Projek Rintis Sahabat Kafeteen Prihatin #HygieneKit telah dilancarkan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Pelancaran program berkenaan dijalankan di Lobi bangunan LPPKN.

Dalam majlis perasmian itu, Mohd Nizar menjelaskan bahawa objektif utama projek rintis ini adalah membantu golongan remaja perempuan yang memerlukan bantuan asas kebersihan diri akibat desakan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, program ini juga membantu golongan wanita terutamanya remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat serta sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita yang memerlukan.

Selain itu, menurut Mohd Nizar, setiap penerima akan ditawarkan mengikuti kelas berkaitan kesihatan wanita dan reproduktif secara dalam talian.

Ia dikendalikan oleh pasukan KafeTEEN LPPKN WPKL, pihak Kao (Malaysia) Sdn Bhd selaku penyumbang tuala wanita dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Setiap penerima remaja juga akan didaftarkan sebagai ahli baru Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan dan bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

Majlis pelancaran Projek Rintis Sahabat KafeTEEN Prihatin #HygieneKit turut dihadiri oleh Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Dr Zuhrah Musa, Pengarah Negeri LPPKN WPKL, wakil JAWI, Kao (Malaysia) Sdn. Bhd, Kelab Sahabat Kafeteen Malaysia dan Family of Charity.