Volkswagen bukan satu jenama asing di negara ini dan kehadiran jenama dari Jerman ini menerusi barisan model kenderaannya sudah cukup memberi ‘ancaman’ kepada pesaingnya.
Dalam usaha memastikan setiap varian ditawarkan terus mendapat kepercayaan dan meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggannya, Volkswagen Tiguan menerima penambahbaikan daripada segi Paparan Info Aktif (AID) 2019 dan lampu belakang LED.
Ia melibatkan semua Tiguan bermula Mac 2019. Paparan Info Aktif baharu itu terdiri daripada paparan warna transistor filem nipis (TFT) beresolusi tinggi yang sama seperti telefon pintar.
Ia menawarkan fungsi dan ciri dalam bentuk paparan grafik 2D dan 3D bagi tujuan nagivasi serta media. Kini terdapat tiga skrin pandangan yang boleh diubah suai menerusi sistem infohibur bersama lebih 30 kombinasi pilihan.
Tetapan atau (settings) pada sistem paparan meter juga boleh ditetapkan terlebih dahulu untuk menunjukkan pelbagai maklumat, selain pandangan peta 3D bagi tujuan navigasi yang lebih baik.
Pada bahagian luaran, lampu belakang LED telah dinaik taraf dengan unit baharu bersama grafik lampu yang tersendiri. Bukan sekadar untuk gaya, lampu belakang itu juga mempunyai animasi brek yang meningkatkan lagi tahap pandangan dan keselamatan.
Gaya lampu belakang yang menggunakan sistem LED sepenuhnya memberikan paparan yang lebih jelas setiap kali lampu brek ditekan. Untuk memberi ketenangan minda, penambahbaikan itu tidak melibatkan sebarang kenaikan harga.
Berita baik untuk anda, Tiguan kekal pada harga jualan RM165,990 untuk varian Highline dan dengan enjin berkuasa 1.4 liter (1,395cc), cukai jalan setahun Tiguan hanya RM70 je!
Tiguan menggabungkan penggunaan enjin turbo 1.4 TSI suntikan terus bersama kotak gear direct shift (DSG) 6-kelajuan dengan mode sport untuk memberikan kuasa 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm.
Model Tiguan yang dipandu uji Prebiu.com ini adalah generasi kedua yang diperkenalkan selepas generasi pertama muncul buat pertama kali pada 2008. Ini boleh dianggap sebuah kenderaan untuk mereka yang aktif atau memiliki keluarga kecil dan sesuai dipandu sebagai kenderaan harian.
Ini diakui sendiri rakan penulis yang pertama kali dipelawa menaiki kereta ini cukup teruja melihat rekabentuk dalaman model ini yang memiliki ciri yang diidamkan dan perkara pertama yang menjadi tumpuan ialah meja lipat dibelakang kerusi penumpang hadapan.
Penggunaan meja lipat cukup praktikal bagi mereka yang memiliki anak kecil kerana ia boleh digunakan untuk meletak makanan atau komputer riba bersaiz kecil atau tablet untuk keselesaan.
Selain ciri itu, sambungan kepada USB untuk tujuan mengecas telefon atau gajet lain yang memang menjadi satu keperluan masa kini turut menarik perhatiannya. Ada dua sambungan terus USB dibahagian hadapan dan satu untuk penumpang belakang.
Justeru, perjalanan anda sekeluarga balik kampung tidak membosankan kerana gajet anda akan sentiasa memiliki tahap bateri yang penuh tanpa perlu berebut menggunakan power bank.
Maka tidak hairanlah rekabentuk Tiguan ini menerima Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017 dan ciri-ciri yang ditawarkan pula seolah-olah satu pelengkap kepada sebuah SUV buatan Jerman ini.
Jika anda mampu daripada segi kewangan apa salahnya memilih SUV ini yang turut mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dipasang sepenuhnya di Pekan, Pahang.
