Masa berlalu terlalu pantas dan tidak sangka, model Honda Civic generasi ke-10 yang dilancarkan lima tahun lalu dengan gaya rekaan yang cukup berbeza kini tampil dengan gaya lebih ‘macho’.
Honda Civic yang menjadi peneraju dalam segmen C dilihat terus mendapat sambutan penggemar tegar jenama Honda di negara ini.
Maka tidak hairanlah Honda Malaysia Sdn Bhd melancarkan model versi 2020 dengan beberapa perubahan luaran dan dalaman pada Februari lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada Mac.
Selepas beberapa bulan pandu uji tidak dapat dilakukan oleh kebanyakan portal permotoran akibat kesan daripada wabak COVID-19, kini tiba giliran Prebiu.com memandu uji model Honda Civic 2020 varian 1.5 TC-P.
Rekaan Luaran
Perkara pertama yang terlihat pada pandangan mata kasar ialah rekaan gril hadapannya menggunakan elemen kekemasan hitam menggantikan elemen kekemasan krom yang menjadikan kereta itu lebih garang.
Sebagai pelengkap kepada bahagian atas, bahagian bawah bampar hadapan pula diberikan kemasan hitam melintang dan kehadiran spoiler belakang baharu yang lebih lebar menambahkan lagi ciri sporty.
Honda Civic ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.8 S, spesifikasi pertengahan 1.5 TC dan varian tertinggi 1.5 TC-P.
Civic 2020 ini dipadankan dengan set rim aloi 18 inci hitam (235/40), khas untuk varian 1.5 TC-P, manakala varian 1.8 S bersaiz 16 inci (215/55) dan 1.5 TC (17-inci/ 215/50). Sistem suspensi menggunakan strut Macpherson di depan dan multi-link (belakang).
Model ini yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini, ditawarkan dengan harga dari RM113,600 hingga RM139,600, namun dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, harganya turun menjadi RM109k hingga RM135k.
Ciri Terkini
Sebagaimana umum sudah mengetahui mengenai ciri keselamatan termaju Honda Sensing, Civic 2020 kini muncul sebagai model ketiga Honda untuk pasaran tempatan yang dilengkapi ciri berkenaan selepas CR-V dan Accord.
Bagaimanapun, ciri ini hanya ada pada varian 1.5 TC-P, terdiri daripada:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Pandu Halaju Rendah (LSF)
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
- Mitigasi Masuk Lorong (RDM)
- Amaran Masuk Lorong (LDW)
Turut disertakan sekali ialah ciri Auto High-Beam (AHB) serta sistem kamera sisi LaneWatch. Lain-lain ciri termasuk enam beg udara, sensor parkir depan, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS, EBD, bantuan brek, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera undur.
Rekaan Dalaman
Hasil maklumbalas daripada pengguna, Honda turut memperbaiki ciri pada sistem penyaman udara.
Jika sebelum ini, pengguna perlu mencari bahagian menu skrin sentuh yang dilihat kurang mesra, kini Civic 2020 menyediakan butang penyaman udara dibawah skrin sentuh 7 inci.
Sedikit perubahan juga dilakukan pada kekemasan kerusi hadapan yang tampil dengan corak baharu ditengah penyandar manakala ruang papan pemuka masih mengekalkan ciri sama.
Untuk keselesaan pemandu dan penumpang, sistem infotainment kereta ini menampilkan skrin sentuh 7 inci dengan sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto. Semua varian Civic ditawarkan dengan port HDMI, 2 slot USB dan lapan pembesar suara.
Memang tidak dapat dinafikan, keselesaan menjadi keutamaan kepada Honda apabila membangunkan Civic generasi ke-10 ini. Kerusi belakang yang luas cukup selesa untuk tiga penumpang dewasa manakala ruang bonet juga luas.
Dua corong penyaman udara juga disediakan kepada penumpang belakang yang terletak ditengah-tengah konsol.
Jika memerlukan ruang tambahan, kerusi belakangnya kini boleh direbahkan satu persatu bergantung kepada muatan yang dibawa.
Enjin
Masih mengekalkan penggunaan enjin yang sama, 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder dengan dan turut dilengkapi dengan transmisi CVT, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.
Dua varian enjin ditawarkan iaitu
- 1.8 i-VTEC – Kuasa 102hp @ 6,5000rpm; Tork 174Nm@ 4,300rpm
- 1.5 VTEC Turbo – Kuasa 171hp @ 5,500rpm; Tork 220Nm @ 1,700-5,500rpm
Barisan Civic 2020 ini didatangkan dengan lima pilihan warna menarik iaitu Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl termasuk warna baharu Passion Red Pearl.
Berikut ciri keselamatan standard untuk Civic facelift 2020:
- 6 beg udara
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Bantuan Brek (BA)
- Brek Pegun Automatik (ABH)
- Agihan Brek Elektronik (EBD)
- Bantuan Mula Daki (HSA)
- Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA)
- Signal Henti Kecemasan (ESS)
- Bantuan Pandu Tangkas (Agile Handle Assist, AHA)
Ada tiga pilihan varian ditawarkan pada harga seperti berikut (perubahan pada harga sebenar berikutan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini)
- 1.8S – RM113,600
- 1.5TC – RM129,600
- 1.5TC-P – RM139,600
* Harga atas jalan, tidak termasuk insurans.
Kesimpulan
Memandu Honda Civic 2020 dengan gaya lebih baru dan dipertingkatkan membuktikan model ini masih terus mendapat perhatian penggemar kenderaan Jepun di negara ini.
Padanan sistem Honda Sensing banyak membantu pemandu berada di jalan raya dalam keadaan selamat kerana setiap pengerakan kenderaan dibantu oleh sistem komputer yang akan menganalisa corak sesuatu pemanduan.
Ciri Auto High-Beam (AHB) pula berfungsi dengan memberikan suluhan lampu tinggi secara automatik apabila kereta ini mengesan tiada kenderaan dihadapannya sekali gus meningkatkan kecekapan pemanduan.
Sistem kamera lane watch yang memaparkan imej pada skrin pula memudahkan pemandu untuk membelok pada sebelah kiri sekali gus mengurangkan kesan titik buta yang sentiasa dialami pemandu di negara ini.
Bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya Honda menyediakan sensor amaran dalam bentuk kelipan lampu pada cermin sisi yang kini menjadi pilihan utama kebanyakan jenama kenderaan di negara ini.
Namun, jika anda memerlukan bantuan kamera boleh tekan sahaja punat butang pada bahagian kanan batang isyarat membelok. Kamera itu akan memaparkan imej pada kelajuan bawah 100 kilometer sejam.
Sebagaimana model terdahulu, Civic 2020 masih mengekalkan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin yang dikawal menerusi sistem kawalan jauh membolehkan pemilik kereta ini menghidupkan enjin kereta dari jarak kira-kira 40 meter tanpa perlu membuka pintu sekali gus sistem pendingin hawa berfungsi sepenuhnya.
Namun, anda tidak perlu bimbang meskipun enjinnya dihidupkan, sistem penggera keselamatan kereta ini tidak membenarkan sesiapapun memasuki kereta ini melainkan pemiliknya sendiri yang mengawal kunci pintarnya.
Sistem pendingin hawa kereta ini akan dihidupkan selama 10 minit sebaik sahaja butang kawalan jauh ditekan dan sekiranya selepas 10 minit anda tidak memasuki kereta ini, secara automatik enjin akan mati sendiri.
Anda juga boleh memilih untuk menekan semula butang hidupkan enjin untuk mematikan enjin secara jauh.
Untuk memastikan sistem pendingin hawa ini berfungsi, anda tidak harus menekan butang tutup pendingin hawa apabila enjin dimatikan tetapi menyelaraskannya pada tahap yang dikehendaki.
Apabila menghampiri kereta, buka pintu kereta dan tekan butang penghidup enjin untuk menghidupkan enjin. Jadi anda tidak akan berpanas untuk menunggu pendingin hawa menyejukkan ruang dalam kereta anda.