Todak Motorsports yang dijenama semula daripada Todak Racing akan menganjurkan pelbagai acara yang lebih besar kepada peminat sukan permotoran tanahair sepanjang 2020 ini.

PRESIDEN Todak Motorsports, Mohamad Hafiz berkata, menerusi kejayaan didalam arena perlumbaan yang disertai pada musim lepas memberikan keyakinan bahawa pihaknya sudah bersedia bergerak dalam skala yang lebih besar dibawah jenama Todak Motorsports.

Beliau berkata, tidak seperti Todak Racing yang sebelum ini menumpukan kepada perlumbaan kereta sahaja, peranan Todak Motorsports untuk melibatkan kepelbagaian sukan permotoran dibawah satu entiti.

“Penubuhan kelab komuniti ini membolehkan disiplin lain seperti drift, drag, gymkana, konvoi dan banyak lagi acara sukan bermotor untuk duduk dibawah label Todak ini sendiri.

“Hala tuju kelab in dibangunkan sebagai satu dukungan dan insiatif menyemarakkan arena sukan negara khususnya arena permotoran,” katanya pada majlis pra pelancaran Todak Motorsports di Setia Alam, malam semalam.

Pada majlis sama, Todak Motorsports turut memperkenalkan dua penyanyi baharu yang bernaung dibawah Todak Music iaitu Fadh Majid dan Razak A’ai. Artis Shiha Zikir juga bernaung dibawah syarikat muzik ini.

Antara aktiviti yang dirancang pada tahun ini seperti Trackday Sepang dilanggar Todak, Mega Gathering Meet Uo and Fun Drive, Advance driving season with Admi and Mycil, Program CSR, Drag Terpadu 2020, Malaysia Speed Festival Racing Super 1500N, MSF Touge dan MCS SP2.

Beliau berkata, sokongan daripada pemain industri permotoran amat penting dalam merealisasikan impian Todak Motorsports sebagai sebuah kelab komuniti lokal yang serius untuk melihat pasukan pelumba tempatan menakluki pentas antarabangsa.

“Kami berharap agar dapat bekerjasama dengan pihak yang berminat untuk berkolaborasi sekali gus membawa misi yang sama iaitu menaikkan sukan permotoran negara,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Todak, Khairul Azlan berkata, apa yang menyebabkan Todak Motorsports ini unik disebabkan teknologi yang dibangunkan pihaknya sendiri misalnya jika seseorang itu minat untuk menyertai sesebuah kelab tetapi tidak tahu bagaimana, Todak akan berfungsi sebagai hub untuk menyatukan kelab-kelab ini menerusi komunikasi diwujudkan.

“Selain itu, kami juga mewujudkan komuniti bisnes menerusi kelab-kelab ini dengan membantu mempromosikan barangan keluaran masing-masing sekali gus dikenali oleh komuniti atau kelab-kelab lain apabila aktiviti mereka diketahui,” katanya

Beliau berkata, fokus Todak Motorsports ialah mengembangkan komuniti menerusi sukan permotoran kerana kebanyakannya kini hambar dan berpuak-puak serta tidak berfungsi dengan komuniti lain yang sama minat.

“Apabila Todak wujud, ramai yang bertanya bagaimana nak menyertai kami dan justeru kami mahu menyediakan satu platform yang terbuka kepada orang awam dengan mewujudkan satu aplikasi dikenali Geng Todak dan setiap komuniti akan diketahui umum.

“Aplikasi ini dibangunkan hasil keupayaan Todak sendiri yang juga dikenali sebagai pengeluar produk permainan (game),” katanya sambil menambah Geng Todak bukan sahaja terbuka kepada kelab kereta tetapi juga kepada kelab motosikal di negara ini.

Meskipun baru dilancarkan, Todak Motorsports bulan lalu sudah mengadakan program bersama dengan beberapa kelab bagi mengembangkan senario sukan permotoran di Malaysia seperti Kelab GTR Malaysia dan Kelab Volkswagen Jetta Malaysia.