Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa dan NGO-NGO Malaysia menyeru rakyat Malaysia yang berada di dalam dan di luar negara agar mengikuti peraturan serta Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.

Ini kerana negara ketika ini sedang dilanda wabak virus COVID-19 dan tujuan arahan itu dikeluarkan adalah untuk memastikan penyakit itu tidak terus merebak ke orang lain.

Mustapha (kiri)

Pengerusi NGO Antarabangsa dan Penasihat NGO-NGO Malaysia, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, bagi mereka yang ingin pulang ke kampung dinasihatkan agar membuat pemeriksaan diri masing-masing sebelum balik ke kampung bertemu ibu bapa atau sanak saudara.

“Ini bagi mengelakkan daripada penyakit ini merebak dengan cepat sepertimana yang berlaku di luar negara seperti Itali.

“Justeru, sentiasa amalkan kebersihan dan utamakan keselamatan ahli keluarga kita kerana kita tidak mahu dijangkiti hanya disebabkan tindakan tidak mahu mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.

“Kita sudah sedia maklum bahawa wabak atau virus ini mudah merebak dari manusia ke manusia melalui bersin, sentuhan atau berada dengan kontak yang dijangkiti….jadi elakkan diri daripada berada di tempat yang sesak dan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru agar mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit ini seperti batuk, selesema, sakit kepala dan sukar bernafas dalam jangka panjang agar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi rakan-rakan atau rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara sila hubungi kedutaan masing-masing dengan memaklumkan status masing-masing bagi tujuan pemantauan dan elakkan juga keluar di tempat awam serta mengamalkan sikap berada di rumah sentiasa.

“Saya berharap kita semua perlu bekerjasama membantu kerajaan dan pihak berkuasa yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa mereka yang dijangkiti Virus COVID-19.

“Saya turut mendoakan keselamatan kepada semua pihak berkuasa seperti polis, petugas hospital dan lain-lain agensi yang terbabit dalam menjalankan tugas berhadapan risiko virus ini,” katanya.

NGO Antarabangsa juga ingin menyeru kepada tokoh koporat Malaysia untuk turut sama  membantu kerajaan dengan memberi sumbangan dana khas bagi membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan agensi lain yang terbabit dalam menjalankan tugas ketika ini.