Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade Asia) dan Construction Labor Exchange Center Berhad (CLAB) menjalin kerjasama untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti tanpa bank yang terdiri daripada pekerja asing dan rakyat Malaysia dalam industri pembinaan.

Melalui kerjasama ini, CLAB akan memudahkan kontraktor membayar gaji secara terus ke Kad Visa Prabayar Merchantrade Money. Ia sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam mempromosi gaji tanpa tunai dan mencapai hasrat aliran kewangan pekerja tanpa bank.

Merchantrade Asia merupakan pengendali perniagaan perkhidmatan wang digital dan penerbit e-wang yang terkemuka di negara ini sementara CLAB pula bertanggungjawab
membawa dan mengagih pekerja asing mengikut keperluan organisasi dan syarikat dalam
industri pembinaan.

Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K Veeran berkata tujuan jalinan kerjasama yang dimulakan pada bulan Ogos 2019 adalah untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran gaji digital terutama kepada pekerja asing dalam industri pembinaan.

“Apabila gaji mereka dikreditkan ke dalam kad Visa Merchantrade Money, pekerja asing dapat mengirim wang kepada keluarga mereka di negara asal secara digital melalui telefon
bimbit mereka.

Dengan cara ini, pihak kontraktor tidak perlu lagi membayar gaji secara tunai.

“Kemudahan seperti ini sangat diperlukan lebih-lebih lagi ketika kita sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan pekerja asing untuk
mengeluarkan gaji mereka dan membuat pembayaran.

Selain itu, ia juga dapat mengurangkan risiko lain seperti kes samun dan rompakan wang tunai,” katanya.

Sehingga kini, inisiatif bersama CLAB ini telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 2,000
pekerja asing dan dijangka meningkat kepada 4,000 pada suku pertama 2021.

“Dengan lebih dari 165 syarikat yang didaftarkan, ditambah dengan sokongan dari
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempromosikan
kemudahan pembayaran gaji tanpa tunai, CLAB telah mencapai objektif tersebut apabila
berjaya menarik penyertaan pekerja di segmen tanpa bank melalui kerjasama ini,” kata
Abdul Rafik Abdul Rajis, Ketua Pegawai Eksekutif CLAB.

“CLAB dapat memantau transaksi gaji, lokasi pekerja serta pemotongan Organisasi
Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja asing yang didaftarkan di bawah CLAB,”
katanya.

Kad Visa Prabayar Merchantrade Money juga menawarkan pelbagai perkhidmatan dan
faedah lain seperti pengiriman wang, tambah nilai mudah alih, pembelian dalam talian,
perlindungan insurans kemalangan peribadi dengan pelan asas serendah RM5 sebulan,
aplikasi pelbagai bahasa dan perkhidmatan pelanggan dengan lapan (8) bahasa berbeza
termasuk bahasa Inggeris, Melayu, Nepal, Indonesia, Bengali, Tamil, Cina dan Burma dan
banyak lagi melalui aplikasi dompet mudah alih Merchantrade.

“Pada masa ini, Merchantrade Money memiliki saiz e-wallet sehingga RM20,000 yang
mampu memenuhi keperluan pelanggan untuk bertransaksi secara digital seterusnya
memberikan keselesaan dalam kehidupan seharian mereka,” kata Ramasamy.