Lebih daripada 5,000 unit telah ditempah bagi Hilux 2020 sejak ia mula dibuka untuk tempahan pada 3 ogos lalu.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan pelancaran model trak pikap paling laris di Malaysia, Toyota Hilux 2020. Selain daripada penampilan luar dan dalam yang lebih segar, ia turut melibatkan peningkatan dari segi prestasi dan juga sistem keselamatan.

Lima varian ditawarkan, dengan Hilux Rogue 2.8 Double Cab AT sebagai varian paling tinggi. Selebihnya terdiri daripada Hilux 2.4 V AT Double Cab, Hilux 2.4 E AT Double Cab, Hilux 2.4 G MT Double Cab dan Hilux 2.4 MT Single Cab.

Pelanggan boleh menentukan warna Hilux mereka daripada tujuh pilihan warna yang ditawarkan; Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II. Bagi Hilux Single Cab pula, ia hanya ditawarkan dalam warna Solid White.

Hilux baru ini menampilkan penggayaan yang lebih menarik dengan gril depan rekaan baru serta elemen visual lain yang lebih menonjol. Di dalam, suasananya lebih premium dengan sentuhan perincian kemasan baru. Bagi varian flagship Hilux Rogue, suasana premium dalam kabin diserikan lagi dengan pencahayaan pintu warna biru.

Enjin 2.8 liter turbodiesel pada Hilux Rogue juga menerima penambahbaikan teknikal yang memberikan peningkatan kuasa dan tork. Janaan kuasa maksimum kini ialah 204 ps pada 3,400 rpm sementara tork maksimum ialah 500 Nm antara 1,600 dan 2,800 rpm.

Walaupun dengan janaan yang lebih tinggi, kadar penggunaan minyak sebaliknya dikurangkan sebanyak 4% kepada purata 10.9 km bagi setiap liter.

Bagi enjin 2.4 liter, yang turut memiliki ciri Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan intercooler serta sistem common-rail, ia turut diberikan pembaharuan dari aspek penyejukan dan penjimatan minyak. Dengan tekanan lebih tinggi pada sistem common-rail berkenaan, penjimatan minyak dapat ditingkatkan sebanyak 5%.

Sebagai tambahan, enjin yang dipertingkatkan ini membolehkan tempoh antara servis yang lebih panjang, daripada 5,000 km / tiga bulan sebelum ini kepada 10,000 km / enam bulan, dan menyumbang kepada penjimatan kos penyelenggaraan.

Semua varian menggunakan transmisi enam-kelajuan; bagi varian Double Cab, hanya transmisi automatik dengan Sequential Shift ditawarkan, sementara Hilux Single Cab menjadi satu- satunya yang menggunakan transmisi manual.

Dua mod pemanduan boleh dipilih oleh pemandu, sama ada bagi mengutamakan penjimatan minyak atau untuk kuasa pecutan. Kedua-duanya boleh dipilih dalam keadaan kenderaan bergerak melalui suis rotari.

Bantuan kuasa bagi rak dan tiang pada sistem stereng Hilux baru ini (kecuali pada varian Single Cab) kini mempunyai Sistem Kawalan Aliran Boleh Ubah (VFC) dengan bebanan yang kurang terhadap pam stereng kuasa, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Untuk kestabilan dan cengkaman yang lebih baik dalam keadaan jalan off-road, tersedia ciri Auto Limited Slip Differential (Auto LSD) yang menggunakan Sistem Kawalan Cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan janaan enjin ketika satu daripada roda belakang mula kehilangan cengkaman. Auto LSD ini berfungsi dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan sistem 4×4 mekanikal.

Walaupun dengan kemampuan tahan lasak, Hilux tetap selesa untuk kegunaan harian. Aspek keselesaan diberikan penambahbaikan melalui pelbagai cara, termasuk mengoptimumkan mount kabin untuk mengurangkan gegaran serta bunyi bising daripada memasuki kabin.

Selari dengan matlamat Toyota untuk menjadikan kenderaan lebih selamat dan mengurangkan kemalangan, Hilux Rogue turut dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS). Sistem berkenaan terdiri daripada tiga ciri yang membantu pemandu: Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Brek dan Stereng.

Beberapa sistem bantuan pemandu yang lain (bergantung kepada varian) turut tersedia termasuk Peninjau Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Bantuan Menuruni Curam, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Olengan, Kawalan Kestabilan dan Kawalan Cengkaman dan sudah tentu, ABS dengan Agihan Daya Brek.

