Buku ini hasil gabungan tulisan tokoh akademi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Profesor Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff yang bertugas sebagai Profesor di Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Asia Tenggara Seaweed Malaysia, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, semua sekolah agama, tahfiz dan masjid perlu memiliki buku ini agar dapat mempelajari isu-isu penting yang terdapat dalam hadis berkaitan alam sekitar dan penjagaannya.

Mustapha (tengah) menunjukkan buku 40 hadis bersama penulis buku Prof Dato Dr Zulkifli Azman (dua kiri), Tan Sri Halim Ali (dua dari kanan) dan Tan Sri Othman Hashim Pengerusi Suhakam (kanan sekali)

“Usaha murni oleh dua penulis hebat ini merupakan Tokoh Akademik dan melihat hadis-hadis dari sudut alam sekitar, amat sesuai dijadikan sebagai bahan rujukan untuk semua pihak.

“Hasil dari jualan buku ini juga akan dimasukkan kepada tabung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya ( UM) bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar miskin dan tidak bermampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan pelancaran buku 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di UTM Jalan Semarak Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam satu majlis pertemuan dengan Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi Di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al Rubaian, Mustapha berkata, Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang bernaung dibawah Kedutaan Arab Saudi perlu menyokong usaha murni kedua-dua penulis buku berkenaan.

“Ahli perniagaan disarankan untuk mendapatkan buku ini dengan menjadikannya sebagai sumbangan kepada sekolah-sekolah agama atau individu tertentu untuk dijadikan rujukan bagi tujuan pengajaran kerana banyak manfaat yang boleh perolehi apabila menghayati hadis dan menjadikan kita seorang yang peka kepada alam sekitar,” katanya.

Sheikh Abdul Rahman pula berkata, kedua-dua Tokoh Akademik ini adalah tokoh yang dipilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun lalu diatas jemputan Raja Salman dan mereka mendapat idea untuk menghasilkan buku itu ketika berada di Tanah Suci.

“Penghasilan buku ini adalah sesuatu yang amat membanggakan dan kedua-dua tokoh akademik ini telah menunjukkan contoh terbaik bagi peningkatan ilmu pengetahuan dikalangan masyarakat Islam,” katanya.