kawalan menggunakan bezel berputar. Setiap putaran bezel membolehkan anda memilih pelbagai tetapan yang dimahukan daripada pilihan untuk bersukan hingga kepada ciri memeriksa stress (tekanan).

Apa yang menarik ialah jam ini dijana oleh cip Exynos W920 yang menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 20% berbanding cip terdahulu dan grafik pula sehingga 10 kali ganda.

Peranti ini juga dipadankan pula dengan 1.5GB RAM dan storan 16GB. Bateri yang digunakan pula ialah 247 mAh dan 361 mAh yang boleh bertahan melebihi dua hari dengan sekali caj.

Ciri Baharu

Jam ini dilengkapi sensor pengimbas nadi, oksigen dalam darah, tekanan darah, ECG dan GPS. Penjejakan sehingga 40 jenis senaman secara automatik boleh dilakukan bersama dengan menjejak pola tidur lengkap dengan pengesanan dengkur bagi menyukat kualiti tidur.

Justeru, beberapa sensor terbina mampu membantu pengguna untuk memantau tahap kesihatan termasuk – SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, kadar denyutan jantung dan banyak lagi.

Ciri baharu yang diperkenalkan kali ini ialah sokongan gestur untuk menjawab atau menolak panggilan telefon. Apabila aplikasi dimuat turun pada telefon pintar yang disambungkan, aplikasi yang sama akan turut dipasang secara automatik pada Galaxy Watch4.

Selain itu, ia mengingati kesemua tetapan pada telefon dan dipindahkan ke jam seperti jam penggera. Mengubah tetapan fon telinga juga akhirnya boleh dilakukan pada jam tangan pintar buat pertama kali.

Pengenalan jam pintar ini turut menyaksikan Samsung melancarkan fon telinga terbaharu Galaxy Buds2 yang boleh disambungkan terus pada jam Galaxy Watch4 ini.

Selesa dipakai

Peranti ini dilengkapi dengan tali jam jenis Ridge Sports yang selesa dipakai kerana bahan yang digunakan adalah lasak dan kalis peluh sekali gus mengekalkan tahap kelesaan sipemakai dalam apa jua bentuk gaya hidup masa kini.

Galaxy Watch4 Classic juga kalis air sehingga kedalaman 50 meter dibawah standard ISO 22810:2010. Bagaimanapun, ia tidak sesuai dipakai ketika melakukan aktiviti selaman atau dalam keadaan air bertekanan tinggi.

Jika jam ini basah, hanya keringkan dengan cermat dan boleh menggunakannya dengan semula.

Seperti biasa kaedah pengecasan Galaxy Watch adalah secara nirwayar melalui pengecas khas atau peranti Samsung dengan fungsi pengecasan nirwayar berbalik.

Pengalaman menyeronokkan

Apa yang menarik pada jam pintar ini ialah yang pertama dilengkapi dengan sistem operasi Wear OS yang direka bersama dengan Google.

Dalam dunia tersaling hubung, ciri Wear OS membolehkan anda menyambungkan kesemua aplikasi Google seperti kalendar, peta, Gmail kepada jam pintar ini. Ciri ini membolehkan anda memiliki ciri akses penuh tanpa perlu bergantung kepada telefon anda.

Apa yang menarik ialah anda juga boleh memilih dan memainkan lagu kegemaran daripada Spotify atau YouTune Music terus daripada jam ini.

Satu lagi kelebihan memiliki jam pintar ini ialah anda boleh menukar wajah jam digital ini setiap hari samada digital atau analog, menukar warna latar belakang mengikut mood anda. Kesemua ini boleh dilakukan menerusi aplikasi Galaxy Wearable.

Kesimpulan

Secara peribadi, jam pintar terbaharu Samsung ini memiliki banyak ciri baharu yang mampu melengkapi pengguna masa kini yang bukan sahaja mementingkan kesihatan malah tampil bergaya.

Mekanisme putaran bezel cukup mudah digunakan untuk memilih apa jua tetapan dengan pantas. Kecekapan sistem peranti ini dalam menyalurkan maklumat dapat dilihat setiap kali sesuatu pilihan dibuat.

Pada tanda harga RM1,399, bagi varian 46mm Samsung Galaxy Watch4 Classic ini sedikit tinggi berbanding model jam terdahulu. Bagaimanapun, dengan segala ciri yang dipadankan, harga berkenaan dianggap berbaloi bagi mereka yang benar-benar menghargai jam tangan pintar.

Peranti bercirikan premium ini amat sesuai digunakan setiap hari dan saiz paparan yang besar memberi kelebihan kepada mereka yang aktif bersukan kerana ia mudah dilihat tidak kira pada waktu siang atau malam.