Satu lagi ciri yang boleh diberikan pujian ialah sistem suspensinya cukup mantap apabila Tiguan ini dipandu dijalan raya yang tidak rata dan berbukit. Apabila berada di lebuh raya, kenderaan ini mampu memecut lebih 200 kilometer sejam tanpa masalah.
Ia menawarkan pecutan mengagumkan dari 0-100km/j dalam masa 8.9 saat sahaja.
Tiguan didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), brek Multi-pelanggaran, Intelligent Crash Response System (ICRS), Electronic Parking Brake (EPB) dan Hill-Hold Control.
Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu Highline dan Sound & Style. Ciri luaran dan dalamannya sama namun model Sound & Style dipadankan dengan sistem bunyi audio lebih hebat iaitu HELIX 300W Soundbar manakala kekemasan krom pada bonet belakang, paip ekzos, spoiler belakang hitam dan emblem ‘Sound & Style’.
Pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) turut menyumbang kepada penjimatan bahan api dengan catatan pengeluar mengikut spesifikasi diberikan ialah 6.7 liter setiap 100km.
Dengan kapasiti tangki penuh yang mencatatkan jarak 620km, Tiguan boleh dipandu dengan jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau Port Dickson dan berpatah balik tanpa perlu mengisi minyak.
Semua kenderaan Volkswagen hadir bersama penyelenggaraan percuma tiga tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.
Rekaan sporty roda stereng tiga jejari dengan pedal penukar gear enam kelajuan bukan saja mudah dicapai malah butang kawalan radio dan pelbagai fungsi lain pada stereng membolehkan tumpuan penuh dijalan raya tidak terganggu.
Selain itu, penyaman udara tiga zon pula memberikan kenyamanan sepanjang perjalanan yang boleh dilaras mengikut keselesaan pemandu dan penumpang belakang serta dilengkapi sistem bunyi terbaik lapan pembesar suara bagi alunan muzik.
Untuk membawa muatan, Tiguan adalah model yang praktikal dan fleksibel dengan ruang 40/20/40 memberikan kapasiti penyimpanan yang luas sehingga 615 liter tanpa perlu melipatkan kerusi.
Tidak ketinggalan aspek keselamatan yang dilengkapi dengan enam beg udara termasuk beg udara tirai dan sisi, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Respons Kemalangan Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB), ISOFIX dan Kawalan Hill-Hold.
Ciri lain ialah cagak ISOFIX untuk kerusi bayi sedia terpasang, kemasukan tanpa kunci, kamera undur, sensor hadapan, sisi dan belakang serta kerusi kawalan elektronik untuk pemandu.
Selain mencatat kejayaan di seluruh dunia, Volkswagen Tiguan juga diterima baik di Malaysia dan dipasang secara tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.
Kesimpulan
Menerusi pelbagai ciri terkini penambahbaikan dan keselamatan terbaik ditawarkan, Tiguan adalah sebuah SUV yang lengkap!
Bukan bermaksud untuk memuji berlebih-lebihan tetapi ini adalah harga yang anda bayar apabila memiliki SUV ini yang memiliki pelbagai ciri yang mampu memenuhi citarasa penggemar SUV di negara ini.
Maka tidak hairanlah model Tiguan adalah SUV paling laris jualannya untuk jenama Volkswagen yang terjual sebanyak 2.8 juta unit di pasaran lebih 170 negara.
Lima warna ditawarkan iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu pada harga atas jalan tidak termasuk insurans selepas SST ialah RM166,560 (Highline) manakala varian 1.4TSI Sound & Style ialah RM174,990 dengan waranti dan bantuan kerosakan di jalanan selama lima tahun.
Spesifikasi Tiguan 1.4TSI Highline
Kuasa Maksimum: 110 kW (150 PS) pada 5,000-6,000 rpm
Tork Maksimum: 250Nm pada 1,500-3,500 rpm
Transmisi: 6-speed DSG
Pecutan: 0-100 km/j: 9.2 saat
Kelajuan maksimum: 198 km/j
Kecekapan bahan api: 6.7 liter/100km
Harga: RM165,990 (atas jalan tidak termasuk insurans)