Pengerusi Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa yang juga penerima Anugerah Tokoh utama Maulidur Rasul Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata penjawat awam adalah Nadi Negara dan keperluan menjaga kebajikan penjawat awam dan keluarga mereka perlu diberikan menyeluruh kepada semua peringkat.
Beliau berkata, ketika ini, negara menghadapi wabak pandemik COVID-19 dan penjawat awam harus dipuji kerana terus memberi sumbangan besar kepada negara.

“Dalam situasi sukar ini, mereka masih terus mencurahkan bakti meskipun terpaksa berhadapan dengan virus COVID-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.
“Peranan mereka dalam semua sektor ini harus dipuji walaupun mereka yang bekerja itu terhad. Ini kerana perkhidmatan awam adalah teras kepada tadbir urus negara,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali di pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lalu.







































