Peraturan perlu diperkenalkan ke atas industri vape dengan segera termasuk mengawalselia standard cecair vape yang mengandungi nikotin
Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) hari ini berkata, langkah percukaian eksais perlu merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan perlu diperkenalkan dengan segera ke atas industri vape termasuk mengawalselia standard produk cecair vape yang mengandungi nikotin.
Cukai eksais ke atas cecair rokok elektronik termasuk vape pada kadar RM0.40 setiap ml diumumkan oleh Kerajaan semasa perbentangan Bajet2021 dalam bulan November. Selain itu, cukai eksais pada kadar 10% ad valorem ke atas peranti vape turut diumumkan.
Baru-baru ini pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mengumumkan bahawa percukaian tersebut hanya dikenakan ke atas cecair vape yang tidak mengandungi nikotin.

Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, “Langkah percukaian dan peraturan seharusnya holistik dan mengambil kira keadaan semasa dalam pasaran.
Di dalam pasaran tempatan, lebih daripada 97% cecair vape yang dijual mengandungi nikotin dan ini adalah sama dengan trend di negara lain. Namun begitu, percukaian dan peraturan masih tidak dibuat di Malaysia untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin.”
Syed Azaudin turut berpendapat sekiranya percukaian ini diteruskan hanya untuk cecair tanpa nikotin, percukaian tersebut tidak akan mendatangkan hasil kerana percukaian tersebut tidak mengambil kira keperluan industri dan pengguna.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan telah melaporkan terdapat 1.12 juta pengguna vape melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019.
Pada masa yang sama, DPVM menganggarkan terdapat 3,000 perniagaan berkaitan vape di mana majoritinya adalah usahawan Bumiputera dan angka pekerja dalam industri ini mencecah 25,000. Manakala, DPVM juga membuat anggaran di mana industri vape di Malaysia bernilai lebih daripada RM2 bilion setahun.
“Industri vape di Malaysia bukannya kecil dan telah wujudnya satu eko-sistem matang dan besar yang merangkumi pengeluar, pengimport, pekedai serta pengguna. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh diabaikan.
“Oleh itu, percukaian serta peraturan yang holistik termasuk standard produk dan kepenggunaan cecair vape yang mengandungi nikotin perlu dibuat dengan segera oleh Kerajaan,” kata Syed Azaudin.
Menurutnya, banyak negara maju telah memperkenalkan peraturan untuk industri vape termasuk mengawal standard produk dan kepenggunaan cecair vape yang mengandungi nikotin.
“Negara-negara seperti UK, New Zealand dan Kanada mengiktiraf peranan vape terutamanya dalam membantu perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape yang telah terbukti kurang mudarat berbanding merokok. Negara-negara ini turut mewujudkan peraturan supaya kawalan dibuat dan pengguna mendapatkan produk yang mengikut standard produk yang ditetapkan.”
“Industri vape memohon agar Kerajaan menilai semua faktor-faktor ini dan membuat suatu peraturan serta percukaian yang holistik ke atas industri vape,” katanya lagi.







































