Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara bertegas mahukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerangi kartel atau orang tengah yang dilihat sebagai punca utama harga barangan terus melambung setiap kali waktu perayaan utama.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, fenomena harga melambung perlu dititiknoktahkan yang rata-rata memberi kesan yang sangat buruk kepada pengguna dan peniaga.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, sehingga pertengahan bulan Ramadan ini, ramai pengguna dan peniaga berasa sangat terkesan dan mengeluh akibat harga yang tidak masuk akal termasuk barang basah seperti sayur, udang, ikan, ayam, daging dan buah selain minyak masak dan barang makanan tin.

Razali Idris

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga menggesa pihak kementerian mengesan sindiket kartel ini yang berlaku di peringkat pengimport dan pemborong bagi barangan yang diimport sepenuhnya serta didorongi kartel domestik yang menguasai rantaian bekalan antara pemborong, pembekal dan peniaga tempatan.

“Kita memahami penentuan harga barangan bergantung kepada harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti tetapi permainan harga yang tidak munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi masih terus berlaku pada masa ini.

“Di manakah peranan Majlis Harga Barang Negara yang sepatutnya memberi data mutakhir bagi setiap barangan yang dijual tetapi pada harga akhir kepada pengguna itu tetap sangat tinggi. Pengguna mula mempersoalkan apakah fungsi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan keprihatinan yang sangat tinggi terhadap kebajikan pengguna perlu dibela, tidak dibuli dan tidak ditindas sama sekali di samping tidak menghimpitkan keresahan peniaga dan penjaja untuk menjual barangan masing-masing dengan harga yang patut.

Menurutnya, ketika ini, pengguna masih bergelut dengan ekonomi masa kini, terutama
kelompok rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Razali berkata, kesejahteraan rakyat perlu dibela pada ketika pasaran domestik negara juga telah diberikan rangsangan pemulihan ekonomi oleh kerajaan sedia ada.