Kecanggihan telefon pintar Samsung Galaxy Note yang terkenal dengan kepintaran pen stilus, S Pen sudah tidak dapat dinafikan kerana dalam pasaran ketika ini Samsung adalah antara pengeluar telefon yang paling aktif menghasilkan produk ini.

Jika dahulu, telefon pintar hanya berfungsi untuk membuat panggilan, menerima atau menghantar mesej selain dijadikan ‘kamera poket’ untuk mengambil gambar, kini fungsinya semakin canggih melebihi ciri sebuah Phablet (telefon dan tablet).

Justeru, mengambil kira keadaan semasa dimana negara ketika ini masih dilanda wabak COVID-19 yang memerlukan seseorang berkerja di rumah, kehadiran siri Galaxy Note20 adalah tepat pada masanya.

Sebagaimana umum mengetahui pada majlis pelancarannya, dibawah siri Galaxy Note20, tiga peranti diperkenalkan dibawah keluarga ini, iaitu Galaxy Note20 4G, Galaxy Note20 5G dan juga Galaxy Note20 Ultra.

Kesempatan Prebiu.com yang diberi tanggungjawab menguji peranti terbaharu Galaxy Note20 5G ini cukup menyeronokkan kerana peranti ini dilengkapi dengan beberapa ciri terbaharu.

Peranti ini hadir dengan skrin 6.7-inci Infinity-O dengan kadar segar semula 60Hz, dijana Exynos 990, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 128GB.

Ia turut dilengkapi bateri 4300mAh, dilengkapi tri-kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel, dan sokongan kalis air IP68.

Untuk pengetahuan pembaca, ada dua variasi untuk Galaxy Note20 iaitu 4G dan 5G dengan perbezaan harga hanya RM400 je. Samsung Galaxy Note20 4G dijual pada harga RM3899 manakala Note20 5G pula RM4299.

Jadi, yang mana satu harus dibeli kerana Malaysia pula masih belum mempunyai rangkaian 5G untuk digunakan? Namun, tidak kisah jika anda sanggup menunggu rangkaian 5G diaktifkan sepenuhnya sebelum membeli variasi Note20 5G.

Ciri baharu S-Pen

Paling ketara ialah peranti baharu ini tampil dengan ciri S-Pen yang telah dipindahkan ke sebelah kanan berbanding kiri sebelum ini manakala butang kuasa dan pelarasan suara pula dipindahkan ke bahagian sisi kiri.

Rekaan skrin peranti ini adalah rata dan penggunaan bezel adalah nipis. Apa yang menarik mengenai skrinnya yang menggunakan panel Super AMOLED Plus ialah warnanya cukup jelas, cantik, penuh jitu dan berdefinisi tinggi (HDR).

Versi S Pen pada siri Note20 ini pula adalah lebih responsif yang mana tindak balas pergerakan S Pen lebih laju iaitu sepantas 9ms. Malah, anda juga dapat mengawalnya tanpa perlu sentuhkan S Pen ini pada skrin peranti.

Fungsi ini dinamakan sebagai Air Gesture, yang membolehkan pengguna kembali ke muka hadapan peranti, melakukan aksi back dan pergi ke skrin multi-tugas dengan melakukan lakaran di udara menggunakan S-Pen serta pelbagai lain aksi yang boleh dilakukan.

Telefon pintar keluaran Samsung yang terbaru ini juga menyokong untuk membuat sambungan kepada Windows.

S Pen pada peranti ini masih menggunakan S Pen dengan masa pendam yang sama dengan Note10, namun ia hanya perkara kecil kerana ketika digunakan untuk menandatangani dokumen atau mencatat nota tetap berfungsi dengan baik.

Apa yang menarik ialah kedengaran kesan bunyi seakan menulis pada kertas ketika S Pen ini digunakan.

S Pen pada Note20 5G juga mempunyai kawalan gestur baharu seperti Note20 Ultra. Ia memberikan satu pengalaman yang menyeronokkan maka tidak hairanlah Samsung mendakwa S Pen ini adalah pen paling berkuasa di dunia.

Fungsi DEX pada peranti ini turut menyokong skrin nirwayar iaitu mana-mana televisyen pintar yang ada ciri Chromecast atau televisyen yang menggunakan kotak set Android TV. Ciri DEX ini berfungsi dengan baik menerusi televisyen Samsung yang terpilih sahaja.

Spesifikasi

Siri Galaxy Note 20 juga menyokong rakaman video 8K, selain turut dilengkapi sokongan DeX.

Rekaan badan peranti ini menggunakan logam manakala skrinnya daripada Corning® Gorilla® Glass Victus™ iaitu kaca Gorilla paling kukuh pernah dihasilkan untuk telefon pintar.

