Usaha Kerajaan New Zealand mempromosikan vape sebagai produk alternatif penggantian kepada rokok tembakau bagi menggalakkan penduduknya berhenti merokok harus dicontohi oleh negara membangun seluruh dunia.

Pada Mac lalu, New Zealand telah memperkenalkan kempen ‘Vape to QuitStrong’ iaitu kempen pengurangan mudarat yang diakibatkan tabiat menghisap rokok tembakau. Kempen ini seiring dengan hala tuju Kementerian kesihatan New Zealand dalam menyumbang kepada matlamat Smokefree 2025. 

Presiden Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, New Zealand telah berjaya mewujudkan satu ekosistem usahasama yang melibatkan pelbagai pihak termasuk pengguna, pemain industri, kerajaan dan juga institusi kesihatan negara itu.

“Daripada usaha tersebut, New Zealand dijangka akan berjaya mencapai matlamatnya menuju negara bebas rokok.”

“Dalam satu pembentangan pada Sidang Kemuncak Maya E-Rokok USA 2021 USA baru-baru ini, pendekatan yang ambil kerajaan New Zealand menunjukkan pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam perundangan berkaitan vape untuk membantu negara tersebut mencapai matlamat bebas merokok selari dengan rangka kerja Smokefree 2025 negara tersebut.

“Malah, Kementerian Kesihatan negara itu juga telah mengiktiraf vape sebagai salah satu kaedah atau medium yang berkesan untuk berhenti merokok sejak tahun 2017.”

“Model perundangan yang digubal New Zealand untuk mengawal selia industri vape di negara tersebut mempunyai nilai ‘situasi menang-menang’ dan ia terbukti berkesan. Semua pihak mempunyai peranan dalam merealisasikan matlamat untuk mengurangkan jumlah statistik perokok negara itu. Jika model ini diaplikasikan di Malaysia, saya yakin kita juga mampu menjadi seperti New Zealand,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pembentangan tersebut, Ben Youdan, membentangkan kenyataan Menteri Kesihatan Bersekutu (Associate Minister of Health) New Zealand, Dr. Ayesha yang dipetik dari Pelan Tindakan Smokefree 2025 negara New Zealand bahawa penambahan produk vape dalam pasaran memberi peluang kepada kerajaannya untuk mengubah kerangka peraturan sedia ada dan membuat peraturan bersesuaian dengan risiko produk.

Kerangka kerja tersebut akan membuatkan rokok tembakau lebih sukar untuk diakses dan menjadi kurang diminati berbanding produk vape dan juga produk tembakau tanpa asap.

Ben Youdan merupakan seorang aktivis yang juga pernah memainkan peranan penting dalam Action on Smoking and Health (ASH), satu badan NGO antarabangsa dalam kawalan tembakau.

Sidang Kemuncak Maya E-Rokok USA 2021 yang diadakan baru-baru ini secara dalam talian telah mengumpulkan pakar-pakar dalam industri dan juga aktivis untuk membincangkan mengenai masa depan dan isu-isu berkaitan vape.

Dalam persidangan tersebut, Ben turut berkongsi mengenai usaha yang dijalankan New Zealand dalam menuju matlamat negara bebas rokok dengan kaedah Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR).

“Kerajaan Malaysia harus mencontohi New Zealand dan kami sebagai pemain industri berbesar hati jika kerajaan memberi peluang kepada kami untuk turut serta dalam perbincangan berkaitan regulasi industri vape. Kami bersedia untuk memberi buah fikiran dan pandangan berhubung isu berkaitan,” kata Rizani.