Nama Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican tidak asing lagi bagi NGO Antarabangsa khususnya di Negara Asean dan Asia Tenggara.

Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang berasal dari Kuala Terengganu mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Terengganu. Beliau seterusnya menyertai angkatan Tentera Laut pada 1979 dan memulakan Latihan Asas di Sembawang Wing Singapura seterusnya di Woodlands Singapura.

Bantuan kepada Anak Anak Yatim di Kemboja

Beliau mula berkhidmat di kapal di Sabah dan Sarawak ketika negara diancam pengganas komunis dan lanun.

Mustapha mempunyai semangat yang tinggi untuk memajukan dirinya dan beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), seterusnya menyambung pengajian di Universiti Malaya dan kemudiannya menamatkan pengajian diperingkat Master Undang-Undang Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan PHD International Law di luar negara.

Sepanjang tempoh bergelar sebagai pelajar, antara anugerah yang diterima ialah:

  1. Anugerah Penulis Terbaik Sijil Penulisan Kreatif dari USM
  2. Anugerah Penulis Muda Terbaik Persatuan Penulis Kemudi Selangor
  3. Anugerah Kursus Penerbitan Terbaik anjuran Intan Bukit Kiara
  4. Pelajar Terbaik Diploma Strategi Universiti Malaya
  5. Pelajar terbaik Diploma Lanjutan Universiti Pertahanan di Taiwan bidang Perhubungan Antarabangsa

Bagaimanapun, usaha gigih beliau tidak berhenti di situ apabila aktif dalam kerja-kerja kebajikan di dalam dan luar negara.

Mustapha di Anugerah bintang kebesaran Negara Kemboja oleh PM Hun Sen atas sumbangan Kebajikan 20 tahun di Kemboja

Beliau memperolehi pelbagai anugerah dari Kemboja dan yang tertinggi apabila dianugerahi pingat tertinggi negara tersebut yang disampaikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada dua tahun lalu.

Dr Mustapha telah memulakan program kebajikan dibawah nama NGO Antarabangsa di Kemboja sejak 1999. Antara kejayaan sepanjang tempoh beliau berbakti di negara berkenaan ialah:

  1. Membina 6 buah masjid
  2. 10 buah surau
  3. Bina 3 buah sekolah agama
  4. Bina 1 tanah perkuburan Islam
  5. Membina jalan-jalan kampung menuju ke masjid
  6. Membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan mualaf
  7. Membina 4,001 buah perigi

Ini sebahagian daripada sumbangan beliau malah banyak lagi sumbangan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Adha dilakukan malah beliau amat dikenali sebagai pemimpin yang sederhana dan disegani oleh semua pihak di negara berkenaan.

Mustapha diberi penghormatan meletakkan batu asas pembinaan Sekolah Agama di Pulau Bangka Indonesia

Beliau juga turut membantu negara lain seperti Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos dan Filipina tetapi sumbangan lebih besar di Kemboja berikutan penduduk Islamnya amat daif dan lebih memerlukan bantuan.

Ditanya bagaimana beliau memperolehi sumbangan untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan, Dr Mustapha berkata, sumbangan itu diterima dari rakan-rakan yang rapat serta individu yang tahu akan aktiviti yang dibuat untuk kepentingan Ummah Sejagat.

“Saya juga dijemput oleh pemimpin kerajaan di Selatan Thailand supaya dapat memberi idea ke arah keamanan sejagat. InsyaAllah saya akan cuba beri yang terbaik dan begitu juga pihak Kerajaan Filipina yang juga menjemput saya datang ke Manila melihat apa yang NGO Antarabangsa boleh bantu ke arah kebaikan,” katanya.

Mustapha di Thailand bantuan kepada sekolah Agama di Narathawit

Menurut Mustapha, perkara yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya ialah usaha untuk menyelamatkan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja.

“Yang paling susah kita hendak ubah ialah pertuduhan kes oleh pihak berkuasa kepada tahanan rakyat Malaysia yang bersabit dengan judi dalam talian dan tidak mempunyai visa bekerja di Kemboja.

“Cabarannya ialah terlalu ramai yang dipenjarakan iaitu seramai 40 rakyat dari Sarawak meliputi pelbagai agama seperti Kristian, Islam, Iban dan Buddha manakala 3 lagi rakyat Sabah pelbagai agama, 3 rakyat Selangor serta seorang bangsa Cina dari Kuala Lumpur.

“Usaha membebaskan rakyat Malaysia ini turut dibantu oleh Menteri Kanan Kemboja, Dt Okhya Othsman Hassan dan bagi tujuan pembebasan ini yang memgambil masa 7 hari keseluruhan dengan kajian kes dengan pembabitan saya secara langsung sehingga kes berkenaan sampai kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen,” katanya.

Bantuan kepada fakir miskin

Menceritakan semula misi menyelamatkan rakyat Malaysia itu, beliau yang masih tidak boleh melupakan kisah itu berkata, sepanjang tempoh itu mereka hanya sempat tidur 2 jam atau 3 jam kerana jarak penjara dengan ibukota kota mengambil masa 7 jam dengan kereta.

“Tambahan pula keadaan jalan raya yang tidak begitu baik dan talian telefon yang sukar kerana kedudukan penjara yang jauh ke Sempadan Thailand.

“Tahanan ini sudah hampir 2 bulan dalam penjara setelah saya diberitahu oleh beberapa orang Tokoh Akademik dan ahli perniagaan Sarawak memohon saya membantu berdasarkan hubungan saya dengan kerajaan Kemboja baik.

“Pada masa yang sama, Kedutaan Malaysia di Phnom Penh tidak mempunyai Duta dan pada waktu itu proses menjadi sukar sedikit namun saya cuba bantu kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan kes ini dengan segera demi untuk Malaysia.

“Misi saya ialah menyelamatkan semua 47 rakyat Malaysia tanpa mengira kaum meskipun hanya 11 beragama Islam termasuk 13 adalah wanita. Saya buat ini atas sikap prihatin dan bukan untuk mendapat penghormatan tetapi sebagai NGO yang cintakan kedamaian,” katanya.

Mustapha di Anugerah bintang kebesaran Negara Kemboja oleh PM Hun Sen atas sumbangan Kebajikan 20 tahun di Kemboja

Kesimpulan

Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican bukan sahaja sebagai Pengerusi NGO Antarabangsa malah turut menyumbang idea kepada NGO-NGO lain di negara ini malah pengalaman sebagai Pegawai Tentera Laut dan pegawai Kerajaan di beberapa Kementerian banyak membantu beliau.

Antaranya termasuk di Kementerian Pertahanan, Wisma Putra, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar dibawah Kementerian Wilayah Persekutuan serta menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Terengganu dan Ketua Pegawai Eksekutif GLC Utama Negeri Terengganu.

Pengalaman meluas beliau banyak digunakan untuk kebaikan negara dan keunikan yang ada pada diri beliau ini amat luar biasa dan jarang ditemui, maka sewajarnya usaha beliau ini diberikan penghargaan yang setimpal oleh kerajaan Malaysia khususnya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Muhammad Yassin.