Agrobank mengumumkan pelantikan Dato’ Mustapha Buang sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Agrobank efektif pada 12 November 2020.

Pelantikan ini telah mendapat persetujuan daripada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Asian PAC Holdings Berhad sejak Januari 2001.

Datuk Mustapha Buang

Dato’ Mustapha Buang memulakan kerjaya beliau sebagai Perancang Ekonomi di Johor Economic Development Corporation seusai tamat pengajian pada tahun 1972.

Beliau kemudiannya menyertai industri kewangan pada tahun 1974 dan memegang jawatan kanan dalam pengurusan syarikat selama 16 tahun.

Ketika ini, beliau turut menyandang jawatan sebagai pengarah di beberapa syarikat swasta dan merupakan Ahli Jawatankuasa Lembaga Pemegang Amanah dan Pemegang Amanah/Lembaga di beberapa organisasi bukan untung di Malaysia.

Dato’ Mustapha yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan ekonomi daripada Universiti Malaya berkata, beliau amat berbesar hati untuk menyertai Agrobank di fasa yang sangat penting dalam pengukuhan jaminan bekalan makanan negara.

“Pandemik COVID-19 telah memberi penekanan akan kepentingan kelestarian makanan dan masa depan makanan kita. Rancangan Malaysia ke-12 diharapkan dapat memperbaharui dorongan ke arah mempromosikan industri pertanian dan membawa Malaysia ke tahap seterusnya dalam memastikan kelestarian keselamatan dan jaminan bekalan makanan.”

“Agrobank kini berada di posisi terbaik dalam menyokong inisiatif penting kerajaan bagi  merealisasikan agenda jaminan bekalan makanan.

“Saya berasa teruja untuk bekerjasama dengan Ahli Lembaga Pengarah dan pasukan kerja di Agrobank yang dedikasi untuk memberikan akses kewangan yang lebih baik  menerusi misi kami untuk menyediakan rangkaian pembiayaan sepenuhnya kepada sektor pertanian,” katanya.