Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan rakyat termasuk pengguna, pembeli, peniaga, usahawan, pengusaha, penjaja dan penjual menggembleng tenaga memperkasakan ekonomi digital sebagai kaedah terbaik memenuhi urusan jual beli “on demand” sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, rakyat tidak perlu mengeluh dan merungut, namun perlu berinovasi terhadap keadaan semasa dengan menjadikan diri sebagai pengguna atau peniaga yang mampu mengekalkan momentum ekonomi niaga dalam keadaan apa jua sekalipun.

Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut menggalakkan penggunaan platform internet termasuk aplikasi teknologi dalam urusan perniagaan dan ekonomi digital yang mampu meningkatkan jualan dan belian lebih 65 peratus berdasarkan permintaan “on demand”.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, langkah penutupan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri sebagai contohnya perlu dilihat dari aspek yang ada hikmahnya dengan persediaan pengguna dan peniaga yang boleh terus beralih kepada platform atas talian bagi tujuan membeli dan menjual barangan, juadah atau perkhidmatan yang ditawarkan secara efektif dan selamat.

“Kita mempunyai pelbagai platform atas talian yang merancakkan perniagaan masing-masing dan pada masa sama, kesejahteraan peniaga perlu terus disantuni dan pampasan atau bantuan kerajaan secara “one-off” dilihat sebagai satu langkah yang sangat terpuji.

“Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin kelompok peniaga perlu lebih ke depan untuk menyertai platform e-niaga, e-mart, e-kitchen, e-pasar, e-penghantaran, e-jualan, e-dagang dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pulangan ekonomi digital ini sangat besar, malahan sebuah firma perunding
strategi menganggarkan bahawa ekonomi digital Malaysia bernilai lebih RM270 bilion yang menyumbangkan kepada 18 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Krisis COVID-19 ketika ini turut memberi kesan yang telah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital. Sebagai contohnya, pelbagai syarikat telah wujud selaku peneraju “super aplikasi” yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan harian “on demand” merangkumi penghantaran, pengangkutan, restoran dan makanan, pasar dan barangan runcit, pembayaran mudah alih dan kewangan menjadikan kehidupan harian sangat mudah.

“Kita juga perlukan lebih banyak peneraju aplikasi dan perlu terus diperkasakan seperti Agrobazaar atas talian yang menyediakan jualan produk segar dan industri asas tani yang telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.17 juta bermula Mac hingga November 2020 lalu bagi tempoh PKP.

“Ini satu usaha yang sangat baik dan wajib dipraktiskan pada masa ini supaya peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital penting bagi merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Secara am, banyak ruang serta peluang dapat diteroka dalam dunia digital. Kemahiran berniaga ditambah kemahiran digital bakal memberi ruang untuk usahawan meneroka
lebih jauh, di samping pengguna mempunyai pilhan yang alternatif,” katanya.

Menurutnya, kuasa internet termasuk adanya siaran langsung media sosial serta kaedah
penularan pemasaran media dalam dunia digital boleh mencetus fenomena baharu keusahawanan. Rakyat Malaysia sendiri juga perlu mewujudkan kemampanan perniagaan, sekali gus mencipta peluang perniagaan, pekerjaan dan pendapatan rakyat secara menyeluruh.