Pakar Perubatan Keluarga IMU Healthcare, Prof Madya, Dr Verna Lee Kar Mun menjelaskan
persamaan dan perbezaan gejala yang berkaitan kedua-dua penyakit serta menekankan
pentingnya mendapatkan rawatan perubatan pada masa yang tepat.
Pelbagai laporan yang bercanggah serta salah faham daripada orang ramai tentang denggi dan COVID-19 telah menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan, membuatkan orang ramai dalam keadaan sentiasa berwaspada dan amat sensitif kepada tanda-tanda penyakit semasa melalui krisis kesihatan global ini.
“Denggi dan COVID-19 adalah dua penyakit berbeza di mana COVID-19 adalah penyakit yang menggangu sistem pernafasan sementara denggi adalah penyakit bawaan vektor yang berkemungkinan boleh menyumbang kepada masalah pernafasan” ujar Pakar Perubatan Keluarga IMU Healthcare, Prof Madya, Dr. Verna Lee Kar Mun.
“COVID-19 adalah disebabkan oleh penambahan terbaru atau anggota coronavirus ke-7 yang menjangkiti manusia, dikenali sebagai SARS-CoV-2. Virus yang disebarkan melalui batuk dan bersin, melalui sentuhan tangan dan juga sentuhan dengan sebarang objek yang tercemar contohnya di permukaan meja dan tombol pintu.”
“Denggi pula, adalah penyakit demam akut, yang disebabkan oleh jangkitan daripada salah satu daripada empat (4) jenis RNA Flavivirus iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3, atau DENV-4. Ia disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes betina, iaitu nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus, yang membiak di dalam bekas air yang terkumpul seperti di pasu bunga dan longkang yang tersumbat.
Nyamuk Aedes sentiasa memburu mangsanya di waktu senja dan dua (2) jam selepas terbitnya matahari.
Dua penyakit ini ada berkongsi beberapa persamaan dimana individu yang dijangkiti mungkin akan menunjukkan tanda-tanda demam yang berikut:
“Apa yang membezakan antara dua penyakit ini adalah pesakit denggi akan menunjukkan gejala demam tinggi, letih badan dan sakit otot/sendi, sakit kepala termasuk sakit di belakang mata dan mungkin juga akan ada ruam di seluruh badan (tompok-tompok putih di kulit yang merah – islands of white in the sea of red), loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut,” katanya.
“Gejala penyakit sistem pernafasan seperti batuk, mata merah, sesak nafas, hilang deria rasa dan bau, pula amat spesifik dengan penyakit COVID- 19.”
Risiko dijangkiti denggi sentiasa ada di seluruh Malaysia, walaupun negara kita sedang melawan pandemik global COVID-19. Mengikut statistik daripada Pusat Kesediaan dan Respons Krisis Nasional (National Crisis Preparedness and Response Centre) Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah kes denggi yang dilaporkan dari 29 Disember 2019 hingga 30 Jun 2020 adalah 55,115.
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 30,420 manakala Kuala Lumpur dan Johor adalah di tempat kedua dan ketiga dengan 5,797 dan 5,255 kes denggi.
Pada tahun 2019, jumlah kes denggi yang dilaporkan adalah 130,101, satu kenaikan yang amat tinggi dengan kadar sebanyak 61.4% daripada 80,615 jumlah kes pada tahun 2018.
Dari Januari hingga Jun tahun ini, seramai 92 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi dari penyakit demam denggi.
Dr Verna berkongsi bahawa bilangan pesakit dengan demam denggi yang datang ke kliniknya telah meningkat akhir-akhir ini.
“Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berita berkaitan kesihatan yang berleluasa melalui sosial media, ramai rakyat Malaysia kini memperolehi pengetahuan yang tinggi mengenai penyakit COVID-19 dan gejala utamanya; demam”
Denggi telah menular di Malaysia sejak tahun 1960an lagi. Apabila nyamuk Aedes berkembang di dalam cuaca yang panas dan lembab, dengan hujan yang kerap, ancaman denggi di negara ini adalah satu isu kesihatan awam yang besar dan berkala.
“Ianya bukan sekadar peningkatan jumlah kes tetapi peningkatan risiko kematian akibat komplikasi daripada denggi juga amat membimbangkan” kata Dr Verna lagi.
Beliau berkata, ramai antara kalangan penduduk Malaysia mungkin pernah dijangkiti denggi sekurang-kurangnya satu kali dalam seumur hidup kita.