Dengan berat 192 gram, peranti ini selesa dipegang sama ada untuk tujuan menulis, melakar atau mengambil gambar. Dengan ciri S Pen, tulisan anda akan dibetulkan dengan sendiri menjadikan nota anda lebih tersusun.

Nota tulisan tangan anda juga boleh ditukar kepada teks dimana anda boleh menyalin dan menampal selain mengeksportnya kepada fail Power Point atau Word untuk tujuan berkongsi.

Peranti ini cukup hebat apabila digunakan untuk melakukan aktiviti multi-tugasan seperti membuka banyak aplikasi serentak atau juga bermain ‘game’. Dengan kuasa bateri 4300mAh, ia mampu bertahan untuk penggunaan internet selama 15 jam manakala tempoh bercakap sehingga 23 jam.

Sistem Operasi

Sejak Samsung memperkenalkan One UI, ia adalah satu perubahan besar dalam sistem operasi Samsung. Dengan trend saiz peranti semakin membesar, One UI ini amat memudahkan pengguna untuk mengendalikan peranti dengan satu tangan.

Dalam One UI, Samsung lebih banyak bekerjasama dengan Microsoft berbanding Google.  Samsung juga tidak ketinggalan menggunakan aplikasi tersendiri dan juga dari Microsoft seperti OneDrive, Microsoft Office, dan banyak lagi.

Fungsi ikonik Samsung seperti Sidebar masih dikekalkan walaupun skrin peranti tidak melengkung manakala ciri Always-On Display menampilkan paparan grafik yang cantik

Sistem Kamera

Kamera utama Galaxy Note20 5G menggabungkan sensor 12.0 MP + 12.0 MP + 64.0 MP dengan ciri zum hibrid sehingga 30 kali ganda. Kamera hadapan pula sebesar 10-megapiksel (MP).

Walaupun kamera utama peranti ini tidak sehebat Ultra, zum sehingga 30x sudah dianggap memadai dan gambar yang dihasilkan cukup cantik serta jelas. Ciri-ciri foto lain seperti Single Take, Night, Slow Motion, Live Focus, Panorama, PRO, Hyperlapse dan Super Slow Motion masih dikekalkan.

Sesuai bagi mereka yang gemar menggunakan Note20 dalam kerja harian, tentu sekali gambar yang cantik memainkan peranan penting untuk dipaparkan di laman media sosial. Dengan adanya S Pen lagi mudah suntingan gambar dilakukan dan dikongsi bersama dengan rakan-rakan.

Hasil gambar dilihat mempunyai warna yang hidup sama ada pada waktu malam atau siang. Mod sudut ultra lebar turut memberikan hasil yang cantik.

Rakaman video pada peranti ini juga berkualiti sama ada audio, warna dan ketepatan malah rakaman video 8K tidak menjadi masalah. Namun peranti ini akan berasa panas sedikit apabila sistem kamera digunakan secara aktif.

Sistem Audio

Note20 5G turut mempunyai sokongan pembesar suara stereo yang boleh ditingkatkan dengan ciri Dolby Atmos. Kualiti audio peranti ini cukup hebat, kuat dan mempunyai keseimbangan bunyi yang sedap didengari.

Untuk pengalaman mendengar lebih baik, sambungkan sahaja set fon telinga AKG berwayar USB-C atau Galaxy Buds.

Bateri

Sudah namanya Note, tentu sekali ketahanan bateri amat penting. Dengan kapasiti 4300mAH tentu sekali tidak mencukupi sekiranya anda seorang yang cukup aktif menggunakan segenap penjuru peranti ini.

Setiap kali menggunakan S Pen, DEX, kamera, bermain game tentu sekali menggunakan banyak kuasa bateri. Namun dengan kuasa pengecasan 25W menggunakan USB-C, kuasa bateri dapat dicas dengan pantas tanpa perlu menunggu masa yang lama.

Selain pengecasan menggunakan kabel USB-C, anda boleh membeli pengecasan nirwayar. Peranti ini juga boleh digunakan untuk mengecas peranti Samsung lain seperti fon telinga Galaxy Buds ataupun jam tangan pintar.

Kesimpulan

Kehadiran peranti ini tentu sekali mempunyai sasaran pengguna yang khusus. Sekiranya anda seorang yang memiliki profesion yang memerlukan sebuah peranti yang hebat seperti pereka fesyen, pemain muzik, pelukis grafik atau usahawan berjaya, Galaxy Note20 adalah pilihan yang tepat.

Setiap gambar atau video yang diambil, boleh diedit terus menggunakan S Pen dengan mudah. Selepas siap boleh terus dikongsi kepada rakan-rakan atau keluarga dalam satu skrin sahaja.

Apa yang penting, kelebihan Note20 adalah fungsi S Pen yang amat praktikal berbanding telefon pintar tanpa ciri pen. Sebahagian besar peranti ini banyak dibantu oleh ciri pen pintar ini.