Samsung baru-baru ini telah melancarkan tiga peranti mercu sebagai pembuka tirai tahun 2021 menerusi siri Galaxy S21. Tiga variasi yang diperkenalkan iaitu Galaxy S21 5G, Galaxy S21+ 5G dan Galaxy S21 Ultra.

Kelebihan ketiga-tiga peranti mercu ini ialah ia pertama kali dilengkapi dengan cip Exynos 2100 dan hadir menerusi rekaan bonggol kamera yang unik berbanding model S20 (cip Exynos 990) yang dilancarkan pada tahun lalu.

Prebiu.com yang diberi peluang untuk menguji peranti terbaharu Samsung Galaxy S21 5G ini secara keseluruhannya amat tertarik dengan rekaan kameranya yang kelihatan berbeza berbanding peranti keluaran terdahulu.

Mungkin ada sisi tertentu yang mahu ditonjolkan gergasi pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan supaya pengguna akan lebih tertumpu atau fokus diberikan kepada rekaan kamera berbanding ciri dalamannya.

Manakan tidaknya sekarang hampir semua pengguna telefon pintar mahu kualiti gambar yang terhasil daripada setiap petikan gambar memberikan kepuasan apabila dimuat naik ke laman sosial kegemaran mereka.

Melihat kepada warna Putih Phantom yang diberikan ini, peranti ini kelihatan cukup premium dan selesa dipegang disebabkan rekaan badannya yang tidak begitu licin tetapi sedikit kesat.

Ini kerana S21 ini menggunakan panel polikarbonat ‘glastik’ yang tahan lasak dan hasilnya permukaan belakangnya tidak meninggalkan kesan cap jari dan licin berbanding model terdahulu S20.

Menerusi model S21, rekaan baharu “Contour Cut Design” diperkenalkan yang mana rekaan badan peranti ini dilihat bercantum dengan bahagian bingkai kamera.

Skrin pada peranti ini juga rata dan tiada kesan lengkung seakan ‘edge’ manakala rekaan bezel yang lebih nipis untuk kawalan bunyi dan butang buka masih kekal di sebelah kanan.

Slot untuk kad sim pula dipindahkan ke bahagian bawah berbanding S20 diletakkan di atas. Slot kad sim pula mempunyai ciri dua slot iaitu di atas dan di bawah tetapi tiada ruang untuk slot kad mikro-SD untuk storan tambahan.

Rekaan Kamera Unik

Rekaan paling ketara ialah kedudukan kamera belakang yang lebih menonjol seakan ‘dibalut’ dengan satu bingkai yang bercantum dengan badannya sekali gus tampil kelainan berbanding peranti sedia ada di pasaran sekarang.

Walaupun bonggol kamera model S21 ini kelihatan besar daripada kebiasaannya, namun ia tidak terlalu tebal dan nampak kemas selain tidak terlalu tertonjol berbanding model ‘abangnya’ seperti S21+ dan S21 Ultra.

Kedudukan semua lensa kamera disusun rata dan lampu LED flash pula diletak di luar kotak bonggol kamera, mungkin tidak mahu mengganggu bingkai kamera.

Bagaimanapun, jika flash dipasang untuk tujuan sebagai lampu suluh, cahayanya agak terhalang sedikit akibat bingkai pada kamera berkenaan.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mercu S21 ini setanding dengan harganya hampir mencecah RM4,000.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy S21 dilengkapi ciri tri-kamera belakang gabungan 12MP + 12MP + 64MP, sementara kamera swafoto 10MP (MegaPiksel). Konfigurasi kamera pada Galaxy S21 5G adalah sama dengan S20 pada tahun lalu.

Ciri kamera utama triple 64 MP f/2.0 (telephoto) +12 MP f/1.8 (ultra lebar) +12 MP f/2.2 (sudut lebar).

Kamera swafoto pula 10 MP dan paling penting ialah kuasa bateri 4000 mAh cukup besar bagi mereka yang aktif di media sosial.

Bagaimanapun, sedikit penambahbaikan pada ciri dan prestasi seperti ciri baharu ‘Director’s View’ atau Mod Pengarah yang mana anda boleh membuat ulasan secara langsung menggunakan lensa kamera belakang secara terus tanpa menggunakan mod selfie.

Apa yang menarik dengan ciri Mod Pengarah ini ialah, skrin hadapan kamera boleh dipisahkan mengikut tiga pilihan sama ada 50:50 atau skrin kecil di sisi dan skrin penuh.

