Mencipta masa depan melalui kegunaan 5G di pelbagai industri di Langkawi
Perjalanan 5G Celcom diteruskan lagi dengan eksplorasi tujuh kes kegunaan 5G yang meliputi Bandar Pintar dan penyelesaian Industri 5G di seluruh Pulau Langkawi.
Kes-kes kegunaan 5G tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan daripada pelbagai industri, dengan menyasarkan penambahbaikan operasi harian melalui teknologi 5G.
Eksplorasi Celcom dalam penyelesaian 5G meliputi Geo-fencing & Smart Perimeters, Imbangan Awam Pintar (Kawalan Orang Ramai), Penstriman Pandangan Panorama 360 Langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan Akses Tetap Tanpa Wayar.
Rangkaian 5G Celcom di Langkawi dijalankan di tujuh lokasi berlainan menggunakan teknologi 5G New Radio yang menampilkan spektrum C-band, Massive Multiple-Input and Multiple-Output (MIMO 64T64R) melalui teknologi 5G Customer Premise Equipment (CPE).
Kejayaan ini mencerminkan komitmen Celcom untuk merealisasikan penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) melalui teknologi 5G dalam pelbagai industri, serta mendahului dalam aspirasi negara untuk pembangunan sebuah ekosistem digital.
Baru-baru ini Celcom telah menjayakan penyelesaian Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G yang djalankan melalui kolaborasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi (PDRM) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Pelancongan (MPLBP), menggunakan sembilan kamera video panorama langsung 360⁰ UHD 4K di empat lokasi sepanjang Jalan Pantai Cenang dan dua lokasi di Dataran Cenang, Langkawi.
Penyelesaian Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G Celcom disediakan bersama keupayaan Kepintaran Buatan (AI) dan analisa video yang menggunakan ciri 5G dengan kependaman rendah dan kelajuan data yang tinggi, yang membolehkan pemantauan masa nyata dan kualiti gambar definisi tinggi untuk fungsi keselamatan yang berikut:
• Pengenalan wajah – keupayaan untuk mengenal pasti suspek yang berpotensi melalui pengesahan titik wajah.
• Analisa rakan kongsi – keupayaan mengenal pasti rakan jenayah yang berpotensi, melalui analisa video padanan silang.
• Pelanggaran peraturan lalu lintas – sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas dapat dikesan secara automatik.
• Analisa kenderaan – Rakaman nombor plat dan identifikasi kenderaan.
Dalam Projek Demonstrasi 5G Langkawi (5GDP) baru-baru ini, Penyelesaian Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G Celcom telah disaksikan sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana MenterI, Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Jamil Rakon, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan Al-Ishsal Ishak, Pengerusi SKMM di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di Kuah.
Acara tersebut turut disertai oleh Dato’ Wira Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Muhammad Azlee Abdullah, Timbalan Ketua Polis Kedah, Dato’ Sahabudin Abd Manan, Timbalan Pengarah 1, Sumber Strategik dan Teknologi PDRM, Mohd Firdaus Ahmad, ADUN Kuah, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom Axiata Berhad dan Supt Mohd Iqbal Ibrahim, Ketua Polis Daerah Langkawi.
Idham Nawawi, berkata kes-kes kegunaan 5G Celcom di Pulau Langkawi yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa dan pemain industri yang berkaitan telah mempamerkan faedah teknologi 5G dengan penyelesaian IoT dan Kepintaran Buatan (AI) dalam menambahbaik operasi harian penggunaanya.
“Kolaborasi dan eksplorasi peringkat permulaan bersama PDRM telah memberi impak positif dalam operasi harian yang melibatkan keamanan dan keselamatan awam, kerana teknologi 5G akan membolehkan PDRM untuk memastikan kesejahteraan Langkawi dengan lebih cekap dan berkesan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan PDRM bagi potensi pelaksanaan penyelesaian tersebut sebaik sahaja 5G telah dikomersialkan.
“Kami percaya terdapat peluang yang lebih besar bagi mengoptimisasi faedah penyelesaian ini dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai industri untuk meneroka banyak lagi kes kegunaan 5G yang dapat dimanfaatkan oleh perusahaan, pihak penguatkuasa, serta sektor awam dan swasta, seterusnya menerajui inovasi teknologi keseluruhan industri di Malaysia,” katanya.