Model MPV popular Toyota Innova yang sudah berada dijalan raya di negara ini sejak lebih 5 tahun lalu, telah melalui pelbagai transformasi daripada segi rekaan luaran dan dalamannya.

Kini melangkah tahun 2021, MPV itu sekali lagi tampil dengan model dikemaskini yang hadir dalam tiga varian iaitu Innova 2.0E, 2.0G dan varian paling premium iaitu 2.0X yang didatangkan pada harga atas jalan tanpa insurans dengan pelepasan cukai jualan bermula RM129,677.

Apa yang menarik sangat pada model Innova 2.0X yang dipandu uji Prebiu.com kali ini? Nah paling menonjol ialah ‘kerusi kapten’ yang pertama kali ditawarkan oleh MPV ini kepada pembeli yang mencari kelainan apabila memiliki sebuah MPV.

Maklumlah nak membeli model MPV mewah seperti Toyota Vellfire dan Alphard yang harganya lebih dua kali ganda mahal mungkin tidak kesampaian.

Rekaan Luaran

Paling mudah dlilihat ialah rekaan bahagian hadapannya tampil lebih segar dengan kombinasi gril krom dan hitam, manakala perumah cermin sisi diberikan kemasan krom.

Bermain dengan warna hitam kini sudah menjadi trend kepada pengeluar kereta kerana kebanyakan peminat kereta gemar melakukan pengubahsuaian menggunakan elemen warna hitam khususnya rim sports, gril hadapan dan bumbung hitam bagi menonjolkan gaya sebuah kereta yang garang dan ‘macho’ atau bahasa kasar ‘nampak ganas bro!’

Selain itu, turut mendapat sentuhan terbaharu ialah lampu kabus dimana perumahnya direka semula dengan posisinya secara menegak.

Rekaan baharu lain ialah pelapik roda dan sisi badan yang dipadankan dengan skirt sisi lebih sporty manakala kemasan pintu belakang gaya baharu dan spoiler belakang yang direka semula untuk tampil garang.

Namun, tiada perubahan besar dilihat pada bahagian belakang kerana ia masih menggunakan perumah lampu berbentuk-L yang sama. Sedikit perbezaan ialah hujung keliling lampu tersebut kini digelapkan, manakala kemasan yang menghubungkan kedua-dua ditengah kini berwarna hitam.

Innova 2.0X dipasangkan dengan rim aloi 17 inci warna Dark Grey Metallic dan dibalut tayar 215/55R17.

Rekaan Dalaman

Sesuai dengan gaya kerusi kapten pada baris kedua yang nampak premium, tentu sekali ruang dalaman Innova 2021 ini tampil lebih menarik apabila dilengkapi kluster meter instrumen Optitron berkualiti tinggi untuk Paparan Multi-info (MID) 4.2 inci yang terang dan mudah dibaca.

Meter ini lengkap menyalurkan maklumat pemanduan seperti baki petrol, tahap penggunaan minyak bagi setiap kilometer, tetapan untuk meter dan sebagainya.

Selain menggunakan butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci, MPV gaya baharu ini diberikan kemasan perak dan kayu pada bahagian dalamannya.

Padanan skrin sesentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen pula menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan turut memaparkan visual dari Pemantau Pandangan Panaromik 3D yang dibekalkan secara standard.

Selain itu, sistem pendingin hawa automatik depan/belakang, sistem audio dengan enam-pembesar suara, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, tempat duduk kapten pada barisan kedua serta kombinasi kulit untuk semua kerusi menyerlahkan lagi penampilan Innova 2.0X 2021 ini.

Kesemua soket atau port USB juga telah dinaik taraf yang memberikan pengecas pantas, manakala dua soket di hadapan diposisikan semula ke papan pemuka dari panel konsol tengah, dan penumpang di baris ketiga turut menerima port USB mereka sendiri.

Sebagai tambahan, pengecas tanpa wayar turut disediakan di bahagian dalam konsol tengah, sebagai opsyen kepada semua varian.

Enjin

Toyota Innova 2.0X ini dilengkapi enjin petrol 4-silinder 16-injap 2.0L DOHC VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 137hp @ 5,600rpm dan tork 183Nm @ 4,000rpm.

Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik torque converter enam-kelajuan dengan mod sequential shift.

Terdapat tiga mod pemanduan (Normal, ECO dan Power) yang mana butang ECO dan PWR terletak dibawah suis kawalan pendingin hawa.

Ciri Keselamatan

Bagi model MPV ini, terdapat beberapa ciri tambahan diperkenalkan bagi keselesaan pemandu seperti Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Kedua-dua BSM dan RCTA ini menggunakan sensor pada badan dan bampar kenderaan untuk mengesan kenderaan lain yang berada dalam atau berhampiran kawasan titik buta.

Innova 2.0X dibekalkan dengan sistem Pemantauan Pandangan Panoramik (PVM) yang menggunakan kamera pada badan kenderaan untuk mendapatkan pandangan sekeliling 360 darjah.

Kelebihan menggunakan sistem PVM ini ialah pemandu boleh meninjau persekitaran kenderaan ketika meletakkan kenderaan di laluan sempit atau ketika melalui kesesakan jalanraya dan bagi tujuan mengelak berlaku kemalangan.

Sistem keselamatan lain ialah 7 beg udara SRS, tali keledar 3-mata, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) serta Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC).

Beberapa ciri pilihan lain turut ditawarkan dengan harga kos tambahan iaitu perakam video digital (RM1,100), dan pengecas telefon tanpa wayar (RM490) yang terletak di perehat tangan bahagian tengah antara pemandu dan penumpang hadapan.

Selain itu, varian 2.0X turut diberikan pilihan warna spesifik iaitu Crimson Spark Red Metallic, selain warna lain termasuk Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Silver Metallic, Super White II dan rona baharu Bronze Mica Metallic.

Kesimpulan

Untuk makluman pembaca setia Prebiu.com, Innova (2021) ini mendapat rating maksimum 5 bintang dalam ujian perlanggaran Asean NCAP.

Faktor yang menyumbang kepada rating itu adalah struktur badan kukuh yang tahan terhadap hentaman dan mampu menyerap tenaga utnuk meminimumkan kecederaan penumpang.

Selain itu, Innova 2.0X dibekalkan Sistem Telematik Kenderaan (VTS) Toyota yang membolehkan pemilik mengesan lokasi kenderaan mereka dengan bantuan teknologi GPS dan GSM jika berlaku kecurian.

Selepas lokasi kenderaan dikenal pasti, Pusat Kawalan VTS akan memaklumkan kepada pihak berkuasa. Sama seperti semua model lain keluaran UMWT, Innova diberikan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, tertakluk terma dan syarat.

Apa yang menarik apabila diberi peluang memandu uji MPV ini ialah ia menawarkan satu dimensi berbeza dalam pemilikan sebuah MPV khususnya penggunaan kerusi kapten yang memang amat dinanti-nanti oleh penggemar Innova di negara ini.

Kerusi baris kedua yang boleh dilaras ini juga dilengkapi meja makan yang boleh dilipat bagi kemudahan penumpang manakala lorong ditengah-tengah juga dilengkapi tempat menyimpan minuman.

Penumpang baris ketiga juga tidak perlu mengeluh apabila mahu keluar kerana lorong tengah memberikan keselesaan untuk pergerakan keluar masuk.

Bergantung kepada jenis kegunaan, Innova 2.0X mungkin sesuai bagi mereka yang mempunyai keluarga kecil atau mahu menggunakan kenderaan ini untuk menawarkan perkhidmatan e-hailing selain dijadikan sebagai kenderaan syarikat untuk membawa tetamu mahupun eksekutif kanan syarikat.

MPV ini juga sesuai bagi mereka yang mahu pulang ke kampung berhari raya dengan bergaya dan mementingkan keselesaan kepada penumpang belakang.

Namun, setiap kenderaan memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Misalnya, bahagian dalaman pintu hadapan khususnya berhampiran butang kawalan tingkap mungkin boleh dikemaskini sedikit kedudukannya kerana penulis berasa agak tidak selesa disebabkan keadaannya yang tidak rata dan sedikit senget.