“Seperti COVID-19, kita mungkin sudah dijangkiti tanpa pengetahuan kita, kerana 80% daripada jangkitan denggi hanya menunjukkan tanda-tanda yang amat sedikit ataupun tiada sebarang tanda langsung.”
“Walaubagaimanapun, ini tidak mengecualikan pesakit untuk menginapi denggi yang lebih serius semasa mendapat jangkitan yang pertama. Ianya bergantung kepada sistem imuniti pesakit; golongan warga emas dan kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit denggi yang lebih serius.
“Selalunya, pesakit mengalami penyakit yang lebih serius apabila mereka menginapi jangkitan denggi buat kali kedua.
“Banyak laporan saintifik menunjukkan pesakit yang dijangkiti dengan spesis DENV-2 untuk kali kedua telah menunjukkan gejala penyakit yang lebih serius seperti muntah yang
berterusan, sakit perut, penurunan sel darah platelet yang mendadak dan kebocoran plasma.
Namun, amat jarang makmal di hospital atau klinik akan menjalankan ujian bagi menentukan spesis DENV kerana ia mengambil masa yang lebih panjang dan kos yang lebih tinggi.”
Dr Verna memaklumkan bahawa di Malaysia buat masa ini tiada vaksin yang diluluskan atau perlindungan yang efektif untuk menentang virus denggi ini.
Beliau menasihatkan individu yang mengalami simptom demam dan sakit badan untuk mendapat nasihat daripada doktor serta menjalani ujian secepat mungkin.
“Tidak kira sama ada denggi atau COVID-19, jika penyakit telah ditahap teruk dan mengalami komplikasi disebabkan rawatan yang lambat, ianya boleh membawa
maut.”
Katanya, “di kala situasi ini, ramai yang mungkin agak was-was untuk ke hospital atau klinik kerana bimbang dijangkiti Covid-19.
“Walaupun penggunaan telekonsultasi boleh menolong kumpulan risiko tinggi daripada jangkitan Covid-19, tetapi bagi yang mengalami demam setinggi 38.5 ke 39 darjah Celcius, doktor tidak akan dapat mengesahkan samada pesakit mengalami denggi atau COVID-19
melalui telekonsultasi.
Justeru, anda dinasihati ke klinik swasta atau Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan pada hari pertama yang anda rasa demam.”
Dr. Verna menerangkan yang semua pesakit yang mempunyai gejala denggi (i.e. tanpa gejala pernafasan) boleh ditawarkan ujian diagnostik denggi (NS1 antigen).
“Buat masa ini, pesakit dengan demam dan gejala pernafasan seperti batuk-batuk, sesak nafas, sakit tekak, hilang deria bau dan sebagainya akan dirujuk ke klinik kerajaan yang menawarkan ujian COVID-19.
Jika ujian COVID-19 adalah negatif, pesakit mungkin diuji untuk demam denggi pula” katanya lagi.
“Bila anda tiba di pintu masuk klinik, beritahu kakitangan kaunter triage mengenai demam anda dan jangkamasa. Anda akan dibawa ke bilik pengasingan, dan doktor akan memakai kelengkapan pelindung diri sepenuhnya untuk memeriksa anda.
Berikan maklumat yang tepat dengan jujur kerana doktor memerlukan maklumat secukupnya untuk membezakan jangkitan denggi dan COVID-19.”
“Semua klinik kerajaan dan swasta mempunyai ujian diagnostik antigen denggi. Keputusan ujian tersebut adalah cepat iaitu kurang dari satu jam, dan amat sensitif serta spesifik untuk denggi sekiranya diuji dari demam hari pertama hingga ketiga.
Bila ianya disahkan, doktor akan memberikan nasihat yang sewajarnya serta menerangkan gejala penyakit denggi jenis yang serius. Ianya termasuk muntah dan rasa loya yang berterusan, sakit perut (menandakan kerosakan hati), cirit-birit dan pendarahan daripada hidung dan gusi ketika memberus atau ruam merah di kulit, selalunya selepas
5 atau 6 hari demam bermula.
Sentiasa peka dengan keadaaan badan anda. Pesakit yang pernah mengalami demam denggi harus lebih berhati-hati jika gejala ini berterusan,” katanya sambil menambah ia mungkin mengambil masa 10 hingga 14 hari untuk pesakit sembuh sepenuhnya dari demam denggi.
Rujukan artikel:
– https://www.infosihat.gov.my/index.php/demam-denggi
– http://www.myhealth.gov.my/demam-denggi/
– http://www.myhealth.gov.my/ujian-denggi/