Kelonggaran pembayaran balik ansuran disediakan kepada pelanggan kemudahan Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan

Peka dengan keadaan banjir, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menawarkan Program Prihatin khusus bagi membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas akibat bencana banjir.

Gambar Hiasan

Program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan mangsa banjir, para pelanggan dibawah kemudahan Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.

Mereka yang layak boleh memohon moratorium sehingga enam (6) bulan bagi bayaran komitmen bulanan mereka tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam sentiasa meneliti perkembangan terkini bencana banjir di kawasan-kawasan yang terjejas dan akan mengambil langkah proaktif membantu pelanggannya yang terjejas ekoran bencana berkenaan.

“Kami sedar akan kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami dalam menangani situasi semasa, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

“Ini kerana kesejahteraan masyarakat dan pelanggan Bank sentiasa menjadi keutamaan Bank Islam. Kami berharap program ini dapat bantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini.

“Bank Islam akan terus komited untuk membantu dan menyokong negeri-negeri yang terjejas dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terjamin,” katanya.

Para pelanggan boleh membuat panggilan kepada Pusat Panggilan Bank Islam di nombor 03 2690 0900 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai Program Prihatin Bank Islam.

Permohonan bagi moratorium di bawah Program Prihatin ini boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat.