Penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) yang mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di bawah program perakaunan profesional Yayasan Peneraju, terus muncul antara pelajar terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat dunia dalam peperiksaan profesional CAT dan ACCA baru-baru ini.

Inisiatif Yayasan Peneraju yang menumpukan pada pembangunan dan pengukuhan
keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih baik setakat ini telah
melahirkan 2 Top Affiliates ACCA Malaysia dan 67 penerima anugerah ‘Prize Winners’ yang
terdiri daripada 2 penerima ACCA Global Prize Winners, 28 ACCA Malaysia Prize Winners,
29 CAT Global Prize Winners dan 8 CAT Malaysia Prize Winners sejak program profesional
tersebut diperkenalkan pada tahun 2012.

Pencapaian ini menjadikan Yayasan Peneraju sebagai salah satu badan biasiswa terbesar yang menghasilkan penerima anugerah CAT dan ACCA di peringkat global dan tempatan dan jumlahnya diramal meningkat dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.

Iffah Cheek Peei

Iffah Chek Peei, 22, adalah pelajar tajaan Yayasan Peneraju terbaru yang muncul sebagai Top Affiliate di mana beliau berjaya menamatkan peperiksaan ACCA Disember 2020 pada percubaan kali pertama dan menduduki tempat ke-2 bagi anugerah Top Affiliate ACCA Malaysia baru-baru ini dan tempat ke-19 di dunia.

Beliau merupakan salah seorang calon yang telah memperoleh markah gabungan tertinggi
untuk empat kertas profesional strategik ACCA iaitu Strategic Business Leader (SBL),
Advanced Financial Management (SBR), Advanced Financial Management (AFM) dan
Advanced Taxation (ATX).

Ketika ditanya mengenai pencapaiannya yang luar biasa itu, Iffah mengatakan bahawa
falsafahnya adalah jangan mudah menyerah kalah dan bekerja keras. “Kejayaan tentu saja
akan datang secara semula jadi, walaupun ia tidak semudah itu. Terus lakukan yang terbaik.

Walaupun kursus ACCA begitu mencabar dan memerlukan komitmen tinggi untuk lulus, ia
pasti akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin pada masa depan.

Dengan tekad yang kuat, saya berjaya menamatkan pengajian tepat pada waktunya dan
saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Yayasan Peneraju dan
Sunway TES yang begitu bersungguh-sungguh memastikan penerima faedah dilengkapi
dengan pengetahuan teknikal dan kemahiran insaniah yang sangat berguna apabila kami
memulakan kerjaya profesional kelak.

Kepada mereka yang berminat untuk mengikuti program ACCA, nasihat saya adalah anda
memerlukan disiplin dan keinginan yang kuat untuk belajar di bidang perakaunan supaya
dapat berjaya dalam kursus ini,” tambahnya.

Anak kelahiran Melaka, Iffah, 22, dinobatkan sebagai penerima anugerah World Prize
Winner untuk Foundations in Taxation” (FTX) pada bulan Jun 2018 dan pada bulan Mac
2020, beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah Malaysia Prize Winner untuk
Advanced Financial Management (AFM).

Nur Aniess Shamida Samsul Kamil

Pada peperiksaan Disember 2020, beberapa calon lain juga memperoleh pengiktirafan membanggakan. Nur Aniess Shamida Samsul Kamil, 20, Kedah, dinobatkan sebagai
penerima anugerah CAT World Prize Winner untuk dua kertas iaitu Foundation in Taxation (FTX) dan Foundation in Financial Management (FFM) di mana beliau memperoleh 90 dan 93 markah untuk kedua-dua kertas tersebut.

Sementara itu, Nur Amirul Harith Hishamuddin, 20, Melaka, adalah penerima anugerah ACCA Malaysia Prize Winner untuk Taxation (TX) dengan 93 markah, sementara Aisy Afiqah Amran, 19, Selangor, adalah penerima anugerah CAT Malaysia Prize Winner untuk Management Information (MA1) dengan memperoleh 96 markah.

Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju berkata, Yayasan
Peneraju telah membiayai hampir 5,000 akauntan profesional Bumiputera untuk masa
depan dan akan terus memberi peluang kepada lebih 10,000 akauntan profesional
menjelang tahun 2025.

Aisy Afiqah Amran

Setakat 1 Julai 2020, akauntan Bumiputera hanya merangkumi 9.17% atau 1,983 dari keseluruhan 21,631 akauntan profesional yang berdaftar dengan Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan usaha perlu ditingkatkan untuk menarik lebih ramai penyertaan bagi menggandakan bilangan akauntan profesional Bumiputera.

Yayasan Peneraju merupakan satu inisiatif di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera ke arah negara
berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional dan spesialis.

Nur Amirul Harith Hishamuddin

Meraikan ulangtahun ke-9 pada bulan Februari, Yayasan Peneraju telah merealisasi
aspirasi lebih dari 36,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 276 program
pembiayaannya, dengan agihan peruntukan sebanyak RM822 juta sepanjang tempoh
sembilan tahun penubuhannya.