Lebih 95 peratus pelajar memperoleh PNGK cemerlang

Kerjasama strategik antara Yayasan Peneraju dan Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS yang terjalin sejak 2016 telah membuahkan hasil positif apabila lebih 95 peratus daripada 76 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.0 berserta keputusan akademik dan kokurikulum yang cemerlang.

Kerjasama itu yang merupakan sebahagian daripada program Peneraju Tunas Potensi
menyaksikan kedua-dua yayasan berganding bahu membantu bakat Bumiputera yang kurang bernasib baik untuk mendapat peluang pendidikan berkualiti serta mempersiapkan
mereka untuk memasuki alam pekerjaan dengan kerjaya yang lebih baik terutamanya ketika berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Pembiayaan yang ditawarkan melalui program itu menyasarkan seramai seratus (100) penerima faedah dengan peruntukan sebanyak RM14 juta bagi tempoh lima (5) tahun.

Yayasan Peneraju memeterai perjanjian kerjasama awam-swasta bagi tempoh lima tahun
dengan Yayasan Universiti Teknologi Petronas (YUTP) bertujuan menyediakan biasiswa
penuh kepada pelajar yang kurang bernasib baik terutama mereka yang tergolong dalam
kumpulan B40, untuk melanjutkan pengajian asasi dan pengajian peringkat siswazah di
UTP.

Pembiayaan tersebut merangkumi yuran pengajian, elaun tempat tinggal dan sara hidup sepanjang pengajian mereka di UTP.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin berkata seramai 76 pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kini sedang mengikuti kursus
kejuruteraan dan teknologi di UTP dan kelompok pertama dijangka menamatkan pengajian
mereka pada 2021.

“Kerjasama awam-swasta seperti ini sangat penting kerana ia memberi peluang kepada
Bumiputera terutama mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah yang kurang dari
RM4,000 untuk mendapat peluang pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi.

“Kami sedar ramai pelajar di luar sana yang mempunyai potensi untuk melanjutkan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, namun mereka tidak dapat berbuat demikian
disebabkan pelbagai faktor khususnya kekangan kewangan.

“Melalui pembiayaan pendidikan seperti ini, saya percaya ia memberi harapan baru kepada anak-anak muda ini untuk merubah masa depan mereka dan keluarga,” katanya.

Inisiatif ini selaras usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai bakat baru untuk memacu
Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi serta memastikan penyertaan Bumiputera
yang lebih tinggi dalam sektor pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Dalam persekitaran dunia masa kini yang kompleks dan tidak menentu, graduan muda perlu bersedia memanfaatkan teknologi, bersinergi antara satu sama lain dan bekerja
dengan lebih efektif dalam persekitaran digital. Mereka harus merasa lebih yakin dan
kompetitif dengan adanya kemajuan teknologi.

“Keunikan Yayasan Peneraju adalah ia tidak hanya memberi tumpuan kepada keputusan
akademik dan kemahiran teknikal. Oleh itu, sebahagian daripada pengajian akademik
mereka juga merangkumi program pembangunan yang akan memupuk para graduan ini
menjadi bakat masa depan berkualiti,” katanya.

Pendekatan itu, yang dikenali sebagai ‘Memupuk & Membangun’, adalah salah satu inisiatif
Yayasan Peneraju untuk membentuk pelajar tajaan kami dengan meningkatkan kemahiran
insaniah mereka, menjadikan mereka individu berkeyakinan tinggi dan serba boleh yang
menepati keperluan industri semasa.

Sementara itu, Nor Adela Dinyati, Pengarah YUTP, mengatakan bahawa perkongsian
antara YUTP dan Yayasan Peneraju mempunyai satu aspirasi yang sama: untuk memberi
peluang kepada lebih ramai Bumiputera mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti
tinggi di UTP.

“Ada pelajar yang berasal dari persekitaran keluarga yang mencabar tetapi mereka
mempunyai potensi yang cerah dalam akademik dan kemahiran kepemimpinan. Kita tentu
tidak mahu kesukaran dan kekangan yang mereka hadapi menghalang mereka untuk
berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kehidupan.

“Oleh itu, peranan kita adalah untuk memberi peluang yang akan merubah kehidupan
mereka. Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat memperluas kehadiran kami dalam
memberi khidmat kepada masyarakat.

“Kami juga berharap dapat meneruskan perkongsian yang berfokus kepada perkhidmatan seperti ini, bukan untuk diri kita sendiri, tetapi untuk bakat muda dan pemimpin masa depan yang kita bangunkan,” katanya.

Yayasan Peneraju telah memulakan inisiatif yang menumpukan pada pengukuhan
peningkatan keupayaan untuk mencungkil bakat Bumiputera yang lestari.

Antara objektif Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat Bumiputera sejajar dengan usaha untuk memacu Malaysia ke arah
negara berpendapatan tinggi melalui program pensijilan akademik, vokasional dan
profesional yang tersusun.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, ia telah merealisasi aspirasi lebih daripada 30,000
penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya dengan agihan peruntukan sebanyak RM679.8 juta sepanjang tempoh lapan tahun.

Tahun 2020 menyaksikan Yayasan Peneraju memberi penekanan untuk memupuk dan
membangunkan bakat Bumiputera dalam sektor ekonomi digital, kewangan, kursus
perakaunan profesional dan Teknologi IR4.0.