Persepsi memilih kerjaya di dalam bidang yang lebih didominasi kaum Adam tidak pernah menghalang A’isyah Othman, ibu kepada empat orang anak untuk memilih kerjaya sebagai seorang Chargeman.
MEMULAKAN kerjaya sebagai seorang Penyelia Tapak Keselamatan, dengan hasrat beliau untuk menaiktaraf pensijilannya beberapa kali ditolak dengan memandangkan beliau adalah satu-satunya wanita ketika itu.
Bagaimanapun, apabila diberi peluang menyertai program Peneraju Skil Chargeman di bawah Yayasan Peneraju, kerjaya dan tangga gajinya meningkat naik sejak dari itu.
Kesungguhan beliau membuahkan hasil apabila memperoleh Sijil Kompeten EIU. Semenjak itu beliau diberi tanggungjawab sebagai Pengurus Projek bagi memantau, mengurus dan memastikan projek-projek di bawah An-Nashr Resources siap sepenuhnya terutama dalam bidang pembinaan dan elektrikal.
Projek paling besar pernah beliau terlibat adalah projek Lebuhraya Pan Borneo.
Yayasan Peneraju ditubuhkan bermatlamat memupuk dan membangunkan bakat Bumiputera ke potensi tertinggi melalui tiga teras iaitu program pembiayaan pendidikan dan latihan: Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.
Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 30,000 penerima faedah melalui 261 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima sepanjang tempoh lapan tahun penubuhannya.
Yayasan Peneraju menyatakan komitmen untuk terus melahirkan bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya dibidang ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0.