Tahun baharu 2021 baru sahaja tidak sampai seminggu membuka tirai dengan insiden kemalangan maut menjadi topik utama perbincangan diruang maya dan laman sosial dikalangan netizen seluruh negara.

Kepantasan sesuatu berita atau kejadian yang tersebar di platform media sosial menyebabkan ia cepat mendapat perhatian bukan sahaja oleh orang ramai tetapi agensi kerajaan atau pihak berkuasa yang terbabit.

Sedar atau tidak bahawa secara purata hampir setiap hari berlaku kemalangan jalan raya di negara ini sama ada kemalangan maut atau kemalangan kecil.

Banyak faktor yang menyebabkan sesuatu kemalangan berlaku sama ada disebabkan kecuaian manusia itu sendiri, keadaan jalan raya, cuaca, mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri seperti memandu laju, memandu dalam keadaan mabuk atau faktor kesihatan.

Terbaru, kemalangan maut akibat jalan berlubang yang membabitkan seorang warga emas berhampiran pusat beli belah Mid Valley Megamall pada 3 Januari lalu dan pada 4 Januari pula seorang penghantar makanan GrabFood berusia 31 tahun pula maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas terlanggar lubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara berhampiran The Curve.

Kedua-dua insiden ini jelas amat berkait rapat dengan faktor jalan raya dan ada yang mendakwa keadaan jalan raya yang berlubang ini sudah menyebabkan banyak berlaku kemalangan jalan raya.

Justeru siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Adakah pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan berhampiran?.

Merujuk kepada insiden kemalangan basikal membabitkan seorang menteri baru-baru ini, tidak sampai 24 jam, Jabatan Kerja Raya (JKR) terus mengeluarkan kenyataan meminta maaf. Begitu cepat respon diberikan kerana yang jatuh itu hanya seorang menteri tetapi bagaimana pula yang jatuh itu sekadar orang biasa tanpa sebarang pangkat.

Insiden itu bukan sahaja menarik perhatian semua pihak tetapi membuka mata dan menjadi ‘bualan’ warga maya di laman sosial facebook, Twitter mahupun instagram yang menuntut keadilan serta layanan sama rata diberikan.

Dalam insiden itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan tujuan beliau memuat naik insiden beliau terjatuh ketika berbasikal menerusi Twitter adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan lain.

Namun, Ahli Parlimen Rembau itu tidak menyangka perkongsian ciapan Twitter beliau itu mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat,” katanya lagi.

Khairy cedera ringan selepas terjatuh dari basikal, akibat terlanggar lubang jalan ketika berbasikal berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

Memetik kenyataan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor dalam laman facebook pada 5 Januari lalu, beliau mahu pihak bertanggungjawab tidak kira di peringkat Persekutuan mahupun negeri untuk duduk semeja dan terus melakukan tindakan segera menyelesaikan isu jalan berlubang yang sememangnya mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Sekiranya pihak Kerajaan perlukan bantuan khidmat semua PENGHANTAR untuk mengesan lokasi-lokasi jalan berlubang atau berlopak yang terdapat di seluruh negara, kami sedia membantu kerana sememangnya kami sentiasa bekerja di atas jalan raya,” katanya yang mewakili sebuah NGO PENGHANTAR, yang memiliki 5,105 pengikut dilaman facebook.

Beliau mengulas kejadian kemalangan maut membabitkan seorang rider penghantar makanan disebabkan jalan berlubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara, pada 4 Januari lalu.

“Memang saya sedih dengar berita macam ini. Maut disebabkan langgar lubang dijalan ketika tengah mencari rezeki. Tiada kata-kata dapat diungkapkan apatah lagi ahli keluarga mangsa.

“Kalau kita dapat tengok, sebelum ini, telahpun tular, seorang Menteri kita turut sama telah kemalangan akibat terlanggar lubang ketika berbasikal dan sungguh pantas pihak JKR mohon maaf kepada YB,” katanya lagi.

Cadangan Zulhelmi bahawa rider-rider penghantar makanan atau barangan ini boleh membantu kerajaan atau pihak berkuasa tempatan mengesan lokasi jalan raya yang berlubang atau rosak adalah satu cadangan yang bernas.

