Siri terbaharu Samsung Galaxy A yang baru dilancarkan pada bulan Mac 2021 ini membenarkan anda untuk berkomunikasi dan menyerlahkan ekspresi diri dengan ciri kamera yang hebat, paparan skrin jelas dan penskrolan yang mudah.

Prebiu.com yang berpeluang menguji peranti dalam kelas pertengahan Galaxy A52 berwarna Awesome Blue ini mendapati, ia dilengkapi ciri-ciri Galaxy inovatif baharu seperti jangka hayat bateri yang lama dan kalis air serta debu (IP67).

Mula diperkenalkan secara pertama kali menerusi siaran langsung yang dipancarkan ke seluruh dunia di saluran media sosial facebook menerusi majlis Galaxy Awesome Unpacked, pada minggu lalu.

Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Ketika peranti dilancarkan minggu lalu, dua lagi peranti dalam siri A turut diperkenalkan iaitu A72 dan A32 yang memiliki ciri spesifikasi berbeza.

Siri Galaxy A juga akan mempertingkatkan pengalaman anda menggunakan telefon sekarang dengan menyediakan akses menyeluruh ekosistem Galaxy tersambung peranti lain seperti Galaxy Buds Pro, Galaxy SmartTag, dan Galaxy Tab.

Kesemua sistem itu dapat disambungkan menerusi aplikasi SmartThings yang cukup mudah digunakan dengan hanya satu sentuhan.

 

Bagaimanapun, ciri inovasi pada A52 ini benar-benar lebih baik seakan memiliki ciri sebuah peranti premium dalam siri Galaxy S. Cara mudah nak jelaskan ialah sebagai contoh anda membeli sebuah kereta buatan nasional berharga RM70,000 yang dipadankan ciri-ciri sebuah kereta berharga lebih RM100,000.

Rekaan Kamera Unik

Nampak gayanya, Samsung tidak mahu terikat dengan rekaan sebelumnya dan kali ini rekaan paling ketara ialah kedudukan lensa kamera belakang yang lebih menonjol ‘dibaluti’ dengan bingkai yang selari dengan warna badannya sekali gus kelihatan minimalis dan trendy.

Bagaimanapun, bonggol kamera A52 ini tidak kelihatan terlalu besar atau ketara tetapi nampak kemas berbanding model peranti premium dalam siri Galaxy S.

Kedudukan semua lensa kamera disusun rata dalam dua baris menegak dengan lampu LED flash pula diletakkan pada bahagian bawah.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik A52 ini pada harga bawah RM1,500.

Rekaan Kontur Badan

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Walaupun kelihatan ringkas, kemasan pusam (matte) yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White. Memang Ohsem!

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah bersama-sama dengan bicu audio 3.5mm, lubang mikrofon dan juga dua pembesar suara. Lebih menariknya di sini, dua pembesar suaranya adalah stereo AKG dengan sokongan surround sound Dolby Atmos.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy A52 hadir dengan skrin bersaiz 6.5 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 407 PPI dan kadar segar semula 90 Hz.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad mikro sehingga 1TB.

Samsung A52

Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A52 menggunakan cip pemproses Octa-Core dan memori 8GB RAM dan bateri sebesar 4500mAh yang menurut Samsung mampu bertahan sehingga dua hari.

Bagi peranti A52 kali ini, Samsung membekalkan kepala pengecas dan kabel bagi setiap pembelian yang menyokong pengecasan pantas 25W.

Bagi anda yang gemar kepada muzik boleh berhubung dan mendengar muzik bersama. Music Share akan selaraskan telefon anda dengan peranti kawan untuk berkongsi muzik tanpa menggunakan gabungan pembesar suara. Anda juga boleh menggandingkan telefon dengan dua set peranti Galaxy Buds dan dengar bersama dengan Buds Together.

Begitu juga dengan ciri Quick Share membenarkan anda untuk menghantar gambar dan video tanpa had saiz ke peranti Galaxy yang berdekatan supaya anda boleh muat naik swafoto bersama dengan mudah.

Dengan Private Share, anda ada pilihan sama ada untuk berkongsi atau membatalkan perkongsian foto dan video dengan satu tekan.

Selain itu, peranti A52 ini juga mempunyai ciri panel Edge pada paparan skrin dan perlindungan sekuriti seperti pengecaman muka, pengesanan cap jari dan paten.

Gambar menggunakan kamera ultra lebar

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy A52 dilengkapi ciri kuad-kamera belakang gabungan64MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 5MP (f/2.4) – (Makro) sementara kamera swafoto 32MP.

Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Tambah lagi menarik apabila menggunakan ciri 4K Video Snap untuk mengambil imej resolusi tinggi 8MP daripada rakaman video 4K.