Jika dahulu, mod Live Focus digunakan untuk mengambil gambar bercirikan in-depth (latar belakang kabur), ciri itu kini digantikan dengan mod Potrait yang menawarkan lebih banyak pilihan kualiti gambar seperti Blur, Studio, High-Key Mono, Low-Key Mono, Backdrop dan Colour Point.

Apa yang penting ialah hasil gambar kamera peranti ini cantik dan terang manakala mod potret yang kelihatan lebih pantas untuk diproses sambil kualiti yang pengguna Samsung kenali. Warna yang cukup tajam, butiran yang baik serta tangkapan yang pantas

Satu lagi ciri menarik pada peranti ini ialah rakaman video dalam kualiti 8K, iaitu resolusi paling tinggi dalam satu-satu telefon pintar menjadikan kualiti videonya lebih berkualiti berbanding di panggung wayang.

Dengan kualiti 8K 24 frame per saat (fps), setiap vlog dan memori yang diambil boleh direkod, dimuat naik dan ditonton terus ke laman YouTube.

Lagi satu, apabila anda boleh menjadikan rakaman video itu sebagai album gambar berkualiti 33MP menggunakan ciri 8K Video Snap.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy S21 hadir dengan skrin bersaiz 6.2-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Exynos 2100, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, dan bateri 4000mAh.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan atas sebab itu tiada kemudahan untuk tambahan slot kad storan disediakan untuk model S21 ini.

Selain itu, skrin peranti ini mampu memberikan kadar semula di antara 40-120Hz bergantung kepada aplikasi bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Melihat kepada ciri pengimbas cap jari pula, kawasan imbasan kini 1.7 kali lebih besar dan imbasan adalah 50X lebih pantas.

Daripada segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan. Ciri ini dilihat terlalu ke hadapan sedangkan rangkaian 5G di Malaysia ketika ini hanya pada sambungan WiFi dan belumpun meluas digunakan untuk telefon pintar.

Sebagaimana ciri model terdahulu, peranti S21 turut dilengkapi pembesar suara Dolby Atmos, WiFi 6E, Bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Bagi peranti S21 kali ini, Samsung tidak membekalkan kepala pengecas dan fon kepala bagi setiap pembelian tetapi hanya wayar yang menyokong pengecasan pantas 25W.

Kesimpulan

Jika anda seorang yang mementingkan penampilan dan mahukan keseronokan dalam memiliki telefon pintar, Samsung S21 5G adalah pilihan tepat kerana ciri baharu yang ditampilkan kali ini lebih menyeronokkan.

Setiap penambahbaikan yang dilakukan pada peranti seberat 171 gram ini memberikan kelebihan kepada anda yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan harian, cekap dan pantas daripada segi pemprosesan.

Dengan cip Exynos 2100 5nm, dan kamera utama 64MP sudah cukup memadai walaupun rekaan badannya menggunakan panel polikarbonat ‘glastik’ yang lebih ringan dan tidak membebankan kocek seluar anda atau tidak lenguh apabila mahu berbual panjang dengan rakan.

Cuma pada kali ini, pembelian set Samsung S21 ini tidak disertakan dengan pengecas dan fon telinga dalam kotaknya selain tiada sokongan kad mikro-SD tetapi diberikan kapasiti storan sebesar 256GB.

Selain itu, sedikit kelemahan yang penulis alami ialah peranti ini juga menjadi memanas apabila menggunakan kamera dalam masa lama dan masalah sama juga pernah dialami pada model Samsung S20 yang lalu. Diharapkan ciri ini boleh diperbaiki pada model-model akan datang.

Ciri menarik lain ialah Samsung S21 ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit namun dinasihatkan tidak menggunakan telefon ini di kolam atau pantai.

Spesifikasi Samsung Galaxy S21:

  • 6.2″ Dynamic AMOLED 2X Infinity-O FHD+ (1080 × 2400) 120Hz HDR10+
  • Samsung Exynos 2100 5nm
  • Samsung One UI 3.1 + Android 11
  • 8GB LPDDR5 + 256GB
  • 4000mAh Fast Charging 25W
  • Kamera belakang: 12MP f/2.2 + 12MP f/1.8 ultra lebar OIS + 64MP f/2.0 telefoto OIS
  • Kamera depan: 10MP Dual Pixel AF f/2.2
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax, Bluetooth 5.1, USB-C
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos, IP68
  • Warna: Phantom Violet, Phantom Gray, Phantom White dan Phantom Pink
  • Harga:  RM3699