Jika diimbas lebih 15 tahun lalu, adakah anda masih ingat telefon lipat yang boleh dikatakan cukup popular disebabkan oleh rekaan bentuk yang nipis, bergaya dan papan kunci yang kelihatan canggih.
Pada waktu itu, kebanyakan pengeluar telefon pintar bersaing menghasilkan rekaan telefon seumpama itu seperti Motorola Razr V3, Nokia, LG dan tidak ketinggalan Samsung sendiri yang turut menghasilkan peranti jenis lipat.
Bagaimanapun, dominasi penggunaan telefon pintar jenis skrin sentuh yang terus menjadi perhatian menyebabkan telefon lipat tidak menjadi kegemaran dan menjadi sejarah revolusi telefon pintar ini terus terkubur.
Penulis sendiri pernah memiliki telefon jenis lipat ini iaitu Motorola Razr V3 yang ketika itu dilihat agak ‘macho’ disebabkan saiznya yang nipis dan praktikal. Apabila mahu menjawab telefon buka sahaja lipatan dan secara automatik panggilan anda disambung.
Namun, pada Oktober tahun lalu, Samsung memperkenalkan telefon pintar bersaiz tablet yang boleh dilipat iaitu Galaxy Fold dengan skrin dalaman bersaiz 7.3″ inci Dynamic AMOLED dan skrin luar memanjang 4.6 inci.
Ketika artikel mengenai reviu Galaxy Fold itu ditulis, penulis membuat andaian bahawa telefon lipat bakal menjadi trending pada masa depan? Nampak gayanya, andaian penulis itu tidak terhenti begitu sahaja dan Samsung mengorak langkah berani mempertaruhkan sekali lagi telefon lipat yang lebih kecil dan mudah dibawa ke mana sahaja.
Apa yang pasti kehadiran Galaxy Fold yang didatangkan pada tanda harga RM8,388 itu sebagai tanda aras bahawa telefon lipat tidak mustahil boleh dihasilkan dengan rekaan yang lebih praktikal dan fleksibel.
Justeru, pada tahun ini, Samsung sekali lagi memperkenalkan telefon pintar lipat versi terbaharu, Galaxy Z Flip yang bersaiz sebesar dompet atau tapak tangan malah seakan alat solek wanita yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja kerana paparan skrinnya boleh dilipat dan selesa pada poket seluar anda.
Apa yang menarik ialah peranti ini dilengkapi skrin boleh lipat 6.7-inci Dynamic AMOLED FHD+ dan juga yang pertama menggunakan skrin kaca ultra nipis UTG yang lebih tahan lasak berbanding skrin plastik Fold.
Panel kaca ini pula dilindungi dengan pelindung plastik kekal yang hampir sama dengan Galaxy Fold tetapi apabila disentuh, ia terasa lebih keras dan mungkin lebih tahan lasak untuk penggunaan jangka masa panjang.
Panel belakang peranti ini diperbuat daripada kaca Gorilla Glass 6 dengan kemasan menarik namun agak mudah meninggalkan kesan cap jari dan cara mudah gunakan ‘cover case’ yang disediakan.
Jantung pada peranti ini pula dijana cip lapan teras Snapdragon 855+, memori 8GB RAM, storan 256GB dan bateri sebesar 3300 mAh.
Ciri kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi dwikamera 12+12 MP dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2.
Bagaimanapun, pada pandangan penulis, kehadiran peranti ini sebenarnya memiliki banyak kelebihan misalnya anda tidak perlu menggunakan alat sokongan lain seperti tripod atau ‘selfie ring’ untuk membolehkan telefon ini berdiri sendiri.
Apa yang perlu dilakukan hanya melipat telefon ini dan diletakkan diatas meja atau mana-mana tempat yang rata untuk mengambil gambar swafoto dengan mudah.
Hasilnya peranti ini dilihat sesuai bagi mereka yang mahu membuat panggilan video atau mereka yang aktif di platform media sosial seperti facebook atau instagram.
Peranti ini turut mempunyai skrin Super AMOLED bersaiz 1.1 inci di panel belakang bahagian atas. Skrin yang kecil ini adalah untuk memaparkan jam dan notifikasi seperti mesej ringkas ataupun ID pemanggil.
Bagaimanapun, saiz skrin kecil yang hanya 1.1 inci ini mungkin agak tidak selesa bagi pengguna yang sudah berusia tetapi sesuai bagi remaja aktif atau wanita yang mahu tampil kelainan serta sering menjadi perhatian.
Namun, setiap rekaan yang dihasilkan tentunya mempunyai sebab tersendiri dan tidak semestinya selari dengan kehendak seseorang. Samsung hanya mahu menawarkan kelainan pada setiap produk yang dihasilkannya.
Disebabkan rekaannya yang kecil dan kompak, Samsung Z Flip tidak menyertakan sokongan kad microSD untuk tambahan storan dan slot kad SIM hanya menyokong satu kad SIM bersaiz nano.
Saiz keseluruhan peranti ini adalah 167.3 x 73.6 x 7.2 mm apabila dibuka dan 87.4 x 73.6 x 17.3 mm apabila dilipat.
Sebagaimana peranti keluaran Samsung ini juga memuatkan pelbagai fungsi dan ciri seperti NFC untuk Samsung Pay, sokongan pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik.
Galaxy Z Flip turut mempunyai engsel yang lebih baik dan tahan lasak untuk jangka masa penggunaan yang lebih lama.
Menurut Samsung ia boleh dibuka dan dilipat sebanyak 200,000 kali. Engselnya direka dengan memastikan setiap bahagian peranti adalah stabil dan sekata, dan tidak longgar di sebelah sahaja.
Terdapat mod baharu yang digelar Flex Mode dimana peranti ini perlu dilipat separuh, yang mana bahagian atas akan menjadi tegak 90 darjah manakala Viewfinder akan terpapar pada bahagian atas dan fungsi kawalan adalah di bawah.
Kesimpulan
Mengenggam peranti kecil ini kadang-kala agak kekok disebabkan saiznya namun ia sentiasa mencuri perhatian umum kerana kebanyakan peranti ketika ini hanya tampil dalam rekaan bentuk segi empat yang hampir sama dan membosankan.
Tiga pilihan warna yang ditawarkan iaitu Mirror Purple, Black dan Gold tentu sekali warna-warna premium menyebabkan peranti ini kelihatan premium dan menyerlah.
Paparan skrinnya yang cantik dan kesan lekuk ditengah-tengah tidak begitu ketara menjadikan tontonan video satu pengalaman yang memuaskan namun kesan lekuk itu jelas dilihat apabila melayari skrin.
Mengambil gambar dengan peranti ini juga mudah dan apabila peranti ini dilipat, skrin kecil boleh digunakan untuk dijadikan viewfinder kamera swafoto.
Pada tanda harga RM5,888, ia satu tanda harga yang lebih mahal daripada Galaxy S20 Ultra, tentu sekali memiliki peranti ini agak eksklusif dan memenuhi citarasa sipemakainya.
Mungkin anda yang tidak kisah mengenai ‘duit’ boleh menjadikan Samsung Z Flip ini sebagai hadiah istimewa kepada seseorang!