Sarung tangan medikal dihantar ke China untuk menangani wabak novel coronavirus (2019-nCoV) yang melanda Wuhan.

Menerusi gabungan beberapa syarikat logistik termasuk syarikat antarabangsa, iaitu Integrated Cold Chain Logistics Sdn Bhd (ICCL) Express Malaysia, ICCL Express Thailand dan Yatfai Logistics Group (Hong Kong) untuk melakukan penghantaran sarung tangan getah dari Taiping, Malaysia ke Wuhan, China.

Wakil ICCL, Mohd Heerman Haminnuddin berkata, produk itu akan dihantar ke 70 hospital di dalam daerah Wuhan yang terbabit dengan kesan virus yang sudah meragut hampir 1,000 nyawa di China.

Kebanyakan penduduk di wilayah Hubei juga kini diletakkan dibawah larangan perjalanan oleh kerajaan China bagi mengelakkan virus berkenaan tersebar.

Penghantaran sarung tangan getah itu dilakukan menggunakan jalan darat yang merentasi sempadan daripada Malaysia, Thailand, Laos, Vietnam dan seterusnya ke Wuhan, China membabitkan perjalanan kira-kira tujuh hari sebelum tiba di wilayah Wuhan termasuk pemeriksaan kastam.

Inisiatif ini dilakukan oleh Young Presidents’ Organization (YPO). YPO ialah komuniti kepimpinan global ketua-ketua eksekutif yang percaya bahawa dunia memerlukan pemimpin yang lebih baik.