Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Penasihat Islam Kedutaan Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al Robian di pejabatnya.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu pelbagai isu dibincangkan antaranya ibadah umrah dan haji pada tahun ini, isu pendidikan melibatkan pelajar Malaysia ke Arab Saudi, pelancongan selepas COVID-19 dan isu pelaburan dari negara Arab Saudi serta perbincangan berkaitan kesejahteraan Ummah.

“Turut disentuh ialah berkaitan penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia yang kini sudah hampir 1 tahun berlalu yang memberi kesan kepada agensi pelancongan termasuk agensi yang menguruskan pakej Umrah dan Haji.

“Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila ada agensi yang terpaksa menutup operasi kerana tidak lagi mampu menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al Robian berkata, kerajaan Arab Saudi baru-baru ini telah mengumumkan larangan kemasukan pelawat asing dari 20 buah negara buat sementara waktu sebagai cara untuk menghalang peningkatan jangkitan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang tersebut dan penggantungan itu diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi Awal pada Februari lalu.

Beliau berkata, warga Arab Saudi termasuk diplomat dan kakitangan kesihatan dari 20 negara berkenaan dibenarkan memasuki Arab Saudi tetapi perlu mengikut langkah -langkah pencegahan pandemik COVID-19 yang ketat.

Mustapha berkata, Malaysia akan memperolehi Vaksin COVID-19 tidak lama lagi dan berharap kerajaan Arab Saudi boleh mempertimbangkan kehadiran jemaah Malaysia bagi menunaikan ibadah Umrah dan Haji untuk tahun ini tambahan pula Malaysia tidak tersenarai dalam 20 negara yang dilarang memasuki Arab Saudi.

“Malah Senator Datuk Seri Dr Zulkifkli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama berusaha keras supaya jemaah dari Malaysia dapat menunaikan ibadah umrah dan haji dari tahun lepas lagi tetapi penularan virus ini memaksa pihak kerajaan Arab Saudi menangguhkan kehadiran semua jemaah seluruh dunia.

“Kami berharap jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lepas dibenarkan melakukannya pada tahun ini. Ini adalah masa terbaik bagi pihak Arab Saudi mempertimbangkan kehadiran jemaah dari Malaysia memandangkan hubungan akrab kedua-dua negara sudah lama terjalin,” katanya.

Sheikh Abdul Rahman berkata, segala syor yang dikemukakan oleh NGO Antarabangsa akan diteliti dan diperhalusi dengan sewajarnya untuk perhatian untuk pihak Arab Saudi

Beliau amat terharu dengan usaha usaha murni NGO Antarabangsa berkaitan dengan Malaysia termasuk kehadiran jemaah negara ini untuk menunaikan ibadah umrah dan haji pada tahun ini serta kehadiran pelajar Malaysia ke Arab Saudi.

Mustapha amat menghargai atas usaha usaha Sheikh Abdul Rahman kerana sedia membantu dan memanjangkan isu-isu yang dibawa oleh NGO Antarabangsa kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

Dalam pada itu, Mustapha turut menerima beberapa naskhah Al-Quran terbitan terbaru Arab Saudi dalam Bahasa Melayu. Turut hadir pegawai penyelidik Arab Saudi, Ahmad Fazrin Yahya.