Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) Kumpulan menurun sebanyak 7.5% kepada RM574.1 juta.
Mendepani cabaran besar yang berpunca daripada pandemik COVID-19, BIMB Holdings Berhad (“BHB”) mencatat PBZT Kumpulan sebanyak RM574.1 juta untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2020 (“1H20”).
Walau bagaimanapun, kesan penyusutan pendapatan pembiayaan bersih yang timbul ekoran semakan semula penurunan Kadar Dasar Semalaman (“OPR”) dan kerugian pengubahsuaian akibat pelaksanaan moratorium pada bulan April 2020, telah mengakibatkan PBZT Kumpulan RM46.5 juta lebih rendah berbanding tempoh sama tahun 2019. Keuntungan bersih juga menyusut sebanyak RM35.4 juta kepada RM362.3 juta.
Pulangan Ekuiti tahunan selepas cukai (“ROE”) Kumpulan kekal kukuh pada 12.6%, sementara pendapatan sesaham mencapai 20.25 sen. Aset bersih sesaham Kumpulan mengukuh kepada RM3.55 setakat 30 Jun 2020 berbanding RM3.34 pada 31 Disember 2019.
Perbankan Islam
Kualiti portfolio aset Kumpulan Bank Islam (“Bank Islam” atau “Bank”) kekal utuh dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar rendah 0.7% pada 30 Jun 2020, separuh daripada angka 1.5% yang dicatatkan sistem perbankan pada akhir Jun 2020. Jumlah pembiayaan terjejas kasar pada 30 Jun 2020 adalah RM371.5 juta berbanding RM559.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Dengan Jumlah Nisbah Modal 19.2% setakat 30 Jun 2020, Bank berada dalam kedudukan modal yang kukuh untuk menyediakan kemudahan bantuan bersasar kepada pelanggan terjejas dan menyokong pertumbuhan perniagaan yang berterusan.
Pada 30 Jun 2020, pembiayaan bersih Bank mencapai RM52.0 bilion, iaitu pertumbuhan sihat tahun-ke-tahun (“Y-o-Y”) sebanyak 12.1% atau RM5.6 bilion. Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat 6.8% atau RM3.7 bilion Y-o-Y kepada RM58.5 bilion.
Komposisi jumlah akaun semasa dan simpanan serta pelaburan transaksi (“CASATIA”) berada pada tahap yang sihat iaitu 36.2% daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan.
Walaupun persekitaran sektor perbankan Malaysia kekal mencabar, pertumbuhan pembiayaan terus menunjukkan daya tahan kerana jumlah pertumbuhan pinjaman untuk industri perbankan kekal pada 4.1% pada bulan Jun (Mei: 3.9%). Nisbah Pembiayaan Terjejas Kasar (“GIFR”) turun ke tahap 1.46% pada bulan Jun daripada 1.55% pada bulan Mei.
GIFR untuk sektor Isi Rumah menyusut kepada 0.95% pada bulan Jun daripada 1.03% pada bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun, sentimen tetap didorong oleh ketidakpastian dan situasi turun naik yang berlanjutan memandangkan laluan pemulihan masih belum jelas bagi industri perbankan.
Dengan ramalan semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini, Bank menjangkakan terdapat kesan terhadap keuntungannya dalam tempoh enam bulan berikut dalam tahun kewangannya.
Bank Islam mencatatkan PBZT 11.1% lebih rendah iaitu sebanyak RM389.0 juta berbanding tempoh sama tahun 2019. Penurunan ini berikutan pendapatan pembiayaan bersih lebih rendah, berpunca daripada beberapa semakan semula OPR dan mengambil kira kerugian pengubahsuaian akibat pelaksanaan moratorium.
Berikutan moratorium terhadap pembayaran balik pembiayaan, Bank telah mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM97.8 juta.
Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kepada kumpulan pelanggan terpilih. Pada masa sama, Bank secara proaktif telah menghubungi para pelanggan sebagai persediaan berakhirnya moratorium enam bulan pada bulan September 2020. Kelulusan permohonan bagi kelonggaran tambahan yang disediakan tertakluk kepada kriteria kelayakan yang telah ditentukan.
Sejak bermulanya krisis pandemik COVID-19, Bank Islam terus berhasrat memperkasakan lagi komuniti dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti pelan penangguhan pembayaran balik pembiayaan secara automatik, Kemudahan Bantuan Khas PKS (“SSRF”) untuk membantu mengurangkan kesukaran aliran tunai jangka pendek yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”).
Selain itu, Bank juga memperkenalkan program pembiayaan mikro iTEKAD untuk menyokong perniagaan mikro milik B40 yang terjejas akibat pandemik tersebut.
Sebagai komitmen yang berterusan, beberapa siri webinar telah diadakan, selain memanfaatkan aplikasi mudah alih GO by Bank Islam, untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada para pelanggan.
Dalam usaha membuka laluan kepada pemeliharaan dan penciptaan kekayaan, aplikasi Pelaburan Lestari Robo-Pintar Syariah pertama di dunia yang dikenali sebagai BEST Invest telah dilancarkan oleh anak syarikat Bank Islam iaitu BIMB Investment Management Berhad. Dengan nilai pelaburan awal RM10, aplikasi ini bertujuan untuk memaksimumkan pulangan dan menguruskan risiko pelaburan mengikut kehendak pelanggan.
Bank Islam menyelaraskan langkah-langkahnya dengan mematuhi garis panduan BNM, yang memberi fokus untuk melindungi daya maju kewangan pengguna, melestarikan ekonomi sebenar, dengan memberi tumpuan terhadap pelaburan berpatutan dan terus menyokong petugas barisan hadapan serta masyarakat yang kurang bernasib baik.
Melangkah ke hadapan, Bank kekal berdaya tahan dan akan meneruskan strategi penting untuk menentukur semula taktik utama dan inisiatif dengan menerapkan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (“VBI”) dalam model perniagaannya, mengakui bahawa ini adalah satu norma baharu.
Takaful
Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia”) mencatat PBZT sebanyak RM211.8 juta pada 1H20 berbanding RM210.4 juta yang telah dicatat pada 1H19.
Takaful Malaysia merekodkan pendapatan operasi RM1,428.8 juta bagi 1H20, lebih rendah berbanding RM1,591.1 juta pada 1H19. Penurunan tersebut sebahagian utamanya disebabkan penjanaan jualan lebih rendah daripada perniagaan Takaful Keluarga.
Perniagaan Takaful Keluarga menjana sumbangan perolehan kasar bernilai RM772.1 juta bagi 1H20, lebih rendah berbanding RM967.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya berikutan penjualan lebih rendah produk berkaitan kredit dan perubatan Kumpulan.
Bagi 1H20, perniagaan Takaful Am merekodkan sumbangan perolehan kasar lebih rendah sebanyak RM364.8 juta berbanding RM370.4 juta pada 1H19. Sebahagian besar daripada sumbangan berkenaan adalah daripada kelas kebakaran. Kedua-dua aktiviti perniagaan tersebut terkesan selama 84 hari akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”) danPerintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (“PKPB”) ekoran pandemik COVID-19.
Pandemik COVID-19 dan impak ekonomi yang berkaitan telah mewujudkan ketidaktentuan dan memberikan cabaran yang besar. Takaful Malaysia bersedia untuk mengharungi keadaan pasaran dan persekitaran operasi yang amat berbeza pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (“PKPP”) memandangkan kebimbangan terhadap jaminan kerja kekal tinggi.
Oleh demikian, pelanggan akan menjadi lebih berwaspada dalam perbelanjaan mereka. Aktiviti ekonomi dijangka akan mengambil tempoh yang agak panjang untuk pulih. Dalam ketidaktentuan persekitaran ekonomi semasa untuk menyokong pengembangan perniagaan, Kumpulan tetap berhati-hati dalam menguruskan pertumbuhan perniagaan dan profil risiko portfolio kami.
Sebagai perintis dan pengamal terawal pengedaran takaful dalam talian dan teknologi digital baharu bagi menyokong saluran pengedaran, Takaful Malaysia berupaya menghapuskan beberapa cabaran penjualan dan operasi yang dihadapi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”).
Ini kerana Syarikat mempunyai pelbagai produk takaful dalam talian yang memudahkan pelanggan mengakses penyelesaian yang disediakan ketika pergerakan terhad. Kami telah meningkatkan usaha pemasaran melalui media sosial bagi tujuan penjualan silang produk secara meluas, khususnya untuk menyasarkan pelanggan yang mungkin tidak mempunyai akses kepada perantara jualan secara bersemuka.
Bagi mengekalkan kedudukan peneraju pasaran dan menyokong pertumbuhan perniagaan serta tumpuan kepada pelanggan, Syarikat akan meneruskan strategi-strategi untuk membina ekosistem digital lengkap.
Takaful Malaysia akan meneruskan strategi digital dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (“AI”) melalui analisis data raya dan algoritma pembelajaran mesin bagi menguruskan risiko serta peluang dalam bidang pemasaran, taja jamin dan perkhidmatan pelanggan serta pemprosesan tuntutan.
Secara asasnya, AI akan digunakan untuk mengoptimumkan pemasaran bagi mencapai kesedaran jenama dan objektif pemasaran yang lebih kukuh, taja jamin pintar bagi penilaian risiko lebih pantas dan keputusan peletakan harga yang tepat.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Kumpulan BHB pada 11 Disember 2019 berkenaan dengan “Pelbagai Cadangan” yang meliputi tetapi tidak terbatas kepada cadangan penempatan dan penyusunan semula dalaman yang akan dilakukan, Kumpulan BHB kini sedang menunggu persetujuan daripada pihak kawal selia.
Walaupun begitu, dengan sokongan para pemegang saham, Kumpulan BHB kekal positif dengan keputusan permohonan cadangan tersebut.
Untuk maklumat lanjut berkenaan BHB, sila layari www.bimbholdings.com Mengenai BIMB Holdings Berhad