Satu kerjasama strategik dalam solusi gerbang bayaran telah diwujudkan antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dan KiplePay Sdn Bhd iaitu anak syarikat Green Packet Berhad untuk menyediakan kememudahan transaksi tanpa tunai.
Ia bagi membolehkan servis yang disediakan oleh Digital Perak seperti kursus Latihan, pelbagai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan melalui portal Perak Digital dan seterusnya transaksi jualan e-dagang dapat dibayar secara tanpa tunai.
Majlis pertukaran perjanjian ini telah disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.
Digital Perak diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Meor Rezal Fitri Dato’ Dr Meor Redwan manakala KiplePay diwakili oleh Tan Kay Yen selaku CEO syarikat tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasl Dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed.
Meor Rezal Fitri berkata, ini dapat dilaksanakan menerusi pelbagai mod bayaran tanpa tunai sama ada secara pindahan akaun bank (FPX), kad kredit, kad debit dan dengan imbasan kod QR mudah tanpa mengira jenis e-dompet para pengguna.
Katanya, kemudahan ini ditawarkan kepada semua peniaga kecil yang memuat turun aplikasi tersebut untuk memudahkan pembayaran tanpa tunai bagi urusan jual beIi.
“Inisiatif ini membantu memulihkan semula sektor perniagaan dengan teknologi digital bagi mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu.
“Kemudahan transaksi ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,300 pengusaha yang telah mendaftar dengan program SMART Niaga@Perak sekali gus memacu perniagaan mereka kususnya dalam suasana norma baharu ketika ini,” katanya.
*Artikel ini disumbangkan oleh Zaki Salleh bekas wartawan Kosmo