Toyota telah meraih beberapa anugerah bagi teknologi keselamatan terbaik dalam kelasnya serta Anugerah Kecemerlangan sebagai sebuah jenama dengan anugerah 5-bintang paling banyak (2019-2020).

Dalam tempoh dua tahun terakhir, jenama Toyota telah menerima penarafan lima-bintang secara keseluruhan bagi tujuh model kenderaan keluarannya — satu angka lebih banyak berbanding jenama lain.

Disebabkan penularan pandemik, Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP Ke-4 telah diumumkan pada 16 Februari 2021 secara dalam talian. Acara dua tahun sekali bagi Program Penilaian Baru Bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bertujuan untuk meraikan pihak yang memberikan pencapaian tinggi terhadap keselamatan dalam kenderaan di rantau ini.

Sejak beberapa dekad lalu, Toyota sangat komited untuk mempertingkatkan keselamatan
kenderaan secara berterusan. Selain rekaan kenderaan, Toyota juga sudah membangunkan
banyak teknologi maju lainnya yang bukan saja mempertingkatkan lagi perlindungan, sebaliknya turut menetapkan tahap baru dalam industri automotif.

“Toyota bersungguh untuk mempertingkatkan teknologi keselamatan dan dalam kenderaan yang dikeluarkan secara berterusan, sebagai sebahagian usaha keseluruhan ke arah keselamatan jalan raya dan kenderaan yang lebih selamat.

“Dengan tumpuan terhadap tiga unsur terpenting—kenderaan (memajukan teknologi keselamatan), insan (mendidik pemandu, penumpang dan pejalan kaki ke arah keselamatan trafik) dan persekitaran trafik (menyokong prasarana trafik yang lebih selamat),” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Daripada 12 kategori berkaitan pengeluar kenderaan serta kenderaan bermotor, Toyota menang dalam lima kategori.

Model popular seperti Toyota Corolla Altis, Toyota Hilux dan Toyota Innova merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan bagi Penambahbaikan Berterusan Keselamatan dalam segmen masing-masing, sementara Toyota Majesty/Granvia diiktiraf dengan Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik Bagi Sistem Bantuan Keselamatan.

“Semua anugerah daripada ASEAN NCAP ini mengesahkan bahawa pendekatan dalam Toyota Synergized Mobility untuk mengkedepankan kepimpinan teknologi Toyota yang akan digunakan untuk menjadikan kereta keluaran kami lebih baik,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Hari ini, kebanyakan model Toyota di Malaysia telah dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, sebuah konsep Pengurusan Keselamatan Bersepadu yang menghubungkan teknologi dan sistem keselamatan individual untuk saling berkerjasama di dalam pelbagai tahap operasi kenderaan, dari parkir hinggalah kepada keselamatan canggih, keselamatan pra-perlanggaran, keselamatan pertembungan dan menyelamat.”

ASEAN NCAP adalah sebuah usaha sama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Global NCAP. Ditubuhkan pada 2011, ia menjadi penanda aras baru bagi keselamatan kenderaan di rantau ini sebagai respon kepada Tindakan Sedekad Bagi Keselamatan Jalan Raya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejak 10 tahun lalu, ASEAN NCAP menumpukan perhatian terhadap model kenderaan popular yang dijual di rantau ASEAN untuk menyediakan maklumat prestasi keselamatan kenderaan kepada pengguna.

Ia menjalankan ujian perlanggaran di kemudahannya yang bertempat di Melaka serta di lokasi-lokasi organisasi serupa di sekitar Asia.