Gambar Hiasan

Ini kerana, rider dan penunggang motosikal ini sepanjang masa berada di jalan raya tidak kira siang, malam, panas mahupun hujan. Jumlah mereka cukup ramai dan mudah dikenali dengan masing-masing membawa beg sandang mengikut jenama produk yang diwakili.

Bantuan yang dihulurkan mereka ini bukan sahaja membantu dan memberi manfaat kepada golongan rider sesama sendiri tetapi kepada pengguna jalan raya lain yang mungkin tidak begitu endah dengan keadaan semasa jalan raya.

Bagi mereka, menunggang jentera dua roda ini lebih terasa lubang yang dilanggar berbanding jentera empat roda namun risiko mereka lebih tinggi kerana tiada sebarang perlindungan yang dapat melindungi mereka jika motosikal mereka terbabit kemalangan.

Sebagaimana kita maklum, perkhidmatan penghantaran makanan menyaksikan peningkatan permintaan khususnya dalam tempoh 3 bulan bermula Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana pelanggan dilarang makan di dalam restoran.

Sebagai penunggang motosikal, meskipun mereka lengkap berpakaian dengan jaket keselamatan dan beg sandang dengan jalur pemantul cahaya, namun mereka juga ada cabaran besar lain seperti perlu melihat kepada telefon ketika menunggang.

Melakukan kedua-dua pergerakan dalam satu-satu masa ini memerlukan fokus tinggi manakala tahap penglihatan juga terhad apabila berada di jalan raya.

“Bayangkan anda perlu melihat kepada peta lokasi penghantaran di telefon dan pada masa sama memberi fokus di jalan raya. Kadang kala, jalan berlubang tidak sempat dielak dan ia boleh mendatangkan bahaya jika dielak pada saat akhir kerana bimbang dilanggar oleh kenderaan dibelakang atau terjatuh tanpa disedari,” kata seorang rider yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd.

Beliau menambah, sebagai seorang rider penghantar makanan yang sentiasa berada di jalan raya, tidak semua selok belok jalan raya diketahui oleh kebanyakan penghantar ini dan mereka perlu bergantung kepada laluan peta pada telefon.

Katanya, mereka bukan sahaja perlu menghantar mengikut masa yang ditetapkan ke rumah pelanggan tetapi harus bergerak semula ke restoran untuk mengambil tempahan makanan pelanggan tidak kira hujan, siang atau malam.

Gambar Hiasan

“Kami juga adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan (frontliners) yang membantu mencegah atau mengurangkan rantaian wabak COVID-19 kerana orang ramai tidak perlu keluar untuk membeli makanan dan barangan.

“Apa yang saya minta ialah memberikan perhatian dan kerjasama seperti memberikan sedikit laluan kepada kami ketika berada di jalan raya. Kami harap pengguna jalan raya lain faham dengan tugas kami ini yang terpaksa berpanas, berhujan dan menggadaikan nyawa semata-mata untuk mencari rezeki halal kepada keluarga,” kata Mohd lagi.

Justeru, dalam hal jalan rosak, berlubang, berlopak dan macam-macam lagi memerlukan perhatian serta kerjasama semua pihak.

Jika golongan rider ini boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada agensi yang terbabit, seharusnya mereka ini tidak dilupakan. Mereka juga ‘membayar’ cukai jalan dan hasil daripada cukai jalan ini harus dikembalikan semula dengan menyediakan jalan raya yang baik.

Agensi penguatkuasaan pula, perlu lebih tegas mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khususnya syarikat pengangkutan yang membawa barangan lebih muatan atau pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan bangunan dan sebagainya di sekitar kawasan yang boleh mengakibatkan keadaan jalan raya rosak.

Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini, misalnya boleh menyediakan satu platform untuk orang ramai membuat aduan keadaan jalan raya rosak sama ada dilaman sosial facebook atau talian aduan manakala tindakan segera perlu dilakukan apabila aduan ini sudah diteliti kesahihannya.

Untuk menggalakkan orang ramai membuat aduan mungkin pihak terbabit boleh menawarkan sedikit ganjaran sama ada wang tunai dalam bentuk e-wallet atau hadiah cabutan bertuah atau memberi penghargaan dalam bentuk barangan.