Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, keadaan pandemik Covid-19 yang kini sudah menjadi Endemik memerlukan kewajaran daripada pihak kerajaan untuk membuka pelbagai sektor ekonomi.

Beliau berkata, kebenaran untuk rentas negeri dan pembukaan pintu sempadan juga perlu dibenarkan bagi tujuan pemulihan ekonomi negara.

“Justeru, diskaun khas sama ada tiket penerbangan atau diskaun membeli belah di kedai-kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dilakukan bagi merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.

“Ia juga dapat membantu perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik ini untuk kembali pulih khususnya kedai-kedai yang menjual barangan seperti minyak wangi, coklat dan barangan jenama lain,” katanya ketika melawat kedai Malaysia Airport Niaga Sdn Bhd  di KLIA, hari ini.

Mustapha (dua dari kanan) bersama Mohd Sabry Fauzi (dua dari kiri) Yusrina ismail (kanan sekali) dan Muhammad Nazrin Ahmad (kiri sekali) di KLIA

Mustapha berkata, beliau kagum dengan langkah yang diambil oleh Malaysia Airport Niaga Sdn Bhd dalam memastikan semua kakitangan seramai 700 orang di bahagian operasi dan jualan tidak diberhentikan kerja malah dikekalkan sewaktu pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun hampir semua kedai jualan di KLIA dan KLIA2 tidak dapat dibuka kerana ketiadaan penumpang domestik dan antarabangsa namun langkah diambil mereka harus diberikan pujian.

Turut hadir Pengurus Operasi Runcit Malaysia Airport Niaga Sdn Berhad, Mohd Sabry Fauzi; Pengurus, Yusrina Ismail dan Penyelia Operasi, Muhammad Nazrin Ahmad.