Program Jom Bantu Asnaf COVID-19 anjuran Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur (Baitul Hasan) telah berjaya mengagihkan 100 pek makanan kepada anggota Rela, pengawal keselamatan dan pembersihan masjid serta sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Pertubuhan itu juga turut bekerjasama dengan Madrasah Islahiah Diniah Kampung Memali Baling, Kedah dengan menyantuni 70 keluarga asnaf.

Pengasas Baitul Hasan, Ustaz Dino Rizal Suratman berkata, meskipun negara ketika ini dilanda wabak COVID-19, pihaknya meneruskan usaha mengadakan program ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para dermawan yang bermurah hati membantu mereka. Kami sentiasa mendoakan muslimin dan muslimat sekelian sentiasa dimurahkan rezeki dan diberikan ganjaran syurga oleh Allah swt.

“Semoga Allah swt membalasnya dengan kebaikan di dunia dan akhirat…insyaallah misi membantu asnaf akan kami teruskan di seluruh Malaysia jika ada rezeki,” katanya.

Sementara itu, sempena menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba, Baitul Hasan melancarkan Tabung Ihya Ramadan Baitul Hasan 2021M/1442H bagi menjayakan semua program yang dirancang sepanjang bulan Ramadhan kelak.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dirancang ialah agihan makanan berbuka puasa dan bubur lambuk untuk asnaf dan anak yatim (500 pek = 1 hari kos RM3,500), bacaan Yasin dan tahlil arwah serta sumbangan ihya Ramadan dan Hari Raya (asnaf, anak yatim, maahad tahfiz, masjid dan surau).

“Sempena Ramadan kian menjelang tiba, pihak kami ingin memohon dan merayu sumbangan orang ramai. Bersedekahlah walau sedikit…rebutlah peluang beramal dibulan yang mulia dan semoga ia menjadi amal soleh buat bekalan kita di akhirat kelak,” katanya lagi.

Jika anda ingin terus membantu salurkan sumbangan zakat/sedekah/infak/fidyah anda secara bank in atau pemindahan online ke akaun Bank Islam 14171 01 000 7586 (Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur) atau hubungi talian 017-3535 085 (Ustaz Dino) atau 017-3505 681 (Pejabat Baitul Hasan).