Angka 2020 menjadi satu tarikh keramat kepada Samsung yang memperkenalkan telefon pintar kelas mercu terbarunya iaitu Samsung Galaxy S20 yang didatangkan menerusi tiga variasi berbeza.

Nampak gayanya, Samsung tidak mengambil langkah memperkenalkan model Galaxy Siri S secara berturutan seperti mana model terdahulu bermula pada tahun 2010 dengan siri S, S2, S3, S4, S5, S6, S7, S8, S9 hingga kepada S10 tetapi apabila tibanya tahun 2020 terus melompat kepada S20.

Tentu sekali lompatan itu mempunyai maknanya tersendiri apabila peranti yang diperkenalkan semakin canggih dengan ciri kamera lebih berkuasa malah tiga variasi terus diperkenalkan pada masa sama iaitu Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra.

Ketiga-tiga variasi Galaxy S20 berkenaan mempunyai sokongan bagi jaringan komunikasi generasi kelima (5G) bagaimanapun hanya dua variasi iaitu Galaxy S20+ serta Galaxy S20 Ultra yang didatangkan dengan sokongan sambungan ‘Sub-6’ dan ‘mmWave’ band, manakala Galaxy S20 hanya sambungan Sub-6 saja.

Prebiu.com yang diberi kesempatan menguji model Galaxy S20 mendapati, ciri paling ketara membabitkan ketiga-tiga variasi ialah saiz ukuran skrinnya yang lebih kecil berbanding abang-abangnya.

Stesen pemancar di puncak Gunung Ledang diambil menggunakan zoom 20x
Stesen pemancar di puncak Gunung Ledang diambil mennggunakan zoom 30x

Samsung S20 didatangkan dengan skrin 6.2” Quad HD+ Dynamic AMOLED 2X (3200×1440) dan beratnya 163gram yang lebih ringan dan ‘sedap’ dipegang khususnya golongan wanita.

Sebagaimana dengan ciri rekaan kamera pada model siri S10, kehadiran model S20, masih mengekalkan ciri sama dalam bentuk petak namun tidak terlalu menonjol iaitu seakan lebih rata malah lebih baik berbanding model peranti sebelum ini.

Sudah namanya peranti era tahun 2020, spesifikasi Samsung Galaxy S20 dilihat lebih hebat kerana dijana cip Exynos 990, memori 8 GB RAM, storan 128GB, kamera utama triple 64 (telephoto) +12 (ultra lebar) +12 (sudut lebar) MegaPiksel(MP).

Kamera swafoto pula 10 MP dan paling penting ialah kuasa bateri 4000 mAh cukup besar bagi mereka yang aktif di media sosial dengan tempoh masa bercakap 20 jam dan lebih 14 jam melayari internet.

Kamera utama 64 MP, memiliki ciri sudut lebar 12MP f/2.2 + 12MP f/1.8 ultra lebar OIS + 64MP f/2.0 telefoto OIS.

Peranti ini dipadankan dengan rekaan badan menggunakan kaca Gorilla Glass 6 menjadikannya satu bahan baharu yang lebih premium sekali gus cukup mudah digenggam di tangan serta tidak terlalu berat.

Rekaan peranti ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Cosmic Gray, Cloud Blue dan Cloud Pink.

Paparan Dynamic AMOLED 2X Infinity-O QHD+ untuk model ini turut tampil dengan kadar segar semula 120Hz walaupun anda menggunakan model asas, Galaxy S20 (tetapan default kepada 60Hz).

Manakala teknologi paparan menyokong HDR10+ disamping skrin melengkung dengan bezel nipis menjanjikan satu pengalaman yang menyeronokkan.

Galaxy S20 hadir dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dan dilengkapi storan seluas 128GB (mencapai 1.5TB dengan microSD).

Mengenai ciri bateri, model S20 menggunakan kapasiti 4000mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W dan memiliki ciri Kongsi Kuasa Tanpa Wayar yang boleh mengecas peranti lain seperti jam pintar atau fon telinga.

Meskipun S20 dianggap ‘adik bongsu’ namun ciri kameranya berkongsi sensor telefoto yang sama iaitu 64MP yang boleh melakukan zoom gambar digital sehingga 30 kali ganda manakala zoom optik hibrid pula pada kadar 3 kali ganda.

Menambahkan lagi ciri kehebatan pada kamera S20 ini turut memiliki sokongan rakaman video 8K yang boleh menghasilkan imej pegun yang tajam setingga 33MP.

Ketika ciri kamera zoom ini diuji sehingga 30 kali ganda, terdapat ciri view finder kecil diatas kanan pada skrin yang membantu pengguna memiliki sudut mana yang dikehendaki ketika mensasarkan objek pada jarak jauh. Hebat bukan!

Selain itu, ciri Single Take yang pertama kali diperkenalkan untuk peranti Samsung kali ini merupakan ciri yang tiada pada telefon pintar lain.

Peranti ini akan merakam beberapa keping gambar (lebih kurang 10 ke 12) dengan gaya yang berbeza seperti gambar bersudut luas, bokeh, video, video gerak pantas dan banyak lagi berasaskan teknologi AI (kecerdasan buatan).

Kesimpulan

Apa yang pasti siri Galaxy S20 kali ini turut dilengkapi dengan RAM sebesar 8GB dan simpanan 128GB (boleh ditambah menggunakan MicroSD sehingga 1TB) memberikan kelebihan kepada mereka yang tegar atau memerlukan sebuah peranti untuk sesuatu tugasan yang memerlukan simpanan foto yang besar.

Ciri tema gelap juga boleh menjadi pilihan pada tetapan peranti ini dan ciri One UI 2.0 kali ini juga membawakan ciri dimana anda boleh sembunyikan butang ‘back’ dan ‘home’ dengan menggunakan isyarat navigasi.

Bagi tujuan keselamatan, peranti ini dilengkapi dengan ciri pengimbas cap jari dalam skrinnya atau anda boleh menggunakan pangimbasan wajah selain ciri tradisional yang menggunakan kata laluan ‘pattern‘ untuk membuka peranti.

Pada tanda harga RM3,599, Galaxy S20 ialah sebuah peranti kelas mercu yang memiliki ciri kamera gred pro. Kualiti kameranya cukup baik dan berbaloi bagi mereka yang sememangnya memerlukan sebuah peranti yang mampu memberikan hasil gambar yang dikehendaki.

Dengan pelbagai ciri dan fungsi yang dimiliki pada ciri kameranya, peranti ini mungkin boleh ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik berdasarkan situasi ekonomi yang amat terkesan akibat virus COVID-19 ketika ini.

Ciri menarik lain ialah Samsung S20 ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit.

Spesifikasi Samsung Galaxy S20:

  • 6.2″ QHD+ Dynamic AMOLED 2X Infinity-O (3200×1440) 120Hz
  • Samsung Exynos 990 7nm 64-bit (2.7GHz+2.5GHz+2GHz)
  • Samsung One UI 2 + Android 10
  • 8GB LPDDR5 + 128GB + microSD (hingga 1TB)
  • 4000mAh Fast Charging 25W
  • Kamera belakang: 12MP f/2.2 + 12MP f/1.8 ultra lebar OIS + 64MP f/2.0 telefoto OIS
  • Kamera depan: 10MP Dual Pixel AF f/2.2
  • LTE Cat.20, 4×4 MIMO, WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax, Bluetooth 5.0, USB-C
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonic, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos (termasuk fon telinga), IP68
  • Warna: Cosmic Grey, Cloud Blue, Cloud Pink
  • Harga:  RM3599