“Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menjunjung kasih di atas titah kenyataan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum dapat perkenan,” kata Datuk Norliza Abdul Rahim

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hendaklah bertanggungjawab di atas kerosakan yang diterjemahkan secara salah yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berkata, rakyat Malaysia sudah tidak mampu mendengar maklumat yang mengelirukan terarah kepada kemusnahan kepercayaan dan harapan tinggi yang diberikan, apatah lagi keadaan negara yang masih gundah-gelana.

Katanya, sewajibnya kerajaan Perikatan Nasional meneruskan misi keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang lebih diyakini dengan membentangkan pelan pemulihan ekonomi lebih jelas, bantuan rakyat lebih adil serta kejujuran kepimpinan lebih telus.

“Pada hemat saya, YAB Perdana Menteri tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang.