“Pendekatan kempen bersemuka dilihat lebih mesra kepada pengundi dan keberhasilannya adalah pengundi berasakan mereka sangat dihargai dan didengari pada setiap harapan dan permasalahan mereka,” kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Beliau berkata, dalam era sekarang, pendekatan penggunaan teknologi turut membantu kempen di PRK Slim dan jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin bahawa calon BN yang bertanding diterima oleh setiap pengundi.

“Saya percaya gerak kerja Wanita UMNO dan BN yang datang berkempen dan membantu jentera dari seluruh negara adalah formulasi kesepakatan yang sering kali diucapkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang sedang menjalankan kempen hari terakhir membabitkan jentera Wanita UMNO menggunakan pendekatan  menyantuni dan mendekati pengundi.

“Kekuatan UMNO adalah datangnya jua kekuatan wanita parti itu sendiri. Kita sentiasa komitmen dan mempunyai rekod terbaik dalam aspek penyampaian khidmat dan penerangan sejak dari penubuhan parti ini,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pada PRK ini, BN mempertaruhkan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milik BN.