Negara Malaysia perlu berdiri teguh di bawah konsep “Keluarga Malaysia” terutama rakyat harus mengelak membuat sebarang kenyataan berunsur perkauman, keagamaan, bahasa dan sebarang bentuk diskriminasi dan penghinaan kepada wanita dan kanak-kanak.

Penghayatan perkara kelima – Kesopanan dan Kesusilaan di bawah Rukun Negara perlu dipupuk secara berterusan dalam menjayakan aspirasi konsep “Keluarga Malaysia” sebagai usaha murni bagi semua rakyat berada di bawah gagasan kebersamaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, atas faktor itu, tidak ada sebab kita perlu mengecam, mencemuh, mengkritik yang keterlaluan apatah lagi berunsur perkauman terhadap pemain perseorangan wanita negara, S.Kisona yang membawa nama negara dalam Kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaan, Finland.

Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masih berfikiran jumud ini perlu dielakkan sama sekali.

“Kenyataan buruk seperti ini tidak harus ada. Sukan adalah satu-satunya platform yang menyatupadukan semua rakyat dan amatlah bersesuaian dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di negara ini. 

“Dikala semua teruja dengan persembahan semua pemain Malaysia dalam aksi Piala Sudirman termasuk S.Kisona yang jelas membuktikan semangat juang dalam setiap permainannya, yang tidak gentar bertemu dengan lawan di ranking yang lebih baik, tetapi dicalit pula dengan komen berunsur perkauman ini. 

“Janganlah kita sebagai peminat sukan tanah air mengkritik sehingga perkara yang melibatkan agama, bangsa mahupun warna kulit. Menang atau kalah, itu adalah adat permainan dalam sukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Untuk makluman, S.Kisona, seorang pemain wanita muda berusia 23 tahun dan adalah pemain ranking ke-53 dunia dan beliau bukanlah baharu dalam sukan badminton tanah air malah dia antara pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 selain beberapa kejuaraan antarabangsa yang disertainya sejak 2017 bergelar pemain negara.

Lebih menarik, S.Kisona mempunyai kebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis selain bahasa ibundanya, Tamil yang jelas sangat bertepatan dengan konsep “Keluarga Malaysia. 

Teruskan kecemerlangan S.Kisona serta semua pemain badminton negara kerana rakyat Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara.