Peruntuk lebih RM600,000 daripada BIMB Holdings Berhad, Zakat, AMAL dan Sadaqa House Bank Islam

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan syarikat induknya, BIMB Holdings Berhad (BHB) telah menyantuni 30 keluarga kurang upaya cacat penglihatan di Brickfields, Kuala Lumpur untuk menyerahkan peranti tablet yang dilengkapi pelan data internet.

Ia merupakan sebahagian daripada penyerahan 1,000 unit tablet khusus bagi membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak daripada keluarga asnaf, mangsa banjir dan golongan kurang upaya (OKU) terpilih di seluruh negara. Penyerahan sumbangan tersebut telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 19 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (kanan) menyampaikan tablet kepada salah seorang penerima OKU penglihatan

Penyediaan kemudahan ini yang selari dengan Matlamat 4 – Pendidikan Berkualiti, Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Ia melibatkan dana daripada BHB, Zakat serta cabang tanggungjawab korporat AMAL dan platform pendanaan awam kewangan sosial Bank Islam, Sadaqa House.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, walaupun sekolah telah dibuka secara berperingkat, namun pihaknya percaya bahawa tablet ini dapat terus dimanfaatkan pelajar. Kes COVID-19 dalam negara kini masih tidak menentu.

“Ia berkemungkinan menyebabkan proses pembelajaran pelajar akan masih dijalankan secara dalam talian sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak dalam kalangan pelajar.

“Prihatin dengan kesukaran yang dialami, kami terpanggil untuk membantu menerusi penyerahan sumbangan tablet berserta pelan data internet selama empat bulan bagi memastikan pelajar terbabit tidak tercicir dalam pembelajaran mereka.”

“Sebagai sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, Bank Islam amat menitik beratkan usaha-usaha yang membawa kepada kesejahteraan segenap lapisan pelanggan dan komuniti di mana kami beroperasi, tanpa mengira batasan kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan adalah salah satu bidang tumpuan dimana pihaknya percaya bahawa ia adalah senjata penting dalam mempertingkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan.

Katanya, sejajar dengan matlamat pendigitalan pendidikan, pihaknya berharap agar penyerahan tablet dan kemudahan data internet ini akan merapatkan lagi jurang digital yang wujud.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam amat berbesar hati dan bersyukur kerana berpeluang untuk menggembirakan anak-anak ini, pada masa yang sama meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

“Pihak Bank komited untuk mengagihkan peranti ini kepada pelajar-pelajar di seluruh negara dan sehingga kini 500 buah peranti telah pun diserahkan.

“Inisiatif di bawah teras AMAL dan platform pendanaan awam Sadaqa House ini mendapat kerjasama rakan strategik Bank Islam iaitu Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Lembaga Zakat Negeri, Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah–sekolah Malaysia (PEKDIS) dan Celcom Axiata Berhad,” katanya.