Gambar yang dirakam menggunakan zoom 10x

Scene Optimizer menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk mengambil gambar dengan pengeset optimum untuk 30 kategori imej dan latar belakang seperti makanan, landskap dan haiwan peliharaan.

Sama ada sedang merakam trend tarian terbaru atau aksi menggunakan papan selaju, OIS (optical image stabilization) memastikan hasil gambar dan video kelihatan jelas dan mantap.

Gambar dirakam menggunakan mod malam

Jika merakam gambar dalam keadaan lampu malap, tekan sahaja butang Night mode yang menggunakan pemprosesan multibingkai yang boleh memberikan hasil imej yang terang walaupun di dalam gelap.

Lebih menarik ialah paparan skrin Super AMOLED Samsung adalah lebih cerah dan lancar, membolehkan anda menonton rancangan kegemaran anda lebih menyeronokkan dan apabila berada di luar dengan tambahan luminans 800 nits.

Untuk menambah kelesaan ketika menonton, paparan juga diiktiraf ‘Eye Care’, dan mengubah suhu warna paparan secara automatik berdasarkan corak penggunaan telefon pintar untuk mengurangkan keletihan mata dengan ‘Eye Comfort Shield’.

Harga pasaran

Samsung Galaxy A52 yang baru dilancarkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,499 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.

Kesimpulan

Jika anda seorang yang mahu tampil kelainan atau kelihatan trendy dan gemar bermain dengan warna-warna baharu, maka Samsung Galaxy A52 ini amat ‘padan’ kerana ciri inovasi yang ditampilkan kali ini lebih baik.

Setiap penambahbaikan yang dilakukan pada peranti ini seberat 189 gram ini memberikan satu kelebihan kepada anda yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan harian, cekap dan pantas daripada segi pemprosesan.

Dengan menggunakan cip pemproses Octa-Core – Dual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz, kamera utama 64MP sudah cukup hebat manakala rekaan badannya yang tidak begitu berat, tidak membebankan kocek anda selain mudah digenggam dengan selesa.

Sebagai sebuah peranti pertengahan, Samsung A52 ini amat berbaloi dimiliki kerana spesifikasi yang dipadankan adalah lebih premium iaitu kebanyakannya dimiliki peranti berharga lebih RM3,000.

Pembelian set Samsung A52 ini disertakan dengan pengecas dan dan kabel dalam kotaknya selain sokongan kad mikro-SD tetapi diberikan dengan kapasiti storan sebesar 256GB.

Selain itu, apabila mod video digunakan, tahap zoom sehingga 10X turut disertakan selain ciri ultra lebar bagi memberikan pengalaman rakaman video lebih baik. Peranti ini juga dilengkapi ciri rakaman gerak perlahan (slow motion) dan super slow motion, hyperlapse, panorama dan potrait.

Satu lagi ciri menarik ialah ciri FUN dimana kamera ini dilengkapi lensa Snapchat yang unik menjadikan gambar dihasilkan menjadi pelbagai bentuk yang pelik dan menyeronokkan.

Gambar dirakam menggunakan mod Makro

Ciri menarik lain ialah Samsung A52 ini dipadankan dengan fungsi kalis debu dan air IP67 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.0 meter untuk tempoh sehingga 30 minit namun dinasihatkan tidak menggunakan telefon ini di kolam atau pantai.

Bagi peranti A52 ini juga akan turut menerima kemas kini 3 versi sistem operasi dan kemas kini keselamatan selama empat tahun. Ini bermakna mereka yang membeli A72, A52 5G dan A52, mereka boleh berasa lega kerana peranti ini akan disokong sehingga Android 14.

Keseronokan menggunakan kamera Samsung Galaxy A52 ini boleh dilihat melalui hasil gambar-gambar yang dipaparkan dalam laman Prebiu.com ini. Memang Ohsem!

Gambar dirakam menggunakan mod Makro

Spesifikasi Samsung Galaxy A52:

  • 6.5” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 407 PPI, 90 Hz
  • Samsung Octa-Core
  • Samsung One UI 3.1 + Android 11
  • Memori 8GB
  • Storan 256GB RAM
  • 4500mAh Fast Charging 25W
  • Kamera belakang: 64MP (f/1.8) OIS + 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) + 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) + 5MP (f/2.4) – (Makro)
  • Kamera depan: 32MP AF f/2.2
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax, (2.4G + 5GHz), Bluetooth 5.0, USB-C
  • Pengimbas cap jari,  pembesar suara stereo AKG dan surround sound Dolby Atmos, IP67
  • Warna: Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.
  • Harga:  RM1499