Rekaan yang unik, warna yang ‘rare’ dan kualiti bunyi yang hebat adalah antara ciri menarik pada fon telinga terbaru keluaran Samsung ini.
Diperkenalkan buat pertama kali menerusi pengenalan telefon pintar terbaharu Galaxy Note20, fon telinga tanpa wayar Galaxy Buds Live ini hadir dengan rekaan seperti kekacang Ā yang bersaiz besar.
Sebagai aksesori tambahan dengan harga pasaran RM699, fon telinga ini dilihat menjadi satu trend terkini penggemar peranti yang mahukan kelainan dan bebas menggunakannya sama ada untuk bersantai atau bersenam.
Prebiu.com yang berpeluang menguji peranti terbaharu Samsung ini mendapati, secara kasar rekaannya mengingatkan kepada rekaan alat bantuan pendengaran yang biasanya digunakan oleh mereka yang menghadapi masalah pendengaran cuma bezanya rekaannya lebih futuristik tanpa ada sokongan lain.
Ketika fon telinga ini dipasang, ia seolah-olah ‘melekat’ dilubang telinga dengan mudah mungkin disebabkan rekaannya yang mengambil kira telinga bersaiz golongan dewasa.
Penulis yang sebelum ini memang tidak begitu selesa menggunakan fon telinga kerana lebih selesa mendengar terus dari sumber audio sendiri mengakui tiba-tiba ‘jatuh cinta’ kepada peranti ini.
Bukannya hanya kerana warna ‘tembaga’ atau Mystic Bronze yang menarik perhatian tetapi kualiti audio yang dihasilkan cukup jelas dan memberikan pengalaman audio yang cukup mengujakan.
Bunyi Bass dapat dirasakan dengan hebat manakala bunyi Treble pula lantang seolah-olah anda sedang berada dalam bilik kedap bunyi. Petikan gitar dan drum dapat didengari dengan mengasyikkan.
Meskipun fon telinga ini hanya bersaiz kecil namun mutu bunyi oleh AKG yang dihasilkan boleh diberikan pujian dan menerusi aplikasi Galaxy Wearable, kawalan bunyi treble dan bass boleh dikawal menerusi tetapan yang disediakan.
Penulis yang menyambungkan fon telinga menerusi bluetooh dengan telefon Galaxy S20 ini dapat merasakan keselesaan memakai Galaxy Buds Live ini sepanjang hari. Selain kualiti bunyi tinggi dan rendah yang hebat, fon telinga ini boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi tanpa masalah.
Apa yang menarik ialah jangka hayat baterinya amat baik dan dengan sekali caj setiap Buds Live boleh bertahan sehingga 6 jam atau sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecas. Pengecasan berwayar adalah menerusi port USB-C dan ia turut boleh dicas secara nirwayar.
Fon telinga ini juga hadir dengan binaan tiga mikrofon untuk memudahkan anda membuat panggilan telefon dengan jelas selain dilengkapi ciriĀ sokongan sistem pembatalan hingar aktif.
Buds Live diperbuat daripada bahan yang dikitar semula dan boleh dikitar semula dengan mudah.
Dengan speaker bersaiz 12mm dan fon ini pula seberat 5.6 gram, pemakaian fon telinga ini seolah-olah tidak begitu menonjolkan tetapi kelihatan eksklusif kepada pemakainya.
Kesimpulannya, prestasi audio yang dihasilkan ketika membuat panggilan telefon amat jelas didengari disebabkan ciri tiga mikrofon yang boleh menapis hampir 97 peratus bunyi hingar luar ketika digunakan.
Rekaan seumpama kekacang dari Samsung ini bukan sahaja unik dan berbeza dengan fon telinga sedia ada dipasaran ketika ini tetapi ia sebenarnya mampu memberikan pengalaman audio yang memuaskan.
Rekaannya memberi banyak kelebihan kerana selesa dipakai meskipun untuk aktiviti bersukan misalnya tidak timbul masalah fon telinga ini tiba-tiba tertanggal atau tercabut dengan mudah dari lubang telinga.
Di Malaysia, Samsung Galaxy Buds Live ditawarkan pada harga RM699, satu harga yang dianggap berpatutan bagi sebuah fon telinga yang terbaik pernah dihasilkan ketika ini.