PROTON hari ini telah mengumumkan pelancaran Proton Iriz dan Persona 2022 baharu, menawarkan reka bentuk terkini dengan ciri-ciri yang telah diperbaharui.

Penambahan terbaru pada rangkaian model syarikat juga dipersembahkan dengan warna baru serta lebih keselesaan dan ciri keselamatan.

“Proton Iriz dan Persona telah berjaya memenangi hati ramai peminat sejak ia diperkenalkan, oleh itu perubahan yang kami perkenalkan mengambil kira cita rasa mereka.

“Perubahan reka betuk serta penambahan model ‘Active’ baru bagi Proton Iriz telah meningkatkan daya tarikannya, manakala perubahan pada dalaman dan sistem
infotainment akan memberikan keselesaan dan penghubungan yang lebih baik sambil mengekalkan pengalaman pemanduan Proton yang amat terkenal,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Rekaan Luaran

Perubahan luaran bermula dengan bampar reka bentuk baru dan gril corak ‘Infinite Weave’ dan “Ethereal Bow’ yang telah dikemaskan. Pada Proton Iriz, ia diberi profil baru, dan ditampilkan dalam warna merah manakala Proton Persona diberikan sentuhan warna krom bagi menonjolkan lagi logo PROTON yang terbaru.

Penampilan bagi semua model 2022 juga termasuk lampu hadapan LED yang mempuyai fungsi automatik tutup/ buka. Reka bentuk dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang yang baru.

Penambahan varian ‘Active’ kepada barisan model Proton Iriz memberinya penampilan yang lebih bergaya dan ‘sporty’. Bahagian luaran diberi bampar berlainan dengan sentuhan baru pada keseluruhan bentuk bahagian badan dari bampar hadapan sehingga ke bampar belakang.

Sentuhan penamat bahagian luaran diberikan oleh bumbung hitam dan rel bumbung baru.
Warna baru yang diperkenalkan adalah ‘Citric Orange’ dan ‘Passion Red’ untuk Proton Iriz 2022 dan ‘Space Grey’ untuk Proton Persona 2022 memberikan penampilan lebih muda bagi setiap kereta.

Bahagian dalaman direka semula

Perubahan paling ketara pada bahagian dalaman Proton Iriz dan Persona 2022 adalah penambahan unit infotainment 8-inci terapung dengan fungsi arahan suara yang kini mampu mengawal penyaman udara dan tingkap sebelah pemandu.

Ditempatkan pada bahagian atas panel tengah untuk akses mudah, unit infotainment dipadankan dengan lubang udara yang baru dan kawalan penyaman udara yang kini mempunyai paparan digital serta penapis udara N95.

Ciri kebolehgunaan pula dipertingkan dengan konsol tengah baru yang menyediakan perehat lengan serta ruang penyimpanan yang kini lebih senang diguna.

Bahagian dalaman Iriz varian ‘Active’ mengguna warna merah pada sulaman ‘Active’ di kerusi hadapan, trim pintu dan karpet, begitu juga dengan jahitan berwarna merah pada roda stereng dan tali pinggang keledar untuk meningkatkan daya tarikannya.

Ia juga ditampilkan dengan pedal sukan aluminium yang menambahkan lagi ciri sukan
secara halus.

Selain daripada penutup tempat duduk dan trim pintu ‘leatherette’ berwarna coklat (sama seperti warna yang diperkenalkan pada Proton X70), Proton Persona Premium 2022 juga ditampilkan dengan reka bentuk dalaman baharu yang akan meningkatkan lagi kemewahannya.

Menggabungkan Kemudahan dan Keselamatan

Dengan sebanyak 6 slot USB – tiga di bahagian hadapan, dua di bahagian belakang dan satu di cermin pandang belakang, bagi menghidupkan kamera pemuka, kedua-dua Proton Iriz dan Persona mampu memenuhi keperluan gaya hidup digital.

Persona juga menawarkan ruang but sebanyak 510 liter yang boleh diperluaskan dengan melipat tempat duduk belakang.

Tambahan pula, kedua-dua model ditampilkan dengan kamera dan sensor parkir bagi memberikan bantuan visual dan audio semasa menempatkan kereta di tempat parkir, sementara butang ECO mod akan menggalakkan pemandu agar memandu dengan lebih cekap agar mengurangkan penggunaan bahan api.

Dari segi keselamatan, dua-dua model ini telah menerima penarafan ASEAN NCAP sebanyak 5-bintang dan dilengkapi dengan ciri keselamatan yang komprehensif seperti struktur badan yang diperkuat menggunakan keluli Hot Press Formed (HPF) steel, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS) dan Bantuan Pegun Bukit (HHA).

Proton Iriz dan Persona 2022 kini boleh terdapat untuk tempahan secara atas talian di www.proton.com.