Santan berasaskan sawit, inovasi penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Zaida Zainal berjaya menjuarai Kategori Industri untuk Kluster Makanan dan Minuman dalam pertandingan penyelidikan dan pembangunan di Selangor Research, Development and Innovation Expo 2019, baru-baru ini.

Santan berasaskan sawit hasil formulasi Dr Zaida setanding santan kelapa daripada segi rasa dan rupa, malah mempunyai pelbagai khasiat, termasuk kandungan lemak tepu yang rendah dan lebih tahan lama.

Santan sawit mampu mengubah gaya hidup masyarakat Malaysia yang gemar menggunakan santan kelapa dalam masakan, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan.

Dr Zaida membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM10,000, sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu menampilkan lima kluster utama iaitu Sains Hayat, Makanan dan Minuman, Pemesinan dan Peralatan, Elektrik dan Elektronik, dan Pengangkutan.

Setiap kluster utama terbahagi kepada tiga kategori iaitu Universiti/ Kolej, Industri dan Awam.

Dr Zaida juga memenangi tempat kedua bagi Kategori Industri, Kluster Sains Hayat dan menerima wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, tiga lagi penyelidik MPOB turut memenangi pertandingan R&D Selangor iaitu Mohd Rizal Ahmad memenangi tempat kedua bagi Kategori Industri, Kluster Pemesinan & Peralatan dan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan manakala Dr Mohd Azwan Mohd Bakri yang meraih tempat kelima bagi kategori dan kluster yang sama membawa pulang hadiah saguhati berupa RM1,000 dan sijil penyertaan.

Seterusnya, Dr Benjamin Lau Yii Chung pula memenangi tempat kesembilan bagi Kategori Industri, Kluster Sains Hayat dan turut menerima hadiah saguhati RM1,000 dan siji penyertaan.

Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB berkata, kemenangan penyelidik MPOB dalam pertandingan penyelidikan dan pembangunan ini amat membanggakan.

“Kemenangan mereka membuktikan usaha MPOB dalam penyelidikan termasuk sektor hiliran berupaya menambah nilai produk sawit dan mekanisasi ladang pula dapat meningkatkan kecekapan operasi ladang sawit selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja,” katanya.

Penganjur pertandingan, Kerajaan Negeri Selangor menerima 184 penyertaan untuk keseluruhan pertandingan itu yang berlangsung dari 10 hingga 13 Oktober lepas, di MITEC, Kuala Lumpur.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu, bertujuan menghimpunkan para penyelidik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan di Selangor dan bertindak sebagai landasan untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka.