Meskipun wabak pandemik COVID-19 masih melanda seluruh dunia, usaha membantu rakyat miskin di Kemboja masih diteruskan oleh NGO Antarabangsa di Kampung Pak Phaou, Phnom Penh.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, program korban lembu dan kambing sempena Hari Raya Aidiladha masih diteruskan walaupun tanpa kehadiran beliau pada tahun ini.

Beliau berkata, ini disebabkan oleh sekatan perjalanan antarabangsa disebabkan penularan wabak COVID-19 yang masih belum berakhir.

“Sebagai sebuah NGO Antarabangsa dan asas penubuhan juga disana, jadi sudah 20 tahun saya buat pelbagai aktiviti kebajikan seperti membina masjid, surau, sekolah agama, perigi, tanah perkuburan dan lain-lain aktiviti sepanjang tempoh berkenaan.

“Bantuan kepada fakir miskin ketika bulan Ramadan dan lembu korban bagi Hari Raya Aidil Adha ini sebahagian dari program saya disana selama 20 tahun,” katanya lagi.

Menurutnya, tahun ini sumbangan lembu sangat berkurangan tidak sampai 10 ekor dan dua ekor kambing sahaja.

Beliau berkata, ini mungkin disebabkan oleh faktor ekonomi global yang menerima kesan akibat wabak pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir. Tahun ini amat ketara kerana tidak ramai yang ingin melakukan ibadah korban di Kemboja, Vietnam, Thailand dan lain lain negara Asean seperti tahun-tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, NGO Antarabangsa tetap bersyukur atas keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menyumbang bagi ibadah korban di negara Kemboja

Dr Mustapha berkata, seramai 155 fakir miskin, ibu tunggal dan mualaf menerima agihan lembu korban pada tahun ini.