Di dalam kabin, terdapat sehingga tujuh beg udara tersedia bagi mengurangkan kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan. Pengingat tali keledar kini mempunyai sensor bagi bahagian depan dan belakang dan ISOFIX disediakan di belakang bagi memudahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Setiap varian Hilux didatangkan dengan sistem pencegahan kecurian tersendiri, meliputi immobilizer enjin, penggera dan sensor pencerobohan kabin.

Selain itu, sistem telematik kenderaan (VTS) turut dipasang sebagai ciri standard pada Hilux Rogue dan 2.4 V (ditawarkan sebagai pilihan bagi varian lain) bertujuan membolehkan pengesanan kedudukan kenderaan dalam masa nyata menggunakan isyarat GPS.

Barisan model Hilux terbaru kini boleh ditinjau dan diuji di semua bilik pameran rasmi Toyota seluruh negara.

Ansuran bulanannya bermula dari serendah RM788 dengan tambahan RM89 untuk pakej Toyota Service Savers melalui pembiayaan Toyota EZ Beli (bergantung kepada varian dan tertakluk kepada terma dan syarat).

PAKEJ TOYOTA SERVICE SAVERS & INSURAN

Pembeli Hilux terbaru ini berpeluang menikmati penjimatan sehingga 13% ketika menghantar kenderaan untuk servis dan menikmati potongan harga sehingga 20% bagi alat ganti terpilih dengan pakej Toyota Service Savers.

Ditawarkan dalam tempoh 5 tahun atau 3 tahun, kos bagi pakej berkenaan akan dimasukkan ke dalam skim pembiayaan sebagai sebahagian kos pembelian kenderaan.

Pakej Toyota Service Savers, yang boleh diperoleh dari RM3,580, boleh digunakan di mana- mana pusat servis rasmi Toyota di seluruh negara, dengan layanan akan diberikan oleh juruteknik terlatih.

Pelanggan tidak perlu runsing atau risau dengan servis yang dijalankan, kerana semua aspek dijalankan secara profesional menggunakan peralatan yang betul dengan alat ganti tulen yang diluluskan oleh Toyota.

Dengan pembelian kenderaan tersebut juga, pelanggan digalakkan untuk turut mengambil Pakej Insuran Toyota yang eksklusif untuk pemilik Toyota. Pakej ini menawarkan manfaat yang membolehkan pemilik menerima dan menggunakan semula kenderaan mereka secepat mungkin selepas terlibat dengan kemalangan.

Pemilik boleh memilih syarikat insuran yang tersenarai sebagai panel bersama UMWT, dan pihak syarikat tersebut mempercayai sebut harga bagi kos baik pulih dan gantian yang dikeluarkan oleh UMWT. Jika jumlah tidak melebihi RM20,000, tuntutan biasanya akan diluluskan dalam masa 24 jam, membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan segera.

Selain proses yang lebih pantas, Pakej Insuran Toyota juga memberikan banyak manfaat lain dalam bentuk penjimatan kepada pelanggan.

Sebagai contoh, tiada keperluan untuk pemilik membayar caj penambahbaikan yang merupakan perkongsian kos bagi alat ganti yang ditukar. Ini diperlukan bagi sesetengah polisi insuran kerana alat ganti berkenaan menggantikan komponen berkaitan yang mungkin sudah lama dan telah haus.

Banyak polisi insuran mempunyai Klausa Berlebihan yang memerlukan sebahagian daripada kos itu ditanggung oleh pemilik kenderaan. Ini biasanya dalam jumlah tetap dan syarikat insuran akan membayar baki daripada jumlah berkenaan. Dengan Pakej Insuran Toyota, tiada klausa ini dan 100% tuntutan akan ditanggung oleh syarikat insurans.

Manfaat lain pakej ini ialah kos menunda kenderaan juga akan ditanggung sekali, dan nilai kenderaan juga akan dipersetujui bagi kemalangan “Total Loss” (bagi kenderaan berusia sehingga 10 tahun).

Setiap Pakej Insuran Toyota akan disertakan dengan Bantuan Jalanan 24SEVEN percuma, sebuah servis bantuan tepi jalan yang ditawarkan oleh UMWT.

Selain itu, bantuan medikal, bantuan guaman, penginapan hotel, bantuan perjalanan alternatif, servis pengalih bahasa serta pindahan maklumat ketika kecemasan juga boleh diaturkan. Semua ini tersedia 24 jam, tujuh hari seminggu di seluruh negara.