Samsung Galaxy S20+ boleh dianggap sebagai satu peranti pertengahan dalam tiga variasi yang ditawarkan dalam keluarga S20.

Peranti ini yang ‘diapit’ oleh adiknya S20 dan ‘abang besar’ S20 Ultra memiliki saiz skrin yang sedikit besar daripada S20 dengan saiz 6.7 inci menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X, menyokong resolusi sehingga WQHD+, kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+.

Selain skrin lebih besar, cirinya tidak banyak beza atau ketara dengan S20 cuma tambahan kepada kuasa bateri iaitu 4500 mAh dan masih menggunakan pengecasan pantas 25W.

Melihat kepada ciri rekaan baharu luarannya, warna peranti S20+ yang diuji Prebiu.com kali ini adalah Cloud Blue yang lebih menawan dan kelebihan saiz skrin yang besar memberikan kelebihan kepada mereka yang gemar menonton video YouTube atau bermain game.

Dalam reviu gajet kali ini, Samsung memberi peluang kepada penulis untuk menguji tiga gajet telefon pintarnya iaitu S20, S20+ dan terbaharu Galaxy Z Flip. Untuk reviu kali ini, Prebiu.com memaparkan tiga ulasan serentak membabitkan gajet berkenaan.

Rekaan bezel pada peranti ini juga memberikan pengalaman menyeronokkan kerana tidak perlu menekan butang ditengah yang kebiasaannya tetapi tekan sahaja mana-mana bahagian skrin sekali gus tidak mengecewakan kepada pengguna tegar peranti keluaran dari Korea Selatan ini.

Ciri pengimbas cap jari ultrasonik yang terbina bawah skrin masih kekal digunakan dan ini  membolehkan jari pengguna diimbas tidak kira basah atau kotor sekali gus membuka akses lebih pantas.

Samsung S20+ yang dipasarkan di negara ini menggunakan cip pemprosesan Exynos 990 dengan binaan 7nm+ dan penggunaan Exynos 990, pengguna Malaysia hanya boleh menikmati sokongan 5G pada variasi Ultra sahaja.

Berbanding model Samsung S10 dan Note 10 yang ditawarkan dengan saiz storan dalaman sehingga 512GB, S20+ pula hanya dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3.0.

Bagaimanapun, jika anda memerlukan tambahan saiz storan boleh menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB.

Ciri Kamera 

Peranti ini dipasang dengan ciri kuad-kamera iaitu empat kamera utama menggabungkan sensor 12+64+12+0.3 TOF Megapiksel (MP).

S20+ menyokong sistem zoom hibrid 3x dan zoom digital sehingga 30x manakala pada bahagian hadapan pula kamera bersaiz 10 MP yang dipadankan pada bahagian tengah skrin peranti itu.

Meskipun ciri kameranya tidak sebesar S20 Ultra, ia masih mampu melakukan rakaman video 8K 24FPS pada kamera utama ataupun 4K 60FPS.

Selain itu, tiada sebarang perbezaan ciri antaramuka aplikasi kamera S20+ dengan S20 dan S20 Ultra apabila kesemua elemen antaramuka dapat dilihat dengan jelas dan mudah difahami.

Terdapat pelbagai mod tambahan seperti Panorama, Pro, Pro Video, Slow Motion, Super Slo-Motion, Night serta Live Focus dan untuk melancarkan kamera dengan pantas hanya perlu menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Sebagaimana kita sedia maklum mengenai ciri baru pada keluarga peranti S20 iaitu ciri  Single Take yang mampu menghasilkan beberapa keping gambar pada satu masa.

Sensor 12 MP dipadankan dengan lensa f/1.8 manakala sensor 64 MP f/2.0 dipadankan dengan lensa telefoto yang mampu membuat rakaman zum 3x hibrid optikal dan 30x Super Resolution Zoom. Akhir sekali satu lagi sensor 12-Megapixel f/2.2 dipadankan pula dengan lensa sudut ultra lebar.

Pengguna S20+ juga tidak perlu bimbang jika bateri yang besar ini memerlukan masa yang lama untuk dicas semula kerana pengecasan pantas 25W menggunakan USB Type-C memberikan satu kelebihan kepada peranti ini.

Pengecasan penuh S20+ membolehkan penggunaan penuh internet sehingga lebih 15 jam (LTE) dan lebih 17 jam (Wi-Fi) manakala tempoh bercakap lebih 23 jam (4G LTE).

Peranti seberat 186 gram ini juga kalis air dengan piawaian IP68, sama seperti dua model dalam variasi ini sekali gus memberikan ketenangan jika peranti ini tiba-tiba terjatuh ke dalam air atau basah akibat terkena air hujan.

Fungsi Edge Screen yang masih tersedia namun agak terlindung sedikit ini dan tidak terlalu ketara berbanding ciri ini pada telefon pintar S7 Edge.

Bunyi audio stereo pada pembesar suara pada bahagian bawah diberikan suntikan pengalaman audio lebih baik menerusi ciri Dolby Atmos.

Ciri One Handed Mode pula mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Ini dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Satu lagi kelebihan pada S20+ ini ialah ciri Dex iaitu mod desktop boleh diaktifkan apabila disambungkan kepada komputer peribadi atau Mac.

Bagi mereka yang mahu meminjamkan peranti ini kepada kanak-kanak, aktifkan sahaja butang Kids Home yang akan mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi.

Ciri ini juga membolehkan had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Kesimpulan

Meskipun peranti ini agak besar dan seberat 186g menyebabkan tangan anda boleh lenguh apabila memegang dalam jangka masa yang panjang, namun ciri-ciri yang dimilikinya cukup berbaloi dengan nilai pelaburan pada harga RM3,999.

Jika anda sanggup mengenepikan ciri kamera S20 Ultra yang mampu mencapai zoom 100x dan tidak sanggup melabur hampir RM5,000 maka, Samsung S20+ boleh menjadi pilihan kerana ciri kamera yang dipadankan sudah cukup hebat.

Meskipun kualiti gambar S20+ pada tahap 30x ganda tidak begitu jelas namun boleh dianggap memadai dengan tanda harga yang ditawarkan. Mungkin kualiti gambar abangnya S20 Ultra lebih baik.

Bagaimanapun, ketika gambar buah durian ini diambil pada tahap 20x ganda, kualiti gambarnya cukup baik dan cantik seakan anda benar-benar berada di depan mata.

Gambar dari jarak dekat menggunakan zoom 30x

Bagi anda yang mengutamakan ciri fotografi, ketahanan bateri dan rekaan yang moden, S20+ adalah pilihan yang tepat sekali.

Spesifikasi Samsung Galaxy S20+

  • Cipset Exynos 990
  • RAM 8GB dan storan 128GB
  • Skrin Dynamic AMOLED 2x Quad HD+ berukuran 6.7 inci dengan kadar refresh 120Hz
  • Kamera ultra-lebar 12MP, kamera utama 12MP, kamera telefoto 64MP dan DepthVision Camera
  • Space Zoom: Hybrid Optic Zoom sehingga 3x dan Super Resolution Zoom sehingga 30x
  • Kamera selfie 10MP
  • Bateri 4,500mAh dengan pengecasan pantas 25W
  • One UI 2 berdasarkan Android 10
  • Pengimbas cap jari ultrasonik bawah skrin (under display)
  • Kalis air IP68
  • Harga : RM3,999