Berikutan penularan Wabak COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia secara khususnya telah mengundang kepada pemupukan rasa kasih sayang dan keprihatinan antara satu sama lain dalam kalangan rakyat Malaysia.

Komuniti autisme, sebagai contoh adalah di antara mereka yang terkesan dan memerlukan perhatian serta kesedaran yang tinggi terutamanya dalam menghadapi keadaan semasa yang sangat mencabar serta penuh dengan risiko.

Sehubungan itu, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama GENIUS Kurnia, telah melancarkan ‘Kempen Kesedaran Autisme’ dengan mengadakan beberapa aktiviti kesedaran dalam bentuk cabaran mingguan sempena Bulan Autisme Sedunia.

Aktiviti-aktiviti yang mengandungi empat cabaran mingguan hanya dilaksanakan melalui talian dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia bermula dari 20 April hingga 17 Mei 2020.

Kempen ini bertujuan untuk membina dan membentuk sebuah masyarakat yang prihatin terhadap komuniti autisme dengan menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang kini terbuka kepada semua lapisan etnik tanpa had umur.

Pihak penganjur percaya bahawa ini adalah masa yang sangat tepat bagi menarik perhatian khalayak bagi mewujudkan suasana positif serta membarakan kesedaran terhadap komuniti autisme.

Ini kerana rakyat Malaysia yang kini berada di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan keselamatan diri sendiri serta orang tercintanya. Kempen ini telah dilancarkan secara rasmi pada 20 April 2020.

Penasihat Projek dan Pensyarah Komunikasi dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Profesor Madya Dr Nurul ‘Ain Mohd Hasandi berkata, “Kesedaran masyarakat mengenai autisme meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini dan terdapat pelbagai perkara yang dapat kami lakukan untuk membantu membina kesefahaman antara masyarakat dan orang ramai.

PKP ini memberikan kita peluang yang sungguh baik untuk berhubung dengan komuniti autisme dalam bentuk cabaran dan sesi perkongsian cerita melalui media sosial. Rakyat Malaysia diuar-uarkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti menarik yang dianjurkan oleh pihak kami bagi memastikan masanya diluangkan dengan aktiviti yang berfaedah serta sebagai suatu inisiatif membentuk platform pendidikan”.

“Pada tahun lepas, kami telah menganjurkan ‘UPM Autism Fun Run’ yang telah memberikan pengalaman yang sungguh menarik dan berfaedah serta dana yang dikumpulkan telah disalurkan kepada GENIUS Kurnia untuk membantu meningkatkan kemudahan pusatnya.

Pada tahun ini, bagi meneruskan kesinambungan usaha tahun lepas, pihak kami melaksanakan kempen atas talian untuk membangkit kesedaran serta mengumpulkan dana bagi GENIUS Kurnia untuk membolehkan mereka meneruskan pendidikan yang berkualiti dan cemerlang serta intervensi awal kepada kanak-kanak autisme demi mempersiapkan dan melatih mereka untuk menghadapi cabaran ketika berada di sekolah arus Perdana kelak.

“Kami percaya bahawa rakyat Malaysia yang prihatin akan sentiasa terbuka dan bersedia untuk membantu kanak-kanak Autisme serta keluarganya dengan melibatkan diri sepenuhnya. Maka, kami teruskan sokongan ikhlas kami buat komuniti austime pada tahun ini juga”, katanya.

UPM dan GENIUS Kurnia berharap bahawa dana yang secukupnya dapat dikumpulkan tahun ini daripada organisasi-organisasi korporat serta individu untuk terus mendidik dan menyumbang kepada kesejahteraan kanak-kanak autisme melalui kempen yang dilancarkan.

Mereka juga berharap untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak ketinggalan hanya kerana sedikit perbezaan fizikal antara mereka dengan orang lain.

Sementara itu, Pengarah GENIUS Kurnia, Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, “Kami sangat gembira dan berterima kasih atas kesudian pihak UPM menuju kehadapan untuk mengumpul dana melalui Cabaran Mingguan dalam talian yang telah dilancarkan.

Beliau berkata, ini demi kesejahteraan kanak-kanak Autisme serta keluarganya yang menandakan tahun kedua kerjasama kami antara pihak UPM berikutan ‘UPM Autism Fun Run’ pada tahun lepas.

Kami berharap bahawa lebih banyak organisasi korporat akan tampil kehadapan untuk membantu kami dengan menyumbangkan sedikit sebanyak dana demi manfaat buat pendidikan anak-anak kami ”.

INFOMASI CABARAN MINGGU PERTAMA 1:

  • Lukis sebuah lukisan kreatif atau tangkap klip video berdurasi pendek yang bertemakan Covid- 19 ataupun cara duduk rumah selamat sepanjang PKP.
  • Muat naik hasil karya anda di media sosial, terutamanya Facebook dan Instagram dengan hashtag #UPM4Autism , #SemarakAutisme dan #StaySafeAtHome
  • Jangan lupa untuk tag @GeniusKurniaOfficial dan @UPM_for_autism dalam pos anda di media social.

INFOMASI SUMBANGAN DANA KEPADA GENIUS KURNIA:

  • Nombor Akaun: 564472608276
  • Nama Akaun: Persatuan Ibu Bapa & Ahli Intervensi (PIBI)
  • Bank: Maybank
  • Untuk maklumat selanjutnya, sila layari laman sesawang rasmi GENIUS Kurnia,https://iautism.my/
  • Emel: [email protected] / [email protected]
  • Talian: 03-4026 8200 / 03-